4 Tradisi Menyambut Ramadan di Aceh Menurut Orang Lokal

Ayu Nadirah

3/5/2024

4_Tradisi_Menyambut_Ramadan_di_Aceh_Menurut_Orang_Lokal.jpg

Setiap negara mempunyai tradisi tersendiri dalam menyambut bulan Ramadan yang mulia. Indonesia juga tidak terlepas daripada merayakan bulan istimewa ini. Seperti di Banda Aceh, masyarakat kota ini mengangkat keberkatan Ramadan dengan aktiviti bermasyarakat, selain mengeratkan lagi silaturahim sesama keluarga dan tetangga. Anda benar-benar dapat merasakan suasana penghayatan bulan beribadah di sana, dengan menyaksikan warga Aceh akan beramai-ramai bergerak ke masjid dan menghidupkan malam sepanjang Ramadan.

Tradisi Meugang Meraikan Kedatangan Ramadan

Menurut seorang rakan, Tibyan Asyukri yang berasal dari Aceh, tradisi unik yang kekal dilakukan masyarakat Aceh sehingga kini adalah meugang. Ia adalah aktiviti untuk meraikan kedatangan Ramadan, di mana mereka memasak dan menikmati daging bersama keluarga. Tradisi meugang asalnya sudah dilakukan sejak zaman Kesultanan Aceh yang dipimpin oleh Sultan Iskandar Muda.

Ramadan_di_Aceh.png
Kredit foto: Pemerintah Aceh

"Tradisi meugang adalah aktiviti yang melihatkan masyarakat Aceh beramai-ramai memotong daging korban seperti sapi atau kambing. Kemudian ia akan dimasak di rumah masing-masing ataupun dibahagikan kepada tetangga yang kurang berkemampuan. Ini adalah tradisi yang sudah lama berjalan, kira-kira ratusan tahun lamanya. Bukan sahaja pada bulan Ramadan, meugang juga dilakukan ketika menyambut Aidilfitri dan Aidiladha," jelas Tibyan.

Hidangan Unik Aceh di Bulan Puasa

Selain itu, Tibyan juga menyatakan yang kemeriahan Ramadan ditambah dengan adanya penjual di kaki lima yang menawarkan pelbagai hidangan istimewa untuk berbuka puasa seperti nasi, bubur dan kuih. Terdapat juga hidangan yang biasanya akan dicari-cari orang ramai hanya ketika menyambut puasa. Sukar untuk temui makanan ini pada bulan yang lain, contohnya Bubur Kanji Rumbi. Ia dilihat seakan-akan Bubur Lambuk yang ada di Malaysia. Bubur ini kaya dengan bahan dan rasa. Ia sama seperti bubur ayam yang biasa dijumpai di sekitar Indonesia. Pati rumbi biasanya dimasak dengan nasi dan rempah yang melengkapkan rasa, selain ditambah dengan hirisan daging, udang, kentang dan lobak merah. Kuih seperti Boh Rom Rom juga menjadi kuih istimewa ketika berbuka puasa di Aceh. Jika di sini, kuih ini lebih dikenali sebagai Buah Melaka atau Onde Onde.

Ramadan_di_Aceh_3.png

Festival Ramadan dengan Kegiatan Agama dan Budaya

Ramadan bukan sahaja tentang kemewahan makanan, malah anda juga boleh merasai festival Ramadan di sana. Aceh Ramadan Festival biasanya berlangsung selama satu minggu. Kegiatan ini dilakukan bertujuan untuk memperkenalkan budaya Aceh dan makanan tradisional mereka kepada orang ramai. Tidak cukup dengan itu, mereka juga akan mengundang ustaz untuk menyampaikan ceramah agama sebagai sesi pengisian jiwa.

"Selain festival Ramadan, pengunjung luar kota Aceh juga boleh pergi ke Masjid Raya Baiturrahman yang menjadi ikon kota Banda Aceh. Masjid besar ini merupakan satu tanda penting agama dan kebudayaan orang Aceh, kerana ia terlepas daripada kemusnahan besar yang berlaku di Aceh semasa tsunami melanda pada tahun 2004. Boleh juga berkunjung ke Muzium Tsunami yang tentunya akan mengingatkan kita kepada hakikat yang pada akhirnya kita semua akan kembali kepada Allah SWT," terang Tibyan.

Masjid_Baiturrahman.jpgTazkirah_Aceh.jpg

Aktiviti Masyarakat Aceh Selepas Berbuka Puasa

Secara umumnya, masyarakat Aceh berbuka puasa di rumah masing-masing bersama keluarga. Inilah masanya untuk seluruh ahli keluarga makan bersama pada satu meja. Sangat jarang untuk melihat orang lokal di sana keluar berbuka puasa beramai, melainkan jika ada kegiatan luar seperti kenduri. Setelah berbuka puasa, mereka akan bersiap sedia untuk menunaikan Solat Tarawih di masjid. Kegembiraan beribadah ini yang menjadikan bulan Ramadan cukup istimewa berbanding bulan yang lain. Kebiasaannya, kegiatan bisnes hanya akan berjalan semula setelah selesai Solat Tarawih. Pada ketika itulah, masyarakat Aceh akan mula keluar untuk membeli makanan di pasaraya atau menyiapkan kelengkapan raya. Mereka juga akan menghabiskan masa untuk bertadarus al-Quran di masjid bagi menghidupkan malam Ramadan.

Ramadan_Aceh.jpg

"Menurut saya, bulan Ramadan adalah kesempatan untuk saya memperbaiki diri, melawan hawa nafsu dan berbuat sebanyak kebaikan yang boleh. Ramadan juga bererti kita dapat berkumpul bersama keluarga. Ahli keluarga yang jauh merantau akan kembali ke rumah dan berkumpul bersama orang tersayang yang sudah lama tidak ketemu. Ini juga adalah antara momen yang ditunggu-tunggu ketika tibanya bulan puasa yang penuh berkat," jelas Tibyan yang ternyata tidak sabar menyambut Ramadan pada tahun ini.

Begitulah suasana bulan Ramadan di Aceh. Begitu meriah dengan aktiviti kerohanian dan juga kemasyarakatan. Suasana sebegini yang akan dirindui apabila tibanya penghujung Ramadan kelak. Semoga semua tradisi dan aktiviti ini dapat terus diwarisi oleh generasi muda di masa hadapan.

Berminat nak jelajah Banda Aceh? Jom melancong bersama IKHLAS Travel!