Pertama Kali Travel Solo ke Jepun? 5 Tip Mudah Ini akan Buatkan Anda Makin Tak Sabar!
Ayu Nadirah
5/10/2024
Jepun boleh dikatakan merupakan sebuah negara yang kaya dengan sejarah, budaya dan gastronomi. Keindahan gaya hidup pantas, disiplin dan penuh adab orang Jepun adalah faktor penyumbang ia menjadi negara Asia yang maju dan setanding dengan negara barat. Tertanya-tanya di benak fikiran selama ini, adakah Jepun negara yang selamat untuk dikunjungi, terutamanya untuk wanita mengembara secara solo? Jawapannya sudah tentunya selamat!
Banyak maklum balas positif yang menyatakan amat mudah untuk melakukan kembara solo di Jepun. Kadar jenayah ekstrem sangat rendah di sana. Jenayah kecil seperti kecurian jarang didengar berlaku kepada pelancong. Kekasaran dan perbuatan tidak senonoh kepada wanita juga biasanya tiada di sana. Ia terbukti apabila Global Peace Index 2022 mengiktiraf Jepun sebagai satu daripada sepuluh negara paling selamat di dunia.
Apa Perlu Tahu Sebelum Kembara Solo
Setiap kali ingin berkunjung ke negara orang, anda perlu sedar bahawa apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Anda perlu sentiasa peka dengan sekeliling dan jangan terlalu berani dengan sesuatu perkara yang anda tidak tahu. Ini adalah lima tip penting yang perlu anda ingat ketika melakukan jelajah solo di Jepun.
![Pertama_Kali_Travel_Solo_ke_Jepun_Tip_Ini_akan_Buatkan_Anda_Makin_Tak_Sabar!_1.png](https://images.ikhlas.com/v3/assets/blt2a130c768c36b9df/blt2c4e1c9680e47349/6641c0cf82c3448ccb9eb323/Pertama_Kali_Travel_Solo_ke_Jepun_Tip_Ini_akan_Buatkan_Anda_Makin_Tak_Sabar!_1.png)
Tip 1: Selidik lokasi yang akan dikunjungi
Pastikan anda ambil tahu tentang pengangkutan awam yang tersedia di tempat tersebut. Jenis pengangkutan, jadual perjalanan, perhentiannya dan waktu perjalanan. Terutamanya jika anda ingin berkunjung ke kawasan yang agak terpencil dan jadual perjalanan pengangkutan awam tidak kerap. Anda tentu tidak mahu ‘terperangkap’ di tempat itu dan sukar untuk pulang ke penginapan anda. Selain itu, perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di tempat itu. Hormati budaya tempat orang.
Tip 2: Pilih penginapan mudah akses
Jika ingin jelajah solo, pastikan anda mengambil penginapan yang berdekatan dengan stesen keretapi atau mana-mana pengangkutan awam. Pastikan juga ia terletak strategik berdekatan kedai 24 jam, mudah jika anda ingin dapatkan apa-apa keperluan pada saat kecemasan.
Tip 3: Jaga barangan
Pastikan anda membawa beg yang tahan lasak dan selesa digalas untuk perjalanan yang jauh. Jangan sesekali tinggalkan barangan di atas meja atau pada tempat yang mudah untuk orang lihat. Sentiasa peka dengan keadaan barang bersama anda, kerap periksa dan pastikan semuanya ada setiap kali anda mahu bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
Tip 4: Lawat lokasi awam
Tempat yang paling selamat adalah tentunya kawasan yang biasa dikunjungi orang ramai. Tetapi jika anda seorang yang sukakan sedikit cabaran dan ingin pergi ke lokasi yang jauh dan terpencil, pastikan anda sediakan apa yang perlu bagi memudahkan perjalanan dan jangan pulang pada lewat malam.
Tip 5: Sediakan keperluan kecemasan
Sentiasa bersedia untuk hadapi sebarang kes kecemasan seperti kehilangan barang, sesat ataupun sakit sewaktu melancong. Apatah lagi apabila berseorangan, ia akan lebih mencabar. Pastikan anda membawa wang tunai yang mencukupi dan kad debit atau kredit. Sediakan juga senarai nombor telefon yang boleh dihubungi untuk kecemasan seperti ahli keluarga, kawan dan kedutaan di sana. Bawa juga powerbank dan pastikan telefon anda sentiasa punya bateri. Bawa lebih jika perlu. Ubat-ubatan yang biasa anda ambil juga mesti dibawa.
Semua sedia maklum yang penggunaan Bahasa Inggeris agak terhad di Jepun. Namun orang Jepun sentiasa bersedia membantu pelancong terjemah bahasa. Mudah sahaja untuk mereka menolong jika anda terlihat keliru dengan peta atau jadual pengangkutan di tempat awam. Jangan terkejut jika ada yang sanggup temankan anda ke tempat yang ingin dituju dan menunggu sehingga kenderaan anda sampai. Sukar untuk jumpa budaya seperti ini di negara lain.
Tarikan Menarik
Anda boleh jadikan Tokyo sebagai permulaan untuk anda teroka di Jepun. Lapangan terbang Tokyo iaitu Haneda dan Narita adalah paling mudah diakses. Sebagai ibu negara Jepun dan metropolis paling ramai penduduk di dunia, Tokyo menawarkan keunikan tradisi dan inovasi, serta kebebasan untuk makan, membeli-belah dan berjalan.
Setiap sudut di Tokyo mempunyai personaliti tersendiri. Untuk merasai kemewahan dalam membeli-belah dan menjamu hidangan autentik, boleh ke Ginza. Jika anda suka melihat keunikan fesyen elektik Jepun, Harajuku adalah tempatnya. Akihabara adalah syurga barangan elektronik yang menjadi lokasi wajib singgah buat kaki gaming. Sementara Shibuya pula terkenal dengan laluan pejalan kaki yang ikonik, di mana anda boleh melihat ribuan orang melintas jalan dari setiap sudut.
![Pertama_Kali_Travel_Solo_ke_Jepun_Tip_Ini_akan_Buatkan_Anda_Makin_Tak_Sabar!_2.png](https://images.ikhlas.com/v3/assets/blt2a130c768c36b9df/blt93bdeddd7fdca4eb/6641c06342461ad7e7eb5b0e/Pertama_Kali_Travel_Solo_ke_Jepun_Tip_Ini_akan_Buatkan_Anda_Makin_Tak_Sabar!_2.png)
Daripada segi solat pula, anda tidak perlu risau kerana kerajaan Jepun telah membina bilik solat di kawasan rehat di lebuh raya. Mereka juga sediakan bilik solat di pusat membeli-belah seperti di Hiroshima Prefecture, LaLaport Expocity dan Osaka Prefecture di Suita, Osaka. Mengikut pusat informasi maklumat untuk pelancong Muslim di Jepun, terdapat kira-kira 170 ruang solat yang ada dilengkapi tempat wuduk dan petunjuk arah kiblat.
Selain itu, jika anda melawat Tokyo, sebenarnya tidak perlu tergesa-gesa pun untuk pulang ke hotel untuk menunaikan solat. Terdapat banyak masjid besar di bandar itu yang boleh anda singgah bagi melaksanakan kewajipan, juga menikmati keindahan reka bentuk dan seni bina yang unik. Tokyo Camii Mosque adalah masjid tertua dan terbesar di Tokyo. Ia mula dibina oleh masyarakat Turki yang berhijrah dari Rusia pada tahun 1938. Selain untuk solat, masjid ini mempunyai pusat kebudayaan dan perpustakaan Islam. Masjid lain yang ada adalah Darul Arqam Mosque, Assalam Okachimachi Mosque, Otsuka Mosque, Hiroo Mosque, Makki Mosque, Al-Tawheed Mosque, Kamata Mosque dan Akabane Mosque.