Nak Bernikah? Ini 10 Masjid Tercantik di Malaysia
Hanan Latip
8/12/2024
Anda akan melangsungkan pernikahan tidak lama lagi tapi tak tahu nak pilih lokasi masjid yang mana satu? Jom kami kongsikan beberapa masjid tercantik di Malaysia yang anda boleh abadikan momen-momen indah bersama pasangan dan keluarga anda kelak! Mana tahu dekat dengan lokasi yang anda pilih untuk walimatulurus anda nanti. Teruskan membaca artikel ini!
1. Masjid Al-Bukhary Alor Malai, Kedah

Alamat: 256, Bandar Alor Setar, 05460 Alor Setar, Kedah
Tahukah anda ruang solat Masjid Al-Bukhary ini mampu menampung sehingga 15,000 orang dalam satu-satu masa, besar bukan? Di sini, anda dapat merasai dan melihat kecantikan yang luar biasa apabila datang ke Masjid Al-Bukhary Aloi Malai. Di ruang dataran masjid ini dibina berdasarkan seni bina yang terdapat pada Makam Imam Albukhary di Samarkhand, Uzbekistan.
2. Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan

Alamat: Persiaran Idaman Villa, Bandar Sri Sendayan, 71950 Siliau, Negeri Sembilan
Masjid Sri Sendayan, masjid yang popular dalam kalangan orang Malaysia kerana reka bentuknya yang cantik dan ramai orang sanggup datang dari jauh dari merata negeri kerana kecantikannya yang sememangnya memukau! Digelar dengan pelbagai nama seperti Taj Mahal, Masjid Nabawi dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah.
Seni binaannya yang cantik dan akses jalan yang mudah lagilah menggalakkan orang datang. Rata-rata feedback yang pernah melangsungkan pernikahan di sini berkata, service dan flow majlis amatlah mudah dan cepat! Sebab itulah kini menjadi lokasi hot untuk bakal pengantin melaksanakan pernikahannya di sini! Laman web Masjid Sri Sendayan bagi sebarang informasi seperti pendaftaran perkahwinan dan sewaan dewan.
3. Masjid Imanul Fa’izin, Kelantan

Alamat: Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, 16400 Melor, Kelantan
Anda pernah dengar tentang Masjid Andalusia? Inilah dia masjidnya! Terletak di Kampung Padang Kala, Melor yang terletak hanya 17.1 kilometer dari Kota Bharu. Masjid ini juga telah membuat pengubah suaian sebanyak 21 kali untuk dapatkan reka bentuk yang tepat pada pintu gerbang. Kecantikan dan keindahan masjid ini hasil daripada mendapatkan bahan binaan dari pelbagai negeri dan negara dan telah menelan belanja melebihi RM7 juta.
4. Masjid Putra, Putrajaya

Alamat: Persiaran Persekutuan, Presint 1, 62502 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya
Masjid Putra yang merupakan mercu tanda yang paling popular di Putrajaya dan dikatakan salah satu masjid paling indah di dunia. Kubah masjid merah jambu ini dibina dengan menggabungkan reka bentuk tradisional, seni buatan tempatan dan penggunaan bahan asli. Masjid juga mempunyai tiga kawasan berfungsi utama iaitu dewan solat, Sahn atau halaman dan pelbagai kemudahan pembelajaran dan bilik majlis yang boleh memuatkan 15,000 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid yang indah ini telah menjadi lokasi pilihan untuk bernikah kerana mempunyai ruang luas, lokasi pelancongan, parkir yang banyak dan sebagainya. Kawasan persekitaran Masjid Putra ini juga cantik untuk dijadikan lokasi fotografi selepas selamat diijab kabulkan dan juga majlis konvokesyen.
5. Masjid Jamek Bandar Baru UDA, Johor

Alamat: Masjid Jamek, Jalan Padi Ria, Bandar Baru Uda, 81200 Johor Bahru, Johor
Masjid Jamek ini adalah antara masjid-masjid moden di negeri Johor yang menampilkan reka bentuk berkonsepkan Timur Tengah dengan hiasan yang sederhana. Dengan sokongan dan bantuan kariah setempat, masjid ini mampu untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan pengimarahan masjid dan aktiviti sosial yang berkaitan seperti iftar dan ceramah. Sudah tentu menjadi pilihan orang-orang Johor untuk bernikah di sini!
6. Masjid Al-Hussain, Perlis

Alamat: 1, Persiaran Putra Timur, 02000 Kuala Perlis, Perlis
Anda pasti perasan kubah masjid ini berwarna kuning keemasan bukan? Masjid diwarnakan dengan warna kuning keemasan berserta motif biru kerana menggunakan warna rasmi negeri Perlis. Penduduk sekitar utara ataupun yang berada di Perlis, pasti tidak akan lepaskan peluang untuk melangsungkan majlis di sini. Lagi pula masjid terapung ini terletak berhampiran Jeti Kuala Perlis dan telah dibina di tepi pantai Kuala Perlis dan menghadap laut Selat Melaka. Bolehlah dapatkan gambar-gambar cantik di sekitar sini.
7. Masjid Abidin, Terengganu

Alamat: Jalan Masjid Abidin, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu
Masjid Abidin ini juga dikenali sebagai Masjid Putih dan Masjid Negeri Terengganu kerana luarannya yang dicat dengan warna putih secara keseluruhan! Amat cantik jika ingin bergambar kerana pasti akan menaikkan seri pasangan yang baru bernikah ini, lebih-lebih lagi ada element seni ukiran kaligrafi dan arabesque yang menonjolkan lagi keindahan dan keagungan masjid ini. Masjid ini merupakan masjid DiRaja negeri Terengganu lama yang dibina oleh Sultan Zainal Abidin II di antara tahun 1793-1808.
8. Masjid Kristal, Terengganu

Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima P'erang, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu
Masjid Kristal merupakan masjid pintar pertama di Malaysia. Tidak kira waktu, sama ada siang atau malam tetap kelihatan cantik dan luar biasa. Dibina daripada bahan seperti kaca, keluli dan kristal telah menjadikan seni bina masjid ini memberikan aura moden. Lebih-lebih lagi dengan refleksi masjid yang boleh dilihat pada sungai. Masjid ini antara lokasi utama yang menjadi pilihan pasangan pengantin baru untuk merakamkan memori kerana berada di sini saja telah memberikan gambaran anda berada di fairy tale.
9. Masjid Ubudiah, Perak

Alamat: Jalan Istana, 33000 Kuala Kangsar, Perak
Masjid ini terletak di atas Bukit Chandan, Kuala Kangsar sememangnya dikenali kerana merupakan antara masjid tercantik di Malaysia. Masjid Ubudiah Bukit Chandan ini mempunyai sejarahnya sendiri di mana anda boleh membacanya di sini. Dengan seni bina yang mendapat pengaruh Islam-India, lagi menonjolkan sisi berbeza masjid ini dengan masjid yang lain. Rekaan yang diilhamkan Hubback berupaya menjadikan Masjid Ubudiah antara produk warisan yang mempunyai nilai seni reka bermutu tinggi sehingga mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dari industri pelancongan negara.
10. Masjid Zahir, Kedah

Alamat: Jalan Kampung Perak, Bandar Alor Setar, 05150 Alor Setar, Kedah
Tahukah anda Masjid Zahir telah dibina di atas tapak Masjid Lama (Masjid Kayu) dan reka bentuk masjid ini hasil ilham Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara. Uniknya masjid ini dihiasi dengan 5 kubah utama sebagai lambang 5 rukun Islam. Dipersekitaran masjid ini berhadapan dengan Balai Nobat dan Istana Pelamin dan mempunyai persekitaran yang lapang. Mudah untuk anda variasikan photoshoot yang hendak dilakukan kelak. Masjid Zahir ini juga antara mercu tanda seni negeri Kedah dan antara masjid tercantik di Malaysia. Bagi anda yang tinggal atau ada kampung di Kedah, anda jangan lepaskan peluang ini!
Semoga idea masjid tercantik untuk bernikah di Malaysia yang kami kongsikan boleh digunakan dan dikongsikan dengan rakan, jiran atau saudara-mara anda!
Baca artikel lain di ikhlas.com:
Adab Dan Rahsia Doa Mudah Makbul