Ketahui 3 Jenis Pengangkutan Awam Di Korea
Hanan Latip
4/30/2024
Nak bercuti ke Korea tapi tak tahu jenis-jenis pengangkutan awam yang ada kat sana? Jangan risau, pengangkutan awam di Korea adalah yang terbaik di dunia! Dengan kenderaan yang mesra pengguna, tahap kebersihan yang bagus dan waktu perkhidmatan yang kerap menjadikan ia pilihan yang terbaik untuk bercuti ke Korea.
Tambahan pula, kebanyakkan masyarakat di Korea adalah pengguna pengangkutan awam bagi ke tempat kerja dan melancong kerana lebih mudah, kos yang murah dan mempunyai rangkaian bawah tanah yang mampu menghubungkan dari satu daerah ke daerah yang lain di bandar Seoul.
Teruskan membaca untuk kenali dengan lebih mendalam jenis pengangkutan awam di Korea!
1. Bas

Bas-bas di Korea dibahagikan mengikut tempat-tempat tertentu dan dapat dikenali melalui warna. Ini memudahkan pengguna hanya perlu ingat nombor bas sahaja.
Namun, di sesetengah tempat, papan tanda tidak ditulis di dalam bahasa Inggeris. Jadi, bagi mereka yang boleh membaca tulisan dan bertutur dalam bahasa Korea, ini satu kelebihan untuk anda. Bagi yang tidak mahir, anda boleh menggunakan Google Translate, Papago atau cuba bertanya dengan orang awam.

Tip penting: Sebelum naik bas, pastikan anda mempunyai duit kertas ataupon Tmoney yang mencukupi bagi memudahkan perjalanan anda!
Bas biru: bergerak menghubungkan Seoul dan pinggir bandar
Bas kuning/hijau: bergerak antara hentian bas dan stesen subway
Bas merah: bas jarak jauh dan pergi ke lapangan terbang
Selain itu, ada juga bas kampung dan juga bas lewat malam. Bas perkhidmatan Seoul City Tour pula akan bergerak ke destinasi-destinasi pelancongan di Seoul. Yang menariknya, ada pemandu pelancong yang boleh berbahasa Inggeris untuk menceritakan semua perkara mengenai Korea! Maka, mudah untuk faham sejarah atau fakta penting yang diceritakan!
Ambil kesempatan ini untuk turun ke mana-mana destinasi yang anda suka. Lawati Seoul City Bus untuk maklumat lanjut.
2. Subway

Subway atau kereta api bawah tanah di Korea antara pengangkutan awam yang mesti anda cuba sebab laluan di subway meliputi hampir semua tempat yang menjadi tarikan di Seoul!
Subway akan mula beroperasi kira-kira 5:30 pagi sehingga tengah malam. Tetapi lebih baik anda elakkan guna ketika peak hour jika tidak mahu bersesak-sesak di subway. Dari situ, anda boleh merancang perjalanan dengan lebih efisien.
Papan tanda di subway juga akan memudahkan anda kerana akan dipaparkan di dalam bahasa Korea, Inggeris dan Cina. Setiap arahan dan pengumuman ketibaan di hentian diumumkan dalam bahasa Inggeris. Ini tidak akan menjadi masalah untuk anda menerokai Korea!
Pas perjalanan dipanggil Tmoney boleh dibeli di kebanyakan kedai serbaneka. Mereka menyediakan pas selama 1 hari, 2 hari, 3 hari, 5 hari dan 7 hari. Tambang subway ialah sekurang-kurangnya 1000 won dan harga akan meningkat apabila semakin jauh. Setiap pembelian tiket, anda akan dikenakan deposit sebanyak 500 won dan boleh diambil semula dengan memasukkan tiket ke dalam refund machine di akhir destinasi.
Pengguna boleh muat turun aplikasi Subway bagi memudahkan anda menyemak jadual waktu dan memahami peta jalan.
3. Teksi

Berikut adalah tip untuk kenali teksi yang boleh ditahan:
Lampu berwarna merah: Tiada pelanggan di dalam. Anda boleh tahan teksi tersebut!
Lampu berwarna hijau: Ada pelanggan
Lampu berwarna biru: Telah tamat perkhidmatan pada hari tersebut
Ataupun, anda boleh naik teksi yang sedang turunkan penumpang di kawasan anda menunggu. Bagi pembayaran tambang teksi anda boleh menggunakan wang tunai, kad kredit dan Tmoney.
Jenis-jenis teksi di Korea:
Teksi Biasa (berwarna oren, putih dan kelabu): Teksi ini teksi yang paling murah dan mudah untuk didapati di Seoul. Asas tambang untuk teksi ini bermula dari 3,000 Won.
Teksi Deluxe (berwarna hitam): Teksi deluxe pula telah ditetapkan kadar asas, jarak dan kadar jam yang lebih tinggi dari dari teksi biasa. Kereta yang digunakan juga lebih mewah dan besar. Untuk mengenali teksi deluxe, anda akan melihat warna keemasan di bahagian pintu kereta dan teksi akan dijumpai di kawasan hotel dan kawasan pelancongan.
Teksi Jumbo: Teksi jumbo mampu memuatkan sehingga 8 orang penumpang kerana teksi ini menggunakan kereta yang bersaiz lebih besar. Sangat sesuai bagi yang melancong dengan keluarga atau kumpulan yang besar. Di bahagian pintu teksi ada tertulis “JUMBO” bagi memudahkan pengguna.
Di sini juga ada call van yang fungsinya untuk membawa muatan barang pengguna dan selalunya akan mengecaj tambang yang tinggi. Bentuk dan saiz seakan-akan sama akan membuatkan pelancong yang baru tiba ke Korea akan keliru.
- Teksi Antarabangsa: Bagi pelancong yang memilih untuk menggunakan pemandu teksi yang boleh berbahasa Inggeris, Cina atau Jepun, teksi antarabangsa akan menjadi pilihan anda! Di pintu teksi terpampang perkataan “International” dan teksi ini berwarna hitam dan oren. Anda boleh dapatkan ia di lapang terbang atau membuat tempahan di sini.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda memahami jenis-jenis pengangkutan awam di Korea. Setiap negara pasti mempunyai berbeza kemudahan dan fasiliti yang ada. Dari situ, barulah kita akan mengenali negara yang lain.
Ingin melihat sendiri keindahan di Korea dengan pengangkutan awam? Dengan Ikhlas Travel, segalanya akan menjadi mudah untuk anda kerana kami telah sediakan segalanya! Untuk ketahui maklumat lanjut, klik di sini!