10 Perkara Jangan Buat Jika Ke Korea Selatan!
Nurul Atikah Sarji
1/23/2024

Hai Sahabat IKHLAS! Adakah anda sudah bersedia untuk menerokai budaya, tempat-tempat menarik dan makanan yang lazat di Korea Selatan? Tapi sebelum itu, apa kita semak terlebih dahulu 10 perkara yang anda tidak boleh lakukan di Korea Selatan.
1. Jangan tinggalkan meja sebelum anda selesai makan
Jika anda makan bersama orang Korea dan tiba-tiba anda perlu ke bilik air atau tandas, adalah lebih baik untuk anda duduk di meja makan terlebih dahulu kerana perbuatan ini dianggap kasar jika anda meninggalkan meja semasa makan bersama. Namun begitu, jika kerana terlalu terdesak, anda perlu menjelaskan situasi anda terlebih dahulu sebelum meninggalkan meja makan.
2. Jangan duduk di ‘priority seat’
Apabila menaiki bas atau pun train di Korea Selatan, anda tidak boleh untuk duduk di tempat duduk ‘priority seat’ kerana seperti di Malaysia, tempat duduk ini dikhususkan bagi golongan kurang upaya, warga emas dan juga wanita hamil sahaja.
Anda boleh mengenalpasti tempat ini kerana mempunyai label yang tersedia iaitu 노약자석 (noyakjaseok) yang bermaksud: “Untuk golongan kurang upaya, warga emas dan wanita hamil".
3. Jangan bising ketika dalam pengangkutan awam
Warga lokal Korea Selatan mengamalkan untuk tidak bising atau bercakap ketika sedang menggunakan pengangkutan awam bagi menghormati dan menghargai ruang peribadi penumpang lain. Apabila menggunakan pengangkutan awam, kita perlu bersikap lebih prihatin dan sentiasa menjaga perasaan orang di sekeliling.
4. Jangan menganggap warga Korea memahami Bahasa Inggeris
Walaupun Bahasa Inggeris merupakan standard kurikulum di Korea Selatan, namun kebanyakan warga lokal tidak memahami Bahasa Inggeris. Bahkan ada yang fasih berbahasa Inggeris namun mereka agak gementar untuk bertutur dalam bahasa asing dengan orang asing. Namun anda tidak perlu risau, kerana warga tempatan ini sangat suka untuk menolong pelancong asing walaupun menghadapi halangan bahasa. Jadi, tidak perlu risau ya!
5. Jangan menulis nama seseorang dengan dakwat merah
Ya, anda tidak boleh melakukan perbuatan ini di Korea Selatan kerana ia dianggap kurang sopan. Malah, warga Korea Selatan juga akan tersinggung dan mereka berfikir bahawa perbuatan ini akan membawa nasib malang. Jadi, untuk menghormati budaya dan tradisi mereka, jangan lakukan perkara ini!
6. Jangan mengambil gambar seseorang tanpa kebenaran
Mengambil gambar seseorang tanpa kebenaran merupakan perkara yang menyalahi undang-undang Korea Selatan terutamanya jika anda mengambil gambar wanita tanpa kebenaran. Namun begitu, anda boleh mengambil gambar secara general dan juga suafoto (selfie).
7. Jangan menggunakan satu tangan ketika memberi atau mengambil sesuatu barangan
Salah satu norma atau budaya masyarakat Korea Selatan adalah dengan menggunakan kedua-dua tangan apabila menerima sesuatu daripada orang yang lebih tua. Selain itu, anda juga perlu menggunakan kedua-dua tangan apabila memberi sesuatu. Menerima dan memberi sesuatu barangan dengan hanya menggunakan satu tangan dianggap kurang sopan dan tidak menghormati orang lain.
8. Jangan memakai kasut di dalam rumah warga lokal
Memasuki rumah orang Korea tanpa menanggalkan kasut merupakan satu kesalahan apabila anda datang melawat. Selain daripada rumah, terdapat juga beberapa restoran dan rumah teh di Seoul yang mengharuskan kita untuk tidak memakai kasut. Jadi, pastikan anda meyemak terlebih dahulu.
9. Jangan letakkan penyepit (chopstick) di dalam nasi
Sangat penting untuk anda semua jangan sesekali meninggalkan penyepit makanan anda berdiri tegak dalam mangkuk nasi. Ini menyerupai upacara pengebumian masyarakat Korea Selatan dan membawa aura negatif. Jadi, sentiasa letakkan penyepit di sebelah anda ketika makan!
10. Jangan bersin sembarangan
Sniff, sniff, achoo! Anda perlu menahan keinginan untuk bersin jika berada di kawasan terbuka dan dikelilingi orang ramai kerana perbuatan ini dianggap tidak sopan. Jika anda ingin bersin, silalah ke tandas atau tutuplah mulut menggunakan tisu.
Jadi kalau dah tahu 10 perkara yang anda tidak boleh lakukan di Korea Selatan, apa lagi jom meneroka kota Seoul bersama IKHLAS dengan melayari pautan ini: IKHLAS Travel