[Tanya Ustazah] Bolehkah Wanita Berhias? Dalami Kecantikan Wanita Menurut Pandangan Islam

Ayu Nadirah

4/29/2024

berhias.jpg

Wanita itu sendiri adalah perhiasan. Disebutkan dalam hadis riwayat Muslim; Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.” Kehadiran wanita di dunia telah mencantikkan lagi alam, melengkapkan generasi manusia, serta mengisi keperluan hati dan naluri lelaki. Hal ini menggambarkan jika tiada wanita, maka akan hilanglah seri di dunia. Betapa hebatnya ciptaan Allah SWT yang bergelar wanita. Penuh dengan kecantikan, kesucian dan kekuatan luar biasa.

Kecantikan dan wanita pula sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ajaran Islam sendiri menitikberatkan kecantikan dan kekemasan dalam penampilan yang menunjukkan imej agama yang bersih. Namun dalam Islam, adakah pintu kecantikan itu dibuka seluasnya untuk wanita? Atas keperluan untuk terlihat cantik pada pandangan mata, adakah hukumnya harus di sisi Islam? Di sini, Ustazah Nurul Hidayah Kamarudin, Perunding Agama di DRL Consultation membantu merungkai hakikat dan batasan seorang wanita dalam menjaga kecantikan diri.

Berhias Mengikut Batas

Perhiasan pada wanita secara umumnya terletak pada pakaian, rambut, wajah dan solekan. Pada asasnya, sesuatu yang mampu menambah seri pada diri wanita adalah harus, selagi ia tidak melampaui batas. Adakah Islam menghalang wanita daripada berhias dan tampak cantik? Adakah Islam hanya membenarkan kaum wanita duduk berdiam diri di rumah sahaja? Jawapannya, sudah tentu tidak.

“Bagaimana mungkin wanita boleh terkurung dalam rumah dan tidak bergaul dengan sesiapa, sedangkan perlu memenuhi tuntutan kehidupan yang pelbagai. Keluar bekerja demi keluarga, menuntut ilmu, mendapatkan rawatan kesihatan, menguruskan anak yang bersekolah dan beriadah seumpamanya. Ini adalah hakikat yang perlu diterima bagi menjalankan tanggungjawab sebagai manusia di muka bumi, menggalas tugas sebagai isteri, ibu, kakak dan anak. Wanita perlu juga keluar dari rumah dan bersiap kemas untuk berhadapan dengan orang ramai. Selain menutup aurat dengan sebaiknya, secara fitrah, pasti akan tertarik untuk berhias dan tampil lebih yakin apabila bersemuka dengan orang,” kata Ustazah Hidayah.

Biarpun Islam membenarkan wanita berhias, namun sejauh mana batas yang perlu dijaga? Trend masa kini memperlihatkan kaum hawa yang bersolek tebal dan berhias berlebihan sehingga tidak takut dengan larangan Allah. Apa yang tular itu tidak semestinya perlu dicontohi. Berbaliklah semula kepada ajaran Islam sebenar yang meletakkan sesuatu hukum atau batas bagi melindungi maruah dan harga diri seorang wanita.

Secara asasnya, untuk terlihat cantik, wanita mesti patuh dengan tiga perkara ini. Pertama, solekan dan perhiasan itu mestilah tidak melampaui batas. Wanita harus sederhana dalam berhias, jangan sesekali bersiap sehingga hilang identiti sebenar diri. Tidak boleh mengenakan pakaian ketat dengan warna terang menonjol, tudung singkat tidak menutup dada, sanggul tinggi seperti bonggol unta, gelang kaki serta kasut tumit tinggi yang berbunyi menarik perhatian dan solekan tebal hinggakan wajah terlihat lain daripada kebiasaan.

Jauhi Kecantikan yang Mengundang Fitnah

Kedua, solekan dan perhiasan yang dikenakan itu tidak boleh mengundang fitnah. Fitnah yang dimaksudkan adalah keadaan diri yang menyebabkan lelaki tertarik dan menimbulkan syahwat kala melihatnya. Solekan perlu cukup sekadar keperluan untuk menghilangkan pucat pada wajah, menutup cela dan memberi imej segar.

Selain itu, apabila keluar rumah, wangian yang zahir, kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajnabi dan menimbulkan fitnah mesti dielakkan. Namun wanita boleh mengenakan sedikit wangian yang tidak terzahir baunya seperti pemakaian bedak, deodorant dan sabun yang bertujuan menghilangkan bau badan. Ini kerana dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya,” Riwayat al-Tirmizi (2788).

Adapun apabila bersama suami di rumah dan di kamar, wanita digalakkan berwangi-wangian dengan apa yang disukainya. Mengenakan wangian untuk selain suami termasuk juga dalam makna tabarruj. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 33:

"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai 'AhlulBait' dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji).”

Perkara ketiga yang mesti diikuti adalah solekan dan perhiasan itu tidak termasuk dalam perkara haram di sisi Islam. Sebagai contoh, mencukur kening dan menambah bulu mata. Elakkan daripada berhias dengan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah.

Kecantikan Suatu Amanah

Hakikatnya, Islam sentiasa menggalakkan wanita untuk berhias. Ia seiring dengan sabda Rasulullah SAW, seperti yang tercatat dalam kitab Musnad oleh Imam Ahmad, Nabi bersabda; “Berinailah kalian, jangan kalian meninggalkan berinai sehingga tangan kalian nampak seperti tangan lelaki.”

“Kefahaman ulama pada hadis di atas adalah berhias itu bukan hanya tertumpu kepada inai. Hal ini kerana, perhiasan bagi wanita akan berubah mengikut peredaran zaman, teknologi dan adat masyarakat. Jadi wanita dibolehkan untuk berhias asalkan tidak melanggar tiga perkara yang telah dijelaskan tadi iaitu bersederhana, tidak mengundang fitnah dan tidak melakukan perkara yang dilarang,” jelas Ustazah Hidayah lagi.

Dalam Surah an-Nur ayat 31, Allah SWT berfirman:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka...; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Hal ini jelas menyatakan bait-bait ayat cinta daripada Allah buat wanita untuk sentiasa menjaga amanah kecantikan yang diberi. Biarpun Islam mencintai kecantikan, namun wanita harus menjaga penampilan apabila keluar rumah untuk mengelakkan fitnah dan zina. Kehadiran wanita itu sendiri sudah menarik perhatian lelaki, apatah lagi jika dirinya dihiasi dengan perhiasan berlebihan dan melakukan perbuatan menonjol sehingga menarik pandangan lelaki. Malah Islam juga meminta wanita untuk menjaga suara ketika bercakap dengan lelaki ajnabi. Tidak boleh sengaja melunakkan suara di hadapan mereka hingga boleh mengundang perasaan tertarik dan suka.

Apakah Tanda Berhias Mengikut Hawa Nafsu?

  • Apabila berhias, timbul perasaan bangga dan riak dalam diri. Anda menganggap anda adalah wanita paling cantik dan mampu memikat pandangan ramai untuk melihat anda. Anda sukakan perhatian orang, bahkan daripada lelaki ajnabi.

  • Anda mahu kelihatan cantik di mata orang sehingga harus membuka aurat. Seperti tidak memakai tudung atau berpakaian yang menampakkan bentuk tubuh hingga mengundang fitnah buat diri anda.

Kesimpulannya, suka melihat kecantikan dan ingin merasa cantik sudah menjadi fitrah seorang wanita. Nikmatilah fitrah ini dan berhias dengan sebaiknya. Jangan sesekali gunakan kecantikan diri dengan membuka peluang kepada kemudaratan. Semoga dengan pegangan iman dan ilmu, ia dapat mengikat wanita menjadi seorang Muslimah diredai Allah yang sentiasa terjaga kesuciannya.