[Tanya Ustazah] 5 Rahsia Kekalkan Rumah Tangga
Hanan Latip
8/21/2024
Pernikahan merupakan bukti cinta dan ikatan hukum di antara dua orang yang saling mencintai dan berjanji untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri. Dalam usaha mengorek rahsia rumah tangga kekal lama, kami telah mendapatkan jawapan daripada Ustazah Asmak Husin, seorang Pendakwah Jodoh, Perkahwinan, Wanita dan Keluarga.
Hal ini kerana, setiap pasangan yang berkahwin semestinya mengimpikan rumah tangga kekal lama bahkan berharap sehingga ke akhir usia. Ketahui tip 5 Rahsia Kekalkan Rumah Tangga yang dikupaskan oleh Ustazah Asmak. Namun penting juga untuk ketahui dahulu 3 tanda-tanda awal yang mengarah kepada kehancuran rumah tangga agar kita lebih berwaspada.

3 Tanda-tanda Awal Kehancuran Rumah Tangga
1. Membiarkan Hal Keluarga Ada Campur Tangan Orang Ketiga
Orang ketiga yang dimaksudkan di sini yang boleh membawa makna seperti kawan, ibu bapa dan sesiapa sahaja. Hal ini kerana, jika mereka mencampuri hal keluarga secara berlebihan barangkali akan membawa kepada perasaan serba-salah, tersepit lalu menjadi punca masalah semakin serius.
Jika ini mungkin berlaku anda boleh cuba mengamalkan doa seperti berikut:
Doa Minta Dijauhkan daripada Orang Ketiga

2. Tiada Pengisian Ibadat dalam Rumah Tangga
Rumah tangga tanpa pengisian ilmu mengenai hal-hal agama akan memudahkan lagi jadi berantakan. Perkara paling mudah ialah solat. Jaga solat maka Allah SWT akan jaga kita.
Firman Allah SWT: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Al-Mu'minun: Ayat 9,10,11)
Pada peringkat permulaan, anda dan pasangan digalakkan untuk solat bersendirian atau bersama-sama agar menjadi rutin. Kemudian, terapkan ibadah lain seperti mengaji al-Quran. Kerana ketika suami mengimami isteri, maka sebuah hubungan akan menjadi lebih harmoni dan lebih indah untuk mendirikan solat bersama setiap waktu.
3. Tiada Komunikasi Yang Berlaku
Jika hanya membiarkan diri anda dan pasangan tidak berkomunikasi dalam tempoh yang lama, ia adalah perkara yang tak elok! Tetapi sebenarnya jika anda membiarkan perang dingin berlarutan lebih daripada 3 hari pun agak merisaukan kerana membiarkan terlalu lama pasangan tidak berterus terang, tiada komunikasi dan memendam rasa. Agak pelik sebenarnya pasangan suami isteri tidak berkomunikasi jika tinggal sebumbung. Tambahan pula jika ada pihak memilih untuk sambil lewa akan perkara yang terjadi. Jadi, lupakan ego anda dan mulakan inisiatif untuk memulakan perbincangan.
Doa Meningkatkan kasih Sayang Antara Pasangan

Baca artikel 4 Tanda-tanda Pasangan Anda Kena Sihir Pemisah untuk kenal pasti jika pasangan anda kena sihir pemisah.
3 Cara Untuk Anda Mengawal Cemburu
Di dalam perkahwinan, pasti ada bait cemburu dan tidak puas hati yang menjadi asam garam rumah tangga, jadi bagaimana kita hendak mengurangi rasa cemburu dan tidak puas hati agar tidak melampaui batas?
1. Jangan Buat Perkara yang Boleh Timbulkan Fitnah dan Cemburu
Sebagai contoh, elakkan dari bermesra dengan berlainan jantina, bercakap mengenai perkara sensitif seperti membandingkan tubuh badan, masakan dan sebagainya.
2. Terlibat Dalam Hobi Suami Isteri
Jika anda kurang berminat dengan hobi pasangan anda, sekurang-kurangnya libatkan juga di dalam perkara yang mereka minat seperti berikan masa untuk mereka lakukan aktiviti sendiri, kenali rakan pasangan anda, membelikan hadiah seperti barang kelengkapan yang berkaitan dengan hobi dan sebagainya. Dengan ini, anda dan pasangan lebih bahagia kerana masih boleh melakukan apa yang diminati selepas berkahwin!
3. Jangan Berkias, Berterus-terang Saja!
Sifat cemburu ini selalunya didominasi oleh kaum Hawa kerana ingin selalu dekat dengan suami. Tetapi, kaum Adam juga tidak lari dari perasaan sebegini. Jadi, lebih baik anda bersifat jujur dan luahkan apa yang anda rasanya. Tetapi, pastikan mood pasangan anda dalam keadaan baik ya!
5 Rahsia Kebahagiaan Rumah Tangga
1. Banyakkan Bersabar
Menunggu untuk matang dalam berumah tangga memang mengambil masa. Tidak kiralah sudah berapa lama anda telah berkahwin, pasti akan ada saja yang anda hadapi yang boleh dikatakan sebagai ujian rumah tangga. Sebab itulah orang dulu-dulu ada berkata, di dalam perkahwinan memang kena banyakkan bersabar. Hal ini kerana, anda akan menghadapi bermacam-macam kerenah dan perkara yang bukan sahaja daripada pasangan malah mungkin juga keluarga mertua mahupun kenalan.
2. Lakukan Pengisian Rumah Tangga Bersama
Ke mana saja isteri atau suami anda pergi, pastikan anda ikut bersama seperti belangkas. Tidak kiralah makan di luar ataupun di rumah, beribadat, membeli barang dan sebagainya. Dengan itu, hubungan suami isteri akan menjadi lebih akrab dan mesra.
3. Kembalikan Mawaddah di dalam Rumah Tangga
Mawaddah memberi makna cinta, kasih sayang di antara suami isteri. Jika rasa cinta itu kurang, perkara itulah yang perlu diperbaiki agar hubungan suami isteri menjadi lebih baik. Anda mestilah tidak mahu rumah tangga sentiasa goyah dan kerap bergaduh bukan? Anda boleh mencuba untuk berikan surprise tanpa dipinta, luangkan masa bersama, tidak menggunakan kata-kata yang kasar, mengungkapkan perkataan cinta dan macam-macam lagi.
4. Cari 'Me Time'
Jangan asyik sibuk dengan rutin harian anda. Bergilir-gilir dengan pasangan untuk ada me time agar anda boleh manjakan diri dan melakukan perkara yang digemari. Ini penting ya supaya jiwa juga mental anda dalam tahap yang sentiasa tenang dan positif!
5. Ikut Kaedah Romantik Cara Rasulullah SAW
Di dalam perkahwinan Nabi Muhammad SAW bersama isteri-isterinya, Baginda membuat perkara ini bersama isteri-isterinya seperti mandi bersama-sama, mendukung isteri, memanggil isteri dengan panggilan manja, makan dan minum menggunakan pinggan dan gelas yang sama dan meletakkan kepala di pangkuan isteri.
Ustazah Asmak Husin juga ada kongsikan doa yang boleh diamalkan pasangan suami isteri
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqon: 74)
Cara Terbaik untuk Selesaikan Konflik dalam Hubungan Rumah Tangga
1. Rujuk Orang Ketiga yang Boleh Bantu Rumah Tangga
Rujuk dengan mereka yang lebih berpengalaman seperti ibu bapa, orang alim, doktor, pakar kaunseling dan juga pakar bidang berkaitan agar mereka mampu memberikan idea dan mungkin jalan penyelesaian.
2. Berbincang dengan Tenang
Ketika di fasa ini, pastikan anda tahu apa yang anda ingin luahkan dan pasangan mampu berbicara dengan tenang. Dengan itu, anda tidak akan menyakiti hati pasangan dan membuatkan masing-masing ‘menyorokkan’ perasaan yang dipendam dan tawar hati dengan perkara yang terjadi. Ketika ini, luahkan apa yang anda inginkan dan masalah yang dihadapi dengan hati yang terbuka.
3. Fikirkan Hal Anak-anak
Semasa anda dan pasangan sedang menyelesaikan konflik yang berlaku, pastikan tidak mengabaikan hak anak-anak anda. Adalah lebih baik anda menyembunyikan masalah yang anda hadapi agar mereka tidak terbeban dengan emosi atau perbuatan yang anda tunjukkan di hadapan mereka seperti bertengkar, membaling barang, kerap bermasam muka dan sebagainya.
Jika tidak mencapai kesepakatan dan membuat keputusan untuk bercerai juga, pastikan dilaksanakan dengan cara yang baik. Anda boleh ketahui dengan lanjut di sini.
Semoga perkongsian mengenai 5 Rahsia Kekalkan Rumah Tangga dapat dijadikan panduan dan ikutan buat pasangan yang bakal berkahwin dan yang telah berkahwin. Diharapkan kesilapan yang harus diperbaiki dapat memberikan keberkatan di atas rumah tangga. Alang-alang, anda boleh honeymoon sebentar di Indonesia, Korea, Jepun dan Vietnam dengan Ikhlas Travel.
Baca artikel lain di ikhlas.com:
4 Lokasi Mesti Lawat di Sekitar Gunung Fuji