[Tanya Ustazah] 3 Panduan Hubungan, Persepsi Dan Realiti Bila Berkahwin

Hanan Latip

3/13/2024

[Tanya_Ustaz]_3_Panduan_Hubungan_Persepsi_Dan_Realiti_Bila_Berkahwin.jpg

Realiti memasuki alam perkahwinan adalah berbeza dengan ketika sedang bercinta. Apabila ramai orang kongsikan momen indah mereka di sosial media, cerita romantis ditayangkan di dalam drama dan novel-novel cinta hangat diterbitkan seakan-akan menutup realiti perkahwinan yang sebenarnya.

Oleh sebab itu, ada ulama meletakkan syarat sekufu untuk berkahwin bagi memberikan keselesaan dan keharmonian dalam rumah tangga walaupun ia bukan antara rukun pernikahan. 

Sekufu atau kufu’ memberi makna persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek seperti agama dan kesolehan, pekerjaan dan tidak cacat. Dengan adanya keserasian, permasalahan atau persefahaman dapat dileraikan dan dapat mengelakkan wujudnya konflik yang besar dalam perkahwinan.

Apabila dua individu ada jurang dari segi cara pemikiran mereka atau sifat dan pemahaman yang terlalu jauh berbeza, akan mudah untuk wujudnya konflik seperti salah faham atau mungkin akan menimbulkan kearah perceraian. Pandangan ini diberikan oleh Ustazah Asmak Husin, seorang Pendakwah Jodoh, Perkahwinan, Wanita dan Keluarga.

template_Ig_Share.png

Menurut beliau, persediaan untuk berkahwin penting agar persepsi perkahwinan seperti sifat pasangan, penerimaan keluarga pasangan dan sebagainya dapat dihadapi dengan baik.

Tambah beliau lagi, ketika di usia baligh merupakan usia yang sesuai untuk belajar ilmu menguruskan tanggungjawab diri dan keluarga. Seperti contoh melakukan kerja-kerja rumah, berinteraksi dengan orang tua dan muda, membuat keputusan mengenai kewangan dan macam-macam lagi. 

Dari situ, perkara-perkara yang dilakukan sejak remaja sehinggalah meningkat dewasa akan menjadi kebiasaan dan mampu dilakukan setelah berkahwin. 

Ilmu rumah tangga yang dipelajari dari kursus perkahwinan berbeza kerana kita akan mempelajari ilmu perkahwinan secara teori dan lebih terperinci. Hasilnya, ilmu-ilmu dapat digunakan dengan baik dan mudah untuk membentuk keluarga baru.

Perkara Penting Pasangan Baru Berkahwin Wajib Tahu

1. Ilmu Agama

Ilmu agama ini meliputi tentang hal rumah tangga, tanggungjawab suami isteri, ibu dan ayah. Hal ini kerana, bila kita mengetahui perkara-perkara sedemikian, kita akan lebih menghargai dan menghormati sesama individu.

Jika tidak memahami peranan dan tugas sebagai suami isteri, ia akan menjadi cabaran satu ketika nanti. Ilmu ini patut dipelajari berterusan bagi memperbaharui amal dan pengetahuan.

2. Ilmu Rumah Tangga

Kini, majoriti wanita mempunyai kerjaya sendiri. Oleh itu, pasangan suami isteri harus bertoleransi bagi memastikan urusan rumah tangga dapat dilakukan secara bijak. 

Pada awalnya, perlu mengadaptasi kehidupan berdua, kemudian perlu mengimbangi kehidupan setelah mempunyai anak. 

Hal ini kerana, ia akan melibatkan emosi dan mental kedua belah pihak jika tidak merancang atau tidak mencapai persefahaman mengenai urusan rumah tangga kerana hal rumah tangga tidak akan pernah habis. 

3. Ilmu Kepimpinan

Seorang suami perlu ada ilmu kepimpinan kerana mereka adalah ketua yang mengemudi bahtera perkahwinan. Isteri pula perlu menyokong dan membantu sepanjang perkahwinan.

Pokoknya, di dalam keluarga perlu menerapkan aspek kerohanian dan moral. Jika seisi keluarga dipimpin dengan betul, ia akan menjadikan keluarga sakinah mawaddah warrahmah. 

Apa yang harus dipersiapkan dalam diri demi kemaslahatan mental dan fizikal setelah berkahwin?

Persediaan Sebelum Berkahwin

1. Sabar dan Syukur

Pertama sekali, anda hendaklah bersyukur kerana telah mempunyai pasangan yang  berkerja, mahu bersusah payah bersama-sama dan berusaha untuk ke gerbang perkahwinan.

Setiap kesusahan yang dilalui sebelum berkahwin akan mengajar kita bahawa dengan berilmu dan bertolak ansur telah mengajar diri untuk saling melengkapi dan ada perkara yang perlu dibaiki. 

2. Menjadi Seorang yang Fleksibel

Kebiasaan diri sendiri tidak mestilah menjadi kebiasaan orang lain. Oleh itu, cuba untuk menerima perangai atau perkara yang dilakukan oleh pasangan. Jika agar sukar untuk fleksibel dalam sesetengah perkara, anda harus beritahu pasangan. Sebagai contoh, anda seorang yang tepati masa tetapi tidak pada pasangan. 

3. Buang Persepsi yang Tidak Masuk Akal

Hentikan daripada ada persepsi yang tidak masuk akal seperti pasangan akan kelihatan cantik atau kacak sepanjang masa atau hanya perkara yang manis saja yang berlaku dalam perkahwinan. 

Seperti mana yang ada lihat situasi yang dihadapi ibu dan bapa kita, begitulah yang akan terjadi pada diri sendiri. Di mana, akan ada pergaduhan kecil, terlihat sisi kekurangan masing-masing dan sebagainya. Anda akan tertekan jika masih mengharapkan perkara yang tak masuk akal.

Tip Mengenali Pasangan Dengan Mendalam Bagi Mereka Yang Baru Berkahwin

Semasa tempoh awal perkahwinan, sudah pastinya anda akan berhadapan beberapa situasi kerana masih lagi di dalam tempoh menyesuaikan diri. Berikut antara tips yang boleh digunakan:

1. Kenali Pasangan Anda

Anda akan mula mengenali pasangan apabila suatu masalah berlaku. Dari sinilah akan lebih mengenali sifat dan kelakuan kebiasaan masing-masing. Maka, untuk menguruskan jurang yang berlaku adalah lebih baik anda dan pasangan berlapang dada dan meluahkan perasaan ketika emosi sudah stabil.

2. Rujuk Kepada Orang Berpengalaman 

Sedar atau tidak, apabila kita bergaul atau bersembang dengan orang yang lebih tua, anda akan dapat mengetahui lebih banyak perkara seperti hal-hal perkahwinan. Dari situ, anda boleh membuat keputusan yang lebih bijak. 

Harus diingatkan, jagalah aib pasangan dan ceritakan secara berkias. 

Jika perkara yang telah dilakukan tidak berjaya untuk mencapai persefahaman bersama pasangan, ada perkara lain yang anda boleh lakukan seperti: 

1. Heart to Heart dengan Pasangan

Sesi luahan hati ini untuk memastikan segala yang dipendam dapat disampaikan dengan baik kepada pasangan. Antara topik yang boleh dibincangkan ialah soal kewangan, perangai diri, perjalanan kerjaya, soal agama dan macam-macam lagi!

2. Rujuk dengan Orang Yang Berpengalaman

Andai langkah di atas kurang berjaya, boleh menggunakan pandangan wali, mak ayah, makcik atau pakcik yang mampu menawarkan jalan keluar yang bernas. 

3. Berjumpa dengan Pihak Berkuasa

Langkah ini wajar dilakukan jika dua langkah di atas tidak berjaya. Anda boleh merancang untuk mendapatkan nasihat dari ustaz atau ustazah di majlis agama, ataupon berjumpa dengan kaunselor perkahwinan.

Semoga bagi sesiapa yang membaca artikel dilapangkan dada untuk menerima segala kebaikan dan keburukan pasangan masing-masing kerana setiap manusia tidak sempurna melainkan Allah SWT. Tidak dilupakan, berusahalah untuk mencari keredaan Allah SWT agar percintaan yang diikat kekal bahagia berpanjangan.