[Tanya Ustaz] Soal Jawab Korban Bersama Habib Nael
Nurul Atikah Sarji
6/5/2024

Hari Raya Haji atau Aidiladha merupakan satu perayaan utama dalam kalendar Islam yang jatuh pada hari kesepuluh bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar Hijrah. Hari Raya Haji juga menandakan berakhirnya ibadah haji, yang juga merupakan rukun Islam yang kelima. Ibadah ini bukan sahaja melambangkan kesatuan umat Islam dari seluruh dunia, tetapi juga mengajarkan makna pengorbanan dan kepatuhan kepada Allah SWT.

Selain daripada itu, Aidiladha merupakan waktu untuk umat Islam untuk melakukan ibadah korban, bagi mengenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang bersedia untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail sebagai ketaatan kepada perintah Allah. Disebabkan ketakwaan dan keimanan yang ditunjukkan, Allah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor domba jantan.
Untuk mendalami dengan lebih dalam mengenai ibadah korban, kami berjaya menemubual secara eksklusif bersama dengan Al Habib Nael ben Taher, yang merupakan pemimpin Majlis Rasulullah Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa ibadah korban merupakah ibadah yang sangat mulia yang patut dilakukan oleh umat Islam, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Lakukanlah solat dan setelah itu lakukanlah ibadah korban.” - Surah al-Kauthar (2)
Nabi juga berfirman yang bermaksud “Barang siapa yang mempunyai kecukupan, kemampuan dan tidak melakukan ibadah korban, maka sesungguhnya janganlah dia mendekati musholla kami.”
Dalam riwayat yang lain, baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud “Aku diwajibkan untuk melakukan korban akan tetapi dalam masa yang sama, ianya adalah sunah bagi kalian."
Ketika ditanya apakah perlu mendahulukan korban atau akikah, Habib Nael menjawab menurut mazhab Imam Syafie, Ibnu Hajarul Haitami, adalah salah seorang ulama dalam mazhab Syafie beliau berkata sesungguhnya untuk melakukan ibadah korban ini tidak boleh dicantumkan sekali dengan niat akikah kerana keduanya adalah merupakan ibadah berbeza.
“Peluang untuk ibadah korban hanya setahun sekali sahaja, sedangkan peluang melakukan ibadah akikah ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja.
“Maka, kata para ulama, lebih afdal depankan ibadah korban kerana dia ada waktu tertentu yang hanya pada waktu itu saja boleh dilakukan,” katanya.
Bagi pengagihan daging korban, ulama menjelaskan bahawa kita perlu memberikannya kepada golongan fakir miskin kerana mereka golongan yang layak menerima bahagian korban. Selain itu, kita juga perlu ingat bahawa daging korban ini perlu diberikan dalam keadaan yang mentah.
“Tidak boleh diberikan daging korban ini dalam keadaan sudah dimasak ataupun sudah diawetkan. Maka, untuk memberikan kepada golongan fakir miskin, kita perlu memberikan dalam keadaan yang mentah, sehingga ini memberikan manfaat kepada mereka. Mungkin mereka ingin menjual daging ini,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa ulama berpendapat bahawa, jika kita sudah selesai mengagihkan bahagian kepada fakir miskin, daging yang selebihnya itu boleh diberikan kepada tetamu dalam keadaan yang sudah masak.
Ketika ditaya Mengenai hukum memberikan daging korban kepada orang bukan Islam dan mereka merupakan fakir miskin, beliau menjelaskan bahawa jika daging korban tadi merupakan nazar (wajib), maka ianya wajib diberikan kesemuanya kepada orang Islam. Tetapi, jika ia merupakan ibadah korban sunnah, maka di sini beberapa pendapat. Habib Nael juga menjelaskan bahawa ada pendapat yang menjelaskan tidak boleh kerana ibadah korban perlu diberikan kepada golongan fakir miskin.
“Selain itu, ada beberapa pendapat ulama pula menjelaskan haram memberikan daging korban kepada kafir harbi (kafir yang memerangi / membenci umat Islam). Tetapi, kita boleh memberikan daging korban kepada kafir zimmi (kafir yang menghormati umat Islam). Cuma yang dianjurkan adalah, daging korban ini diberikan kepada orang Islam,” katanya.
Selain itu, hukum makan haiwan korban secara keseluruhannya adalah halal kerana haiwan korban adalah haiwan yang halal untuk kita makan. Tetapi adakah kesemua organ haiwan tayyiban untuk dimakan?
“Maka ini para ulama menjelaskan bahawa hukumnya makruh bagi makan organ haiwan korban yang walaupun statusnya halal tetapi organ tersebut tidak biasanya dimakan oleh masyarakat kita.
“Nabi Muhammad SAW sendiri tidak suka makan iaitu darah, pundi hempedu, kemaluan binatang, testis, faraj bagi haiwan betina, kelenjar dan pundi kencing.
“Kesemuanya makruh untuk kita makan kecuali darah, kerana darah sudah menjadi najis apabila telah berpisah daripada badan,” katanya.
Dalam ketika kita melakukan ibadah korban, sudah tentu perkara yang perlu difikirkan iaitu adakah kita perlu membayar upah kapada penyembelih?
Menurut Habib, beliau menjelaskan bahawa diharuskan memberikan upah kepada penyembelih, dengan syarat wang tersebut diberikan oleh penganjur sendiri. Sebagai contoh, pertubuhan yang menganjur program korban ini.
“Tetapi perlu dijelaskan bahawa ini merupakan wang korban dan juga sudah termasuk wang untuk proses korban. Yang penting, wang upah ini dibayar oleh penganjur secara berasingan dan bukannya diupahkan dengan memberi bahagian daging korban kepada penyembelih,” tegasnya.
Selain itu, sudah tentu kita ingin mengetahui berkaitan dengan hukum mengorbankan haiwan betina jika terdapat janin. Menurut ulama, perlu dipastikan dahulu sama ada haiwan ini mempunyai janin ataupun tidak. Adakah bunting ataupun tidak.
“Tetapi jika kita sudah tahu, bahawa haiwan ini bunting, maka kata para ulama, hukumnya haram untuk melakukan ibadah korban. Bahkan para ulama juga menganjurkan untuk tidak menyembelih haiwan yang baru saja melahirkan kerana risau jika haiwan tersebut kekurangan daging dan sebagainya,” katanya.
Jika kita sudah selesai mengorbankan, tetapi setelah itu baru kita tahu bahawa haiwan ini mempunyai janin dan masih hidup, maka kata para ulama hendaklah disembelih daging tersebut dan boleh dimakan. Hukum korban menjadi satu ekor sahaja, kerana janin tersebut merupakan sebahagian daripada ibu kepada janin.
Korban di luar negara menjadi ‘trend’ terkini dalam kalangan masyarakat Islam. Namun adakah ini diperbolehkan?
Menurut Habib Nael, korban di dalam negara mahupun luar negara itu hukumnya harus. Tetapi, jika di kawasan kita sendiri mempunyai ramai golongan fakir miskin, maka lebih dianjurkan untuk melakukan ibadah kurban di negara kita sendiri, berbanding negara lain.
“Kecuali, di negara orang lain itu mempunyai ramai fakir miskin berbanding negara kita, maka adalah lebih baik untuk kita memberikan kepada golongan yang memerlukan,” tegasnya.
Semoga ibadah korban kita diterima oleh Allah SWT. Ingin melakukan ibadah korban bersama IKHLAS, anda boleh melayari pautan ini.