[Tanya Ustaz] Hukum Memberikan Duit Raya, Wajib Ke?

Hanan Latip

4/3/2024

Beri_Duit_Raya_Wajib_Ke_(Header).png

Seronoknya dapat duit raya, lagi-lagi bagi yang masih kecil. Ketika inilah kanak-kanak seronok berlumba untuk mengumpul wang sebanyak mungkin. Jika sudah besar ni, peluang nak dapat duit raya tu dah makin tipis. 

Dalam masyarakat kita, ada individu yang datang dari keluarga kurang berkemampuan untuk memberikan duit raya. Namun tanpa disedari, ada juga yang sewenang-wenangnya meminta duit raya tanpa rasa bersalah kepada golongan kurang berkemampuan. Jadi, apakah hukumnya jika berada dalam keadaan sebegini?


Budaya Memberikan Duit Raya

Tahukah anda, budaya memberi duit raya ini bermula daripada masyarakat Cina dan kemudian diterapkan ke dalam masyarakat Melayu. Islam berpandangan bahawa konsep memberi duit raya menepati perbuatan bersedekah kerana anda telah melakukan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada ibu bapa), mengeratkan silaturahim dan pahala sedekah itu sendiri. 


Hukum Memberikan Duit Raya 

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan HARUS untuk memberi duit raya kepada kaum keluarga dan jiran tetangga yang datang menziarah. 

Mereka juga ada cadangkan beberapa syarat seperti berikut:

  • Tidak memaksa diri dalam pemberian duit raya terutamanya dengan jumlah yang besar.
  • Individu yang menerimanya perlu bersyukur dengan kadar yang diterima dan jangan diungkit-ungkit. 
  • Utamakan pemberian duit raya kepada golongan fakir, miskin dan mereka yang memerlukan.

Beri_Duit_Raya_Wajib_Ke_(Header)-min.png

Haram bagi orang dewasa atau sudah akil baligh meminta-minta duit raya kepada orang lain. Keterangan itu bersumber daripada hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA dalam Sahih Muslim nombor 1041. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تكرا فإنَّما يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِل أو ليستكثر

Maksudnya: "Barangsiapa meminta-minta kepada orang lain dengan tujuan untuk memperbanyak kekayaannya, sesungguhnya ia telah meminta bara api; terpulang kepadanya, apakah ia akan mengumpulkan sedikit atau memperbanyaknya," Hadis Riwayat Muslim.

Memberi duit raya adalah tidak wajib, apatah lagi bagi anda yang tidak berkemampuan dan ada perkara lain yang harus diutamakan. Walaupun anda sudah bekerja, usah paksa diri untuk memberikan sedekah kepada keluarga dan sanak-saudara. Anda harus ingat, orang lain tidak akan tahu susah senang kita. Usah terbeban dengan perkara ini hingga menyebabkan perbelanjaan harian anda berada dalam krisis!

Jika ada yang bertanya “dah kerja tapi kenapa tak bagi duit raya?” anda boleh memberi jawapan seperti “duit lari sikit daripada bajet”, “ada banyak komitmen yang wajib, jadi kena utamakan hal itu dulu”, “harap-harap ada rezeki lebih untuk beri pada tahun depan”, ataupun diam dan senyum sahaja. 

Semoga anda dapat muhasabah diri dan prihatin dengan situasi masyarakat di luar sana. Anda juga boleh kongsikan perkara ini dengan orang lain. Semoga bermanfaat!