[Tanya Ustaz] Adab Menziarahi Kubur. Wajarkah Melawak Tentang Si Mati?
Ayu Nadirah
6/5/2024
Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Umat Islam digalakkan untuk menziarahi kubur supaya ia dapat memberi peringatan dan kesedaran tentang hakikat kematian. Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruh kita untuk menziarahi kubur kerana padanya terdapat pengajaran, selain mampu menzuhudkan diri dan mengingatkan diri kepada akhirat.
Hukum menziarahi kubur adalah sunat dan dituntut pada hari Jumaat, serta hari sebelum atau selepasnya. Berikut pula adalah adab yang perlu dijaga ketika menziarahi kubur, serta perbuatan yang dilarang ketika berada di perkuburan.
Adab Sewaktu Menziarahi Kubur
- Pastikan anda menziarahi kubur dalam keadaan menutup aurat dan jangan berlebihan dalam berpakaian seperti memakai kasut yang mewah ketika berjalan di tanah perkuburan yang membawa tanda kemewahan dan kesombongan.
- Digalakkan menziarahi kubur dalam keadaan berwuduk.
- Sewaktu melangkah masuk ke tanah perkuburan, disunatkan untuk memberi salam kepada penguhuni kubur dengan ucapan "Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kubur daripada kaum mukminin dan kami insya-Allah pasti akan menyusul kalian," Hadis Riwayat al-Tirmidzi.
- Disunatkan memberi salam secara khusus kepada ahli kubur yang diziarahi dalam keadaan berdiri rapat di tepi kuburnya dan menghadap ke arah muka jenazah serta membelakangkan kiblat.
- Elakkan daripada melangkah dan memijak kubur yang ada. Perbuatan ini adalah makruh. Namun dibolehkan jika kawasan pekuburan itu terlalu sempit sehingga laluan menjadi terhad.
- Ketika menziarahi kubur, boleh dalam keadaan berdiri atau duduk, sepertimana anda menziarahi si mati ketika dia masih hidup.
- Anda boleh bacakan ayat al-Quran atau apa-apa surah seperti surah Yasin ketika berada di kubur. Anda akan peroleh pahala bacaan ayat al-Quran, sementara orang yang meninggal dunia itu akan mendapat rahmat Allah dengan bacaan tersebut. Sedekahkan juga pahala bacaan kepada si mati.
- Setelah itu, ambil masa untuk mendoakan keampunan dan rahmat buat si mati. Semoga semua doa dan pahala akan sampai kepadanya dengan izin Allah.
Perkara yang Dilarang Ketika Menziarahi Kubur
- Jangan sesekali meninggikan suara, menangis sehingga meraung dan meratapi si mati. Jika mahu membaca al-Quran atau berdoa sekalipun, gunakan suara yang rendah.
- Elakkan daripada bersembang dan berkata-kata kosong sepanjang berada di tanah perkuburan. Apatah lagi bergurau atau menjadikan si mati sebagai bahan lawak. Kubur selayaknya menjadi tempat peringatan kepada semua, bukannya menjadi satu medium untuk melakukan content yang tidak bermanfaat.
- Tidak perlu bawa jambangan bunga semasa menziarahi kubur. Perbuatan ini dianggap sebagai bid'ah yang haram, di mana ia umpama mengikuti budaya orang bukan Islam dalam upacara pengebumian mereka.
- Jangan duduk di atas kubur atau di tepi batasan kubur. Tempat ini adalah mulia dan perlu dijaga adab dan batasnya.
- Tidak boleh meninggikan tanah kubur atau membuat binaan di atas tanah kubur sama ada di dalam atau luar kubur dengan bahan serap haba seperti simen atau kapur. Namun jika membina kepok atau binaan di atas tanah kubur dengan tujuan supaya tanahnya tidak mendap atau tidak dipijak, maka binaan ini harus dibuat dengan syarat ia rendah dan tidak berlebih-lebihan.
- Jangan melampaui batas seperti memegang kubur atau batu nisan dan menciumnya. Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya al-Majmu' bahawa Abu al-Hasan menyatakan "Memegang kubur dan menciumnya, sebagaimana yang dilakukan orang awam sekarang, termasuk dalam bid'ah yang tercela secara syarak."
Semoga ziarah ke tanah perkuburan menjadi suatu amalan yang makin mendekatkan diri kepada Allah dan mengingatkan tentang hakikat kematian yang semakin menghampiri kita semua.