[Tanya Ustaz] 3 Teladan Rasulullah SAW dalam Mendidik Anak

Hanan Latip

2025-09-10

Rasulullah SAW adalah individu sempurna dalam segala aspek kehidupan, termasuk dalam mendidik anak. Baginda tidak hanya memberikan nasihat atau arahan, tetapi juga menunjukkan teladan nyata dalam membentuk karakter anak, baik anak kandung, anak tiru, cucu, mahupun anak para sahabat.

Mendidik anak lelaki dan perempuan semestinya berbeza. Pendekatan, hikmah dan cara yang berbeza dalam mendidik anak mengikut teladan Rasulullah SAW bakal membantu anda untuk menjadi ibu bapa terbaik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga," Hadis Riwayat al-Bukhari. Dalam artikel ini, kita akan menggali lebih dalam cara Rasulullah SAW dalam mendidik anak untuk kebaikan dunia dan akhirat mereka. 

Keberanian 

Nabi Muhammad SAW mendidik sifat berani dan ia didedahkan kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan secara saksama. Sebagai contoh, Fatimah Az-Zahra terlibat dalam Perang Uhud sebagai pertolongan utama untuk para pejuang ketika itu, seperti menyediakan air, membersihkan luka dan memberikan sokongan moral kepada para tentera. Bagi memupuk sifat keberanian ini dalam diri anak kecil, anda boleh melatih mereka berkomunikasi dengan orang ramai, aktif dalam pertandingan dan sebagainya. 

Pendidikan 

Rasulullah SAW juga menggalakkan anak kecil bersaing secara sihat. Sama ada dalam akademik ataupun bukan, hal ini secara tidak langsung akan menggalakkan mereka membuat sesuatu dengan terbaik demi mendapatkan sedikit ganjaran. Contohnya, setiap kali Nabi kembali dari bermusafir, anak kecil dalam keluarga Baginda akan berkejaran ke arahnya. Hal ini kerana, sesiapa yang sampai dahulu akan dapat menaiki unta! Buat yang belum dapat, pastinya akan mencuba lagi di hari lain.

Kebersamaan

Makan bersama ahli keluarga adalah suatu perkara yang mengajar anak untuk bersyukur dan menjaga adab. Perkara inilah yang Nabi lakukan agar dekat dengan anak yang masih muda, walaupun ketika itu makan bersama anak dan isteri bercanggah dengan adat. Dalam hadis yang lain, Nabi SAW ada bersabda:

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ

Maksudnya : “Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu," Hadis Riwayat al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022).

Hadis di atas merujuk kepada pengajaran Rasulullah SAW yang ditujukan kepada Umar bin Abi Salamah, yang merupakan anak asuhan Nabi. Nabi SAW memberikan pengajaran kepada Umar bin Abi Salamah kerana dia mengambil makanan yang diinginkan dan tidak mengambil kira sama ada makanan itu dekat atau jauh. Beginilah adab yang diajar Nabi kepada anak kecil.

[Tanya Ustaz] 3 Teladan Rasul dalam Mendidik Anak.png

Adakah penting mendidik anak sejak dari dalam kandungan lagi? Ustaz Luqman berkata, sebelum mempunyai anak lagi anda boleh mendidik bayi di dalam kandungan dan malah lebih baik jika mendidik diri sendiri dan pasangan terlebih dahulu sebelum berkahwin. Bagi lelaki atau suami yang ingin memilih calon isterinya (dan juga sebaliknya), pilihlah bakal suami atau isteri yang beragama, kerana pasti anda akan bahagia. Justeru, didiklah diri sendiri terlebih dahulu untuk menjadi orang yang penuh ilmu agama. Kemudian, barulah berkahwin dan berbincang mengenai pendidikan anak.

Hal ini kerana, bayi yang berada di dalam kandungan mampu mendengar dan bertindak balas dengan apa yang mereka dengar. Sebab itulah, wanita yang hamil digalakkan untuk bersembang dengan bayi bagi membantu fungsi kognitif bayi. Sebab itu apabila bayi itu lahir, perkara pertama yang akan didengari ialah azan, sebuah lafaz yang mulia.

Masih relevankah untuk para ibu bapa mengikuti apa yang Nabi ajarkan dalam mendidik anak? Ustaz Luqman menjawab bahawa ajaran Nabi SAW dalam mendidik anak masih relevan kerana tujuan utama Nabi Muhammad diutuskan adalah sebagai teladan sepanjang zaman. Tetapi terpulang kepada anda untuk memahami dan mengambil manfaat itu untuk disesuaikan mengikut kesesuaian zaman. Sebagai contoh, kanak-kanak yang berumur tujuh tahun harus mempunyai pendedahan dan disuruh mengerjakan solat. Setelah berumur 10 tahun, anak tersebut boleh dipukul sekiranya masih belum menunaikan solat.

Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah SAW: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.

Sebagai ibu bapa, anda boleh mengaplikasikan hadis yang disebutkan di atas. Boleh juga memberikan ganjaran dan membuat jadual bagi memastikan anak anda kekal bersemangat melakukan solat. Apa-apa pun, berikan peluang kepada anak anda untuk memahami di sebalik pentingnya melaksanakan solat kerana mendidik itu ada pelbagai cara seperti lembut, hukuman dan keras.

Dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dikelilingi dengan kanak-kanak seperti anak kandung, anak tiri, cucu dan cucu angkat, sepupu kecil dan anak-anak sahabat Baginda. Baginda juga membetulkan kesalahan yang mereka lakukan. Antara cara yang Baginda lakukan ialah: 

  • Memanggil dengan bahasa kasih sayang dan gelaran yang baik seperti “wahai anakku."

  • Tidak marah mengikut hawa nafsu dan tidak mencela.

  • Memahami keadaan dengan bertanya. Jangan cepat menghakimi tanpa bertanya, walaupun telah mengetahui sesuatu perkara itu. 

  • Menyentuh atau mengusap kepala. Bukannya terus merotan atau memukul. 

  • Doakan perkara yang baik buat anak tersebut.

Teladan Nabi Muhammad SAW menunjukkan pentingnya pendekatan yang lembut, penuh cinta dan berorientasi pada pembentukan akhlak mulia dalam mendidik anak-anak. Hal ini relevan untuk diterapkan oleh ibu bapa dan masyarakat dalam membimbing anak yang masih muda, apatah lagi dalam zaman moden penuh ujian kini. 

Baca juga: Adakah Anak Boleh Memberi Syafaat kepada Ibu Bapa?