Tanggungjawab Anak Lelaki Setelah Menikah: Ibu atau Isteri?
Nurul Atikah Sarji
8/15/2024
.png)
Bahu seorang lelaki sebenarnya memikul satu tanggungjawab yang sangat besar apabila seorang ketua keluarga wajib memberikan nafkah kepada keluarganya. Namun timbul satu persoalan yang besar iaitu, apakah keutamaan dalam pemberian nafkah itu jika seseorang lelaki itu masih lagi mempunyai ibu bapa yang perlu dijaga.
Antara ibu bapa dan isteri, yang manakah perlu diberikan keutamaan?
Persoalan di atas perlu diingatkan bahawa Islam ada menyediakan panduan turutan nafkah mengikut keutamaan. Kita mulakan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir RA,
بْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا
Maksudnya: “Mulakan nafkah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.” – Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997).
Menurut hadis diatas, ini menunjukkan bahawa anak lelaki perlu melebihkan nafkah terhadap isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu. Kecuali, jika terjadinya keadaan darurat yang menimpa terhadap ibunya, maka ketika itu hendaklah diberikan kepadanya.

Menurut Pegawai Agama Ustaz Wadi Anuar, seorang anak lelaki perlu memberikan tanggungjawab kepada seorang isteri tanpa mengabaikan ibunya.
“Isteri terlebih dahulu tanpa mengabaikan ibu. Ini kerana seorang suami perlu memberikan nafkah kepada isterinya. Manakala, ibu kerana bakti. Jadi perlu mengutamakan nafkah.
Pegawai ini juga menegaskan bahawa isu ini perlu dituntaskan dengan lebih terperinci, berdasarkan atas sebuah situasi.
Seterusnya, Menurut kitab Nailul Authar, Imam al-Syaukani ada menyebut bahawa nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibu bapa.
Selain itu, menurut Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama’ ada menyebut bahawa seorang anak lelaki tidak wajib memberikan nafkah kepada ibu bapa, kecuali dalam dua keadaan berikut:
Ibu bapanya miskin serta sangat memerlukan bantuan.
Seorang anak yang mempunyai lebihan harta selepas nafkah yang diberikan kepada keluarganya dan kedua-dua syarat ini disepakati oleh para ulama’.
Seterusnya, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, jika jumlah usul, furu’ dan pihak lain yang memerlukan nafkah adalah ramai, sedangkan lebihan keperluan dirinya tidak mencukupi untuk diberikan kesemuanya, maka dia hendaklah mengutamakan keperluan dirinya sendiri, dengan memberi keutamaan mengikuti susunan berikut:
Isteri - Nafkah kepada isteri adalah suatu kewajipan yang pasti dan tidak gugur walaupun masa berlalu. Ini berbeza dengan nafkah kepada usul dan furu’ yang boleh gugur dengan berlalunya masa, sebagaimana yang telah dijelaskan.
Anak kecil - Ini termasuk anak yang dewasa tetapi tidak waras (gila), kerana mereka tidak mampu bekerja dan memerlukan nafkah.
Ibu - Nafkah kepada ibu adalah wajib kerana ibu tidak mampu bekerja dan haknya telah ditetapkan disebabkan peranannya yang besar seperti mengandung, melahirkan, menyusukan dan mendidik anak.
Bapa - Bapa mempunyai kelebihan yang besar terhadap keluarga dan haknya perlu dijaga.
Anak dewasa tetapi fakir - Anak dewasa yang fakir juga mempunyai hak nafkah kerana hubungan yang rapat dengan bapanya, yang membawa kelebihan tersendiri.
Datuk dan ke atas - Nafkah kepada datuk adalah untuk menghormatinya, sama seperti Datuk. Datuk adalah asal keturunan dan haknya wajib dipelihara.
Secara kesimpulannya, nafkah kepada isteri perlu diutamakan. Namun, jika ibu bapa berada dalam keadaan tidak berkemampuan untuk mendapatkan ubat, rawatan, serta makanan dan minuman yang menjadi keperluan asas kehidupan, maka keutamaan tersebut perlu diberikan kepada mereka agar kehidupan mereka dapat diteruskan.
Dalam situasi seperti ini, adalah penting untuk adanya keselarasan dan persefahaman di antara semua anak-anak. Setiap anak perlu bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menjaga, membantu dan berkhidmat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, beban tidak akan jatuh kepada satu anak sahaja, sementera yang lain melepaskan tanggungjawab.
Baca artikel lain:
[Kopi Bersama IKHLAS Episod 6]: Perit Jerih Jadi ‘Tycoon’ Dalam Industri Perkahwinan[Tanya Doktor] 3 Cara Jaga Ibu Bapa yang Sedang Sakit atau Uzur
8 Tip Elak Kena Tipu dengan Agensi Pelancongan