Hukum Ambil Wuduk Tanpa Bersihkan Sunscreen & Pelembap pada Wajah

Nurul Atikah Sarji

2025-11-01

Seiring dengan kehidupan moden masa kini, menjaga kulit daripada sinaran UV dan kekeringan adalah sebahagian daripada rutin harian, terutamanya bagi mereka yang aktif di luar. Namun, timbul persoalan penting bagi umat Islam iaitu adakah sah wuduk jika memakai krim pelindung matahari (sunscreen) atau pelembap (moisturiser) tanpa membersihkannya terlebih dahulu?

_Template images for blog 2.0 - 2025-08-06T125638.142.jpg

Menurut perkongsian daripada Ustaz Wadi Annuar di laman sosial miliknya, antara syarat sah wuduk ialah:

  • Tidak terdapat sesuatu yang menghalang air daripada sampai ke kulit.

  • Air mutlak tidak berubah sifatnya apabila menyentuh anggota wuduk.

Kedua-dua produk ini biasanya mempunyai tekstur berminyak atau berkrim. Ada yang ringan dan mudah menyerap, tetapi juga yang tahan air (water resistant) dan membentuk lapisan pelindung pada lapisan kulit.

Jadi kesimpulannya, Ustaz Wadi Annuar menyatakan bahawa wuduk tidak sah sekiranya produk seperti ini disapu pada kulit. Oleh itu, produk tersebut perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk jika ia menghalang air atau mengubah sifatnya.

Selain itu, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel Al-kafi #1080 menyatakan: “Sekiranya krim pelembap atau krim pelindung matahari menghalang air daripada sampai ke kulit, maka ia perlu dibersihkan dahulu sebelum berwuduk.” Namun, jika sapuan tersebut sangat nipis, menyerap sepenuhnya dan tidak membentuk lapisan yang menghalang air, maka ia dimaafkan dan wuduk masih sah.

Apa yang perlu anda buat sebelum berwuduk?

Sebelum mengambil wuduk, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyemak jenis produk penjagaan wajah yang digunakan seperti sunscreen dan pelembap. Jika tertulis water-resistant atau terasa licin selepas disapu, besar kemungkinan produk tersebut membentuk lapisan kalis air yang menghalang air daripada sampai ke kulit. Dalam keadaan ini, wuduk tidak akan sah.

Seterusnya, pastikan anda membasuh muka dan anggota wuduk terlebih dahulu sebelum berwuduk. Ini sangat penting bagi membersihkan sebarang sisa krim atau bahan pelindung yang masih berada di permukaan kulit dan mungkin menghalang air daripada meresap.

Jadi, sebagai langkah pencegahan dan memudahkan urusan bersuci, sebaiknya gunakan produk yang mesra wuduk, iaitu produk yang cepat meresap ke dalam kulit dan tidak meninggalkan kesan berminyak atau lapisan yang menghalang air. Pemilihan produk yang sesuai bukan sahaja memudahkan proses berwuduk, malah memberi ketenangan hati dalam menunaikan ibadah dengan yakin dan insyaallah diterima Allah SWT.