Betul ke Simpan Bunga Kering Boleh Bawa Sial?
Hanan Latip
8/1/2025
Rata-rata daripada anda mesti pernah menerima bunga atau membelinya sebagai perhiasan. Ada yang menyimpannya lama dan dibiarkan sehingga ia layu. Namun, betulkah terdapat mitos yang mengatakan tidak elok menyimpan bunga kering dan layu? Teruskan membaca.
Ada yang mempercayai bahawa bunga layu atau bunga kering merupakan petanda musibah buruk. Ada juga yang beranggapan bahawa ia akan menghalang rezeki individu yang menyimpannya. Namun adakah semua ini betul menurut pandangan Islam?
Hukum Menyimpan Bunga Kering Menurut Islam
Dalam sudut pandang Islam, hukum asal adalah mubah (boleh) selama tidak ada dalil yang melarangnya. Menyimpan bunga kering tidak memiliki dalil khusus yang melarangnya. Tetapi, ada beberapa perkara yang boleh diambil kira. Antaranya adalah seperti berikut:
Niat menyimpan bunga
Sekiranya anda berniat untuk menyimpan bunga kering semata-mata untuk keindahan, dekorasi atau kenangan, ia dibolehkan selama tidak bertentangan dengan syariat.
Namun, jika menyimpan dengan niat seperti praktik tahayul, sihir atau mempercayai bahawa bunga tersebut memiliki kekuatan tertentu, maka hal ini dilarang kerana termasuk syirik atau bid'ah.
Kebersihan dan keindahan
Jika anda menyimpan bunga kering sehingga berbau busuk atau menjadi tempat berkembangnya debu dan serangga, sebaiknya bunga itu segera dibuang. Hal ini kerana, perkara ini amat bertentangan dengan prinsip menjaga kebersihan yang ditekankan dalam Islam.
Tidak berlebihan
Islam melarang sikap berlebihan. Jika anda ingin menyimpan bunga kering sehingga memerlukan kos yang besar atau ruang secara berlebihan tanpa manfaat yang jelas, maka lebih baik menghindari tabiat menyimpan bunga ini.
Hakikatnya, menyimpan bunga kering dibolehkan dalam Islam selama tidak ada niat atau perbuatan yang melanggar syariat. Pastikan juga anda mampu menjaga kebersihan dan tidak mengumpul barangan secara berlebihan. Hal ini kerana, penting untuk anda melakukan sesuatu selaras dengan nilai-nilai Islam.