Adakah Anak Lelaki Tidak Boleh Mandikan Jenazah Ibunya?

Ayu Nadirah

5/28/2024

Adakah_Anak_Lelaki_Tidak_Boleh_Mandikan_Jenazah_Ibunya.png

Hukum memandikan jenazah adalah fardu kifayah kepada semua umat Islam. Ia membawa makna bahawa apabila urusan itu telah dilakukan oleh mereka yang ada kifayah padanya, maka gugurlah dosa ke atas orang lain. Sekiranya semua meninggalkan perbuatan tersebut, jadi akan jatuhlah dosa kepada semua.

Turutan Keutamaan dalam Mandikan Jenazah

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kebiasaanya apabila seorang lelaki meninggal dunia, jenazah akan dimandikan oleh ahli keluarga terdekat daripada kalangan lelaki juga mengikut keutamaannya. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

Imam_al-Nawawi.png

Prinsip asal dalam memandikan jenazah adalah jenazah lelaki dimandikan oleh orang lelaki dan jenazah perempuan dimandikan oleh orang perempuan. Sekiranya si mati adalah seorang lelaki, maka yang lebih utama untuk memandikannya adalah mereka yang paling utama menunaikan solat jenazah ke atasnya dan juga isterinya. Namun, jika tidak mempunyai isteri, maka orang paling utama untuk memandikan jenazahnya adalah seperti turutan yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di atas.

Dalam satu pandangan lain daripada al-Syafieyyah menyatakan bahawa dalam proses memandikan jenazah lelaki, didahulukan golongan lelaki daripada kalangan kaum kerabat, kemudian isteri, kemudian orang lelaki ajnabi (bukan kerabat), dan turutan terakhir barulah wanita mahram.

Untuk jenazah perempuan pula, boleh lihat kepada kenyataan daripada Imam al-Shirazi Rahimahullah yang menyebut:

Imam_al-Shirazi_Rahimahullah_mandi_jenazah.png

Apabila meninggalnya seorang perempuan dan dia tidak mempunyai suami, maka dia dimandikan oleh golongan perempuan yang mempunyai hubungan kekeluargaan daripada kalangan mahram seperti ibu, anak perempuan, cucu perempuan, saudara perempuan dan ibu saudara. Pendapat sahih dalam kalangan ashab al-Syafieyyah adalah diutamakan golongan perempuan untuk memandikan jenazah perempuan, berbanding suami jika si mati mempunyai suami.

Bolehkah Anak Lelaki Mandikan Jenazah Ibu?

Anak lelaki boleh memandikan jenazah ibunya dan anak perempuan juga boleh memandikan jenazah bapanya. Namun, ia hanyalah dibolehkan apabila tidak terdapat turutan awal golongan yang diberi keutamaan yang disebutkan di atas tadi. Untuk situasi sebegini, jenazah dimandikan di sebalik pakaian yang menutupnya dan mengelap badan jenazah menggunakan kain dan bukannya dengan tangan.

Sekiranya golongan utama untuk memandikan jenazah itu ada, maka tidak boleh untuk anak lelaki memandikan jenazah ibunya, begitu juga tidak boleh untuk anak perempuan memandikan jenazah bapanya.

Semoga dengan panduan ini, proses pengurusan jenazah keluarga terdekat sehingga masuk ke liang lahad dipermudahkan Allah SWT.