6 Panduan Berhibur dalam Islam
Hanan Latip
7/3/2024
Siapa kata anda tidak boleh berhibur? Di dalam hidup ini, anda boleh saja buat perkara yang anda ingin buat seperti melancong, beriadah dan sebagainya agar hidup tidak bosan dan tertekan dengan rutin seharian dan pekerjaan yang dilakukan. Tetapi daripada sudut pandangan Islam, ada perkara yang perlu diikut agar segaris dengan tuntutan agama. Teruskan membaca bagi mengetahui 6 panduan berhibur di dalam Islam.
Hukum Berhibur di dalam Islam
Perlu kita ketahui bahawa di dalam Islam secara umumnya adalah harus (boleh) untuk berhibur selagi mana tidak bercanggah dengan syarak dan tidak membawa kepada kelalaian. Bahkan bergurau juga disunahkan jikalau dalam gurauan itu membuat orang yang kita ajak bergurau berasa gembira dan senang, dengan syarat gurauan tersebut berpandukan dan tidak melanggar hukum-hukum syarak.
Menurut Ustaz Ahmad Dusuki, perkara ini boleh menjadi haram jika kita bergurau dengan membawa kepada kemaksiatan dan hilangnya ketaatan kepada Allah SWT seperti unsur-unsur menghina, merendahkan, menipu dan mengugut seseorang. Jika gurauan tersebut mengandungi kemudaratan ataupun bahaya, maka, kita dilarang untuk melakukannya berdasarkan hadis Baginda SAW, “Jangan ada sebarang bahaya dan yang membahayakan.”
Menurut Ustaz Muhammad Syamil Amjad Bin Zainal Azizi, merupakan seorang tenaga pengajar di Pusat Dar al-Maliki, umat Islam digalakkan untuk tidak berlebih-lebihan dalam bergurau kerana ia bertujuan menghindarkan kita daripada melakukan kemungkaran seperti meninggalkan kewajiban iaitu solat dan lalai sampai tidak menjaga batas ikhtilat antara lelaki dan perempuan dan sebagainya. Hal ini kerana, berhibur tidak terbatas secara lisan boleh membawa kearah penglibatan secara fizikal.
Ustaz Dusuki juga bersetuju di atas pandangan tersebut asalkan masih menjaga adap batasan di antara lelaki dan perempuan kerana hal ini diguna pakai sama ada ketika anda melancong di dalam atau diluar negara. Khususnya, umat Islam diharamkan untuk melawat ke tempat-tempat maksiat.
Garis panduan untuk berhibur dalam Islam
PERSEMBAHAN
Seni Pentas
- Ucapan, gerak laku dan sebagainya yang tidak mengandungi simbol-simbol yang dapat ditafsirkan secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan nilai-nilai Islam;
- Tidak melakonkan watak menyerupai jantina yang berlainan.
Nyanyian
- Berinteraksi dengan penonton secara sopan sama ada melalui perkataan atau perbuatan;
- Tingkah laku tidak liar serta melampaui batas.
Tarian
- Gerak tari tidak mengandungi simbol-simbol yang dapat ditafsirkan secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan nilai-nilai Islam;
- Unsur pemujaan atau penyembahan secara langsung atau tidak langsung kepada sesuatu makhluk atau peribadi lain hendaklah dielakkan.
Bagaimana pula jika kita ingin menonton konsert?
Tambah Ustaz Dusuki lagi, andai kita ingin pergi ke konsert, ia tidak menjadi haram tetapi jatuh haram jika konsert tersebut membawa ke arah kemaksiatan kerana bercampur aduk lelaki dan perempuan lalu membawa kelalaian dan menghilangkan ketaatan kita kepada Allah SWT.
Semasa berada di dalam negara atau luar negara, kita pasti menghadapi perbezaan budaya, tradisi dan agama. Seperti contoh, di Indonesia dan Thailand ada kuil/rumah ibadat agama lain yang menjadi tarikan di situ. Jadi, apakah hukum orang Islam datang melawat dan bergambar dengan tujuan melancong?
Ustaz Muhammad Syamil berpandangan bahawa seorang muslim perlulah menjaga batas dari segi tradisi dan agama. Mengikut pendapat yang paling kuat, dalam membahas menziarahi kuil ataupun rumah ibadat agama lain, hukumnya adalah harus. Namun, ada juga yang berpendapat bahawasanya hukumnya adalah makruh.
Ustaz Dusuki juga bersetuju di atas pandangan tersebut asalkan menjaga batasan diantara lelaki dan perempuan kerana hal Ini terpakai sama ada anda melancong di dalam atau di luar negara. Utamanya, umat Islam diharamkan untuk melawat ke tempat-tempat maksiat.
Selain itu, boleh ke kita melihat persembahan tarian pemujaan seperti Kecak Dance dan ritual menghormati nenek moyang seperti Bon Odori?
Bagi yang tidak mengetahui, tarian Kecak ialah ritual shangyang atau tradisi menolak bala yang diselitkan kisah Ramayana di mana tarian itu menceritakan tentang pencarian Permaisuri Shinta, Raja Rama dibantu oleh Hanoman. Kini, mereka hanya mempertontonkan tarian Kecak sahaja dan tanpa melakukan ritual keagamaan. Bon Odori pula ialah adat masyarakat Jepun yang beragama Buddha sebagai menghormati roh nenek moyang mereka.
Ustaz Dusuki berpandangan bahawa umat Islam tidak boleh ke tempat pemujaan/rumah ibadat agama lain kerana hukumnya haram. Pandangan ini juga disokong oleh Imam Syihabuddin ar-Ramli, Imam Ibn Hajar al-Haitami (Rujuk Nihayatul Muhtaj 2/63, Tuhfatul Muhtaj 2/424). Para ulama’ mazhab Syafi’e juga menyatakan pengharamannya ialah di atas ‘illah kewujudan patung-patung. Selagi umat Islam tidak melangkaui batas-batas agama dan membuat sebarang upacara keagamaan agama lain seperti yang disebutkan di atas, dibolehkan untuk melihat sambutan dan perayaan agama lain. Anda boleh membaca keterangan lanjut oleh Mufti Wilayah Persekutuan di sini.