[Tanya Ustaz] Istighfar & Taubat Kunci Murah Rezeki
Hanan Latip
2025-06-20
Allah SWT sangat mengalu-alukan hambaNya yang bertaubat dan hanya Allah yang tidak menilai keburukan yang pernah hambaNya lakukan. Sematkan hakikat ini dalam hati anda agar tidak mudah patah semangat untuk bertaubat. Untuk mengulas lebih lanjut mengenai topik taubat ini, Ustaz Iqbal Hanif, Ketua Mutawif & Penasihat Syariah ikhlas.com mengupas kepentingan taubat dan kaitannya dengan kelancaran rezeki.
Apa itu taubat?
Taubat bermaksud kembali, iaitu apabila seseorang hamba melakukan kesalahan dan dosa maka dia akan kembali kepada Allah. Apabila hambaNya melakukan dosa, maka Allah akan berkata kepada malaikat, “Jangan dicatat dahulu kesalahannya, mudah-mudahan dia bertaubat." Begitulah sifat pengampun dan pengasihnya Allah kepada hambaNya.
Benarkan dengan bertaubat, rezeki akan lebih lancar dan dapat tenangkan jiwa?
Sheikhul Islam Zakariya al-Ansori menyebutkan dalam kitabnya yang berjudul “Tajul ‘Arus Alhawi Litahzibi Annufus” sesungguhnya maksiat itu adalah salah satu punca tersekatnya rezeki seseorang. Apa yang dapat difahami adalah jika seseorang ingin murah rezeki, bertaubatlah daripada dosa yang dilakukan, kerana salah satu tanda orang yang bertaubat adalah meninggalkan maksiat yang pernah dilakukannya. Malah kehidupannya juga akan menjadi tenteram dan sejahtera. Inilah yang dikatakan keberkatan taubat nasuha.
Syeikh Muhd Zainul Asri juga berkata bahawa berjaga-jagalah dengan dosa, kerana dosa itu akan menyempitkan rezeki. Segeralah bertaubat agar kegelapan hidup akan bertukar menjadi lebih baik asbab bersihnya diri dan rohani dalam menjalani kehidupan yang diberkati Allah.
Syarat taubat
Sekiranya telah melakukan maksiat dan ingin bertaubat, Imam al-Nawawi dalam kitab Riyadhussalihin menyatakan terdapat tiga syarat taubat yang mesti dipenuhi iaitu:
Meninggalkan maksiat yang dilakukan
Menyesali atas perbuatan maksiat
Berazam untuk tidak melakukan maksiat itu buat selama-lamanya
Oleh itu, setelah melakukan dosa, tidak cukup sekadar berisitighfar, anda mestilah memenuhi syarat yang disebutkan di atas.
Sesiapa yang bertaubat dan menyesali atas segala kemaksiatan yang dilakukan, serta bertekad untuk menjauhkan diri daripada segala dosa kerana Allah Taala, pastinya akan mendapat balasan syurga. Semua ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:
"Orang yang demikian sifatnya (beriman dan sentiasa bertaubat atas dosa yang dilakukan), balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka serta syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang yang beramal," Surah Ali Imran (ayat 136).
Terdapat kisah mengenai Nabi Muhammad SAW yang maksum bertaubat sebanyak 100 kali sehari. Kenapa Nabi bertaubat sebanyak itu dan apa yang boleh dipelajari daripadanya? Menurut Ustaz Iqbal, Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik ikutan umat Islam. Nabi bertaubat pada setiap hari bagi menunjukkan rasa syukur baginda kepada Allah SWT dan mengajar kepada umatnya bahawa jika anbiya yang terpelihara daripada dosa pun bertaubat, apatah lagi umatnya yang tidak terpelihara daripada dosa kecil dan besar.
Hukum bertaubat daripada dosa adalah wajib, maka bagi orang yang melakukan maksiat tidak kira ada petanda atau tidak, tetap wajib bertaubat daripada dosa yang dilakukan.
Taubat dan kembali melakukan dosa berulang kali, adakah taubat yang dilakukan diterima?
Mengupas hal ini, Ustaz Iqbal menyatakan sekiranya seorang hamba bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat dan Allah menerima taubatnya, lalu kemudian dia mengulangi lagi kesilapan dan maksiat yang sama, maka ulama mengatakan maksiat yang diulangi itu adalah dosa yang baru. Adapun dosa maksiat yang lama sudah Allah Taala ampunkan. Maka, hendaklah si pelaku maksiat kembali bertaubat kepada Allah terhadap dosa yang diulanginya.
Tanda Allah terima taubat seorang hamba
Hatinya akan tenang dalam beribadah
Senang untuk beribadah
Rasa berat untuk melakukan maksiat
Amalan untuk istiqamah meninggalkan maksiat
Untuk istiqamah dalam meninggalkan dosa, ada banyak perkara yang anda boleh lakukan. Ustaz Iqbal kongsikan beberapa amalan yang antaranya adalah sentiasa mengingati mati dan perbanyakkan zikir kepada Allah. Orang yang banyak berzikir hakikatnya amat dekat dengan Allah. Adapun orang yang tidak berzikir, maka yang akan menjadi pendampingnya adalah syaitan yang direjam.
Antara amalan yang seseorang perlu lazimi setiap hari adalah dengan mengucapkan banyak kalimah syahadah, istighfar dan juga selawat.