Status Umat Islam yang Makan di Restoran No Pork & Tiada Sijil Halal?
Ayu Nadirah
2025-08-29
Lewat ini kebanyakan umat Islam semakin celik soal pensijilan halal makanan yang tersedia di restoran. Umum selama ini mungkin terbiasa makan di restoran yang dipenuhi orang Islam, biarpun tidak menerima pengiktirafan halal. Iyalah, kebanyakan restoran ada meletakkan papan tanda yang menyatakan tiada bahan haram digunakan atau kesemua sumber makanan mereka dijamin halal.
Namun sejauh manakah seorang Muslim boleh menikmati makanan yang terang-terangan tiada pensijilan halal daripada pihak berkuasa?
Bolehkah Makan di Restoran Tiada Pensijilan Halal?
Sekiranya umat Islam makan di restoran atau kedai makan milik orang Islam dan yakin setiap bahan masakan yang digunakan terhindar daripada sebarang syubhah, maka ia tidak menjadi masalah. Biarpun ia tidak memiliki sijil halal. Hukumnya adalah harus, selagi mana kedai berkenaan tidak menggunakan sebarang bahan yang tidak halal dan syubhah dalam masakan mereka.
Keraguan akan timbul apabila pemilik kedai makan itu bukan orang Islam, yang jelas mereka sendiri tidak faham makna sebenar makanan halal. Perkara ini boleh menyebabkan masakan itu menjadi syubhah atau haram.
Syubhah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kesamaran atau kekeliruan. Daripada sisi syarak pula, syubhah adalah segala perkara yang tidak diketahui secara jelas hukumnya, atas sebab tiada dalil yang terang atau perbezaan pandangan pada sesuatu hukum tersebut.
Contohnya: Perkara yang samar hukumnya kerana faktor seperti cara penyediaan, status halal haram, atau pemprosesan, seperti makanan yang tidak diketahui status penyediaannya. Seperti menggunakan kicap tanpa logo halal, di mana ia menimbulkan keraguan status halal kicap tersebut.
No Pork, No Lard Tidak Semestinya Dijamin Halal
Menurut Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, restoran yang mempamerkan ‘no pork, no lard’ membawa maksud mereka tidak menghidangkan daging atau lemak babi. Daging yang dihidangkan secara umumnya adalah daging ayam, lembu dan makanan laut.
Namun, satu perkara yang anda perlu tahu adalah biarpun premis bukan Islam telah menyatakan perkara berkenaan, ia bukanlah bermaksud restoran mereka dijamin 100 peratus halal. Ini kerana apabila mereka mendakwa restoran tidak menggunakan bahan seperti daging dan lemak babi, tidak semestinya bahan-bahan lain yang digunakan seperti ayam, daging lembu dan bahan masakan lain adalah halal.
Tidak halal suatu sembelihan itu melainkan jika anda mengetahui bahawa ia disembelih selari dengan kehendak syarak. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jika ada syak atau keraguan pada sembelihan yang menghalalkan haiwan itu, maka ia tidak halal dimakan kerana hukum asalnya adalah haram. (al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/78)
Kesimpulannya, orang Islam tidak boleh dan haram memakan makanan (terutamanya yang berasaskan daging) daripada restoran atau kedai makan bukan Islam yang hanya meletakkan info ‘no pork, no lard’ sehinggalah diyakini bahawa makanan tersebut halal dan tidak mengandungi bahan bernajis yang tidak dibenarkan oleh syarak, umpama arak dan sebagainya. Peralatan memasak juga mestilah bersih dan tidak bernajis.

Pendapat ini dilihat lebih selamat dan sebagai mengambil langkah berhati-hati. Apatah lagi sukar untuk menjamin restoran bukan Islam bebas daripada bahan bernajis atau haram di sisi Islam.
Dalam Islam juga, perbuatan meninggalkan restoran yang diragui status halalnya adalah bertepatan dengan saranan agama untuk menjauhi perkara syubhah. Perbuatan ini dituntut dan lebih menenangkan jiwa. Semoga dengan ilmu yang dikongsikan ini, dapatlah anda lebih berjaga-jaga soal pemakanan halal yang amat dititikberatkan dalam Islam.