Siapakah Golongan yang Mati Syahid?
Ayu Nadirah
4/29/2024

Seiring waktu berlalu, perkara yang paling menghampiri seorang hamba Allah adalah kematian. Sesungguhnya hakikat tentang bila, di mana dan bagaimana seseorang meninggal dunia adalah di bawah ketentuan Sang Pencipta. Bagaimana pula dengan kematian syahid? Apakah yang membezakan kematian biasa dengan kematian syahid? Di sini, anda perlu memahami bahawa syahid terbahagi kepada tiga jenis pandangan jumhur ulama iaitu syahid dunia akhirat, syahid dunia dan syahid akhirat.
Syahid Dunia dan Akhirat
Siapakah golongan yang termasuk dalam syahid dunia dan akhirat? Meraka adalah orang beriman yang mati di medan peperangan, yang ikhlas berjuang di jalan Allah untuk menegakkan agama Islam dan hanya mengharapkan keredaan Allah. Golongan ini dikira syahid dunia kerana sejurus selepas kematian, mereka tidak dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Jenazah mereka akan terus dikebumikan dalam keadaan kematian mereka, biarpun dengan badan dan pakaian yang berlumuran darah. Mereka juga dianggap syahid akhirat kerana mereka diberi ganjaran pahala syahid di sisi Allah.
Menurut hadis daripada Saidina Jabir RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:

Syahid Dunia
Golongan syahid dunia pula adalah mereka yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah, tetapi pada masa yang sama melakukan perkara yang menghalang daripada mendapatkan syahid, seperti berjuang kerana menginginkan harta rampasan ataupun berperang semata-mata kerana mahu membuktikan keberanian dan mendapat kemuliaan di mata manusia. Golongan seperti ini dianggap syahid dunia sahaja, di mana jenazah mereka tidak dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Namun mereka tidak dikira sebagai syahid akhirat kerana tidak menerima pahala syahid yang sempurna.
Syahid Akhirat
Akhir sekali adalah golongan syahid akhirat, di mana mereka ini meninggal dunia bukanlah di medan perang, namun kematian atas sebab yang telah disebutkan dalam habis yang terkait dengan mati syahid. Mereka diberikan ganjaran pahala orang yang syahid akhirat, tetapi tidak sama dengan golongan pertama yang syahid dunia dan akhirat. Golongan syahid akhirat ini wajib diuruskan seperti jenazah biasa iaitu perlu dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Terdapat tujuh golongan syahid akhirat iaitu seperti berikut:
Meninggal dunia disebabkan penyakit yang berkaitan dengan perut
Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid," Hadis Riwayat Muslim (1915).
Meninggal dunia dalam keadaan lemas tenggelam dan ditimpa runtuhan bangunan
Sabda Rasulullah SAW: "Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah," Hadis Riwayat al-Bukhari (652).
Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak
Sabda Rasulullah SAW: "Seorang Muslim yang terbunuh dikira sebagai syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian kerana sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid," Hadis Riwayat Ibn Kathir (5869).
Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya
Sabda Rasulullah SAW: "Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!” “Bagaimana kalau dia melawanku?” Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!” “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid." “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!” Hadis Riwayat Muslim (140).
Meninggal dunia disebabkan penyakit taun
Aisyah berkata: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum Muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid." Hadis Riwayat Bukhari (3215).
Meninggal dunia akibat kebakaran
Daripada Jabir RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Orang-orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah tujuh orang, iaitu korban wabak adalah syahid; mati tenggelam (ketika melakukan safar dalam rangka ketaatan) adalah syahid; yang punya luka pada lambung lalu mati, matinya adalah syahid; mati kerana penyakit perut adalah syahid; korban kebakaran adalah syahid; yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid; dan seorang wanita yang meninggal ketika melahirkan anak adalah syahid," Hadis Riwayat Abu Daud (3111) dan al-Nasaie.
Apakah Keistimewaan Orang Mati Syahid?
Orang yang tergolong dalam syahid dikurniakan ganjaran istimewa daripada Allah. Mereka memperoleh kemenangan dan pahala yang cukup besar. Daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Sabda Rasulullah SAW:

Apa yang paling penting adalah, sentiasalah berusaha untuk memperbanyakkan amal sepanjang hidup supaya dikurniakan kematian husnul khatimah. Hanya Allah yang mengetahui akan hakikat sebenar kematian seseorang, sama ada dia syahid ataupun tidak. Sesungguhnya kematian syahid merupakan suatu kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT kepada hambaNya yang terpilih.