Rasulullah SAW Pesan Jangan Marah. Ini 5 Tip Mengawal Kemarahan
Ayu Nadirah
5/3/2024

Manusia diciptakan Allah SWT dengan pelbagai perasaan. Sama ada ia baik ataupun buruk, ia adalah suatu lumrah sebagai hamba-Nya. Setiap hari anda pasti akan menempuh pelbagai situasi kehidupan yang mungkin ada masanya akan menguji emosi dan kesabaran. Manusia tidak dapat lari daripada perasaan marah, namun anda juga harus pandai dalam mengawalnya.
Umat Islam Dituntut Supaya Jangan Marah
Emosi marah yang berlebihan akan mendatangkan keburukan. Rasulullah SAW telah berpesan supaya jangan terikut dengan perasaan marah dan perbanyakkan bersabar. Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa:
أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوْصِنِي، قَالَ: «لاَ تَغْضَبْ» فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: «لاَ تَغْضَبْ»
Maksudnya: "Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sampaikanlah pesan kepadaku”, Baginda menjawab: “Jangan marah”. Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: “Jangan marah," Hadis Riwayat al-Bukhari (6116).
Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW sangat menegaskan supaya jangan marah dan menjauhi semua perkara serta perbuatan yang boleh mendatangkan kemarahan.
Tip Mengawal Kemarahan
Dalam Islam, seseorang yang sedang marah diperintahkan untuk segera mengambil wuduk. Diriwayatkan daripada ʻAṭiyyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ، وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ، فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ
Maksudnya: "Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan daripada api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah berwuduk," Hadis Riwayat Abu Dawud (4784).
Ketika mula berasa marah, anda juga boleh memperbanyakkan istighfar dan zikir. Sentiasa ingat pada Allah SWT supaya kemarahan anda itu tidak membawa kepada perbuatan yang lebih teruk. Selain itu, anda juga perlu sentiasa berikiran positif dan praktikkan sifat sabar dalam kehidupan seharian. Antara cara lain juga adalah selepas anda sudah bertenang, anda boleh cuba meluahkan perasaan marah tadi dengan penuh berhemah tanpa mengeluarkan kata-kata tidak baik atau melakukan perbuatan yang tidak menyenangkan.
Gunakan tip ini untuk anda mengurus emosi kemarahan dengan baik. Marah adalah sifat yang yang lahir secara semula jadi. Namun sebagai umat Islam, anda diajar untuk mengawal kemarahan dengan baik dan ganjaran sabar adalah sangat besar di sisi Allah SWT.