Mengenal Nisfu Syaaban: Malam Pertengahan Bulan yang Mulia
Marini Mat Zain
2026-02-02
Menjelang waktu Maghrib hari ini, bermulalah malam Nisfu Syaaban, saat buku amalan anda diangkat. Semoga kesempatan yang masih ada ini diterima segala permohonan kemaafan. Semoga anda semua dikurniakan rezeki untuk bertemu Ramadan pada tahun ini, kerana sesungguhnya setiap insan mengimpikan untuk meninggal dunia dalam husnul khatimah. Ucapkanlah kalimah Allah di mulut dan di hati.
Begitulah ucapan yang diterima daripada seorang kakak yang cuba mengingatkan adik-beradik melalui pesanan keluarga. Hati pasti terjentik penuh keinsafan, dan masih belum terlambat untuk bersama-sama saling mengingati.

Bulan Syaaban bermula pada 20 Januari 2026 lalu. Lalu menjadi peringatan bahawa berbaki sebulan lagi untuk anda bertemu Ramadan. Tiba waktu untuk melatih diri dengan puasa sunat dan melakukan amalan-amalan lain.
للَّهُمَّ بَارِكْ لَــنَا فـِىْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”
(HR Ahmad dan At Tabrani)
Nisfu Syaaban, yang bermaksud ‘pertengahan bulan’ dalam bahasa Arab, merupakan satu malam yang penuh keberkatan. Tahun ini, malam Nisfu Syaaban bermula pada waktu Maghrib 2 Februari, dan hari puncaknya jatuh pada Selasa, 3 Februari.
Lebih afdal adalah anda menganjurkan upacara kecil bersama ahli keluarga dan sahabat terdekat kerana ia memberi peluang untuk memperkukuh ikatan silaturahim, saling mengingatkan dalam kebaikan, dan bersama-sama menghidupkan malam dengan ibadah yang penuh keberkatan.
Malam Nisfu Syaaban
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksud:
Daripada Mu‘az bin Jabal RA, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“Allah melihat makhluk‑Nya pada malam pertengahan Sya‘ban, kemudian mengampuni semua makhluk‑Nya kecuali orang yang musyrik atau yang bermusuhan.”
Dengan cara ini, setiap amalan menjadi lebih bermakna dan suasana malam Nisfu Syaaban terasa lebih hangat serta penuh kasih sayang. Sememangnya malam tersebut digalakkan untuk memperbanyakkan amalan ibadah kerana ia adalah kesempatan istimewa untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Banyak amalan sunat boleh dilakukan, termasuk:
1. Niat Berpuasa Sunat
Mulakan malam ini dengan niat berpuasa sunat pada siangnya. Puasa pada pertengahan Syaaban adalah amalan yang dianjurkan dan dapat membersihkan dosa serta mendekatkan diri kepada Allah.
2. Majlis Tazkirah
Kumpulkan rakan-rakan atau ahli keluarga. Jemput seorang ustaz atau ustazah untuk tazkirah dan diakhiri dengan membaca Al-Quran bersama-sama. Aktiviti ini bukan sahaja menguatkan kefahaman agama, tetapi juga mengeratkan silaturahim.
3. Zikir & Tasbih Bersama Ustaz/Ustazah
Ustaz atau ustazah tadi boleh memimpin zikir dan tasbih. Aktiviti ini membantu hati tenang, meningkatkan kesedaran rohani, dan memberi suasana malam yang penuh keberkatan.
4. Solat Sunat & Doa Memohon Keampunan
Akhiri malam dengan solat sunat, seperti Tahajjud atau solat malam lain, diikuti dengan memohon keampunan atas dosa-dosa, serta memanjatkan doa untuk diri, keluarga, dan umat Islam.
Dengan memanfaatkan malam Nisfu Syaaban untuk amalan-amalan ini, kita bukan sahaja mendapat keberkatan, tetapi juga memperkuat hubungan rohani dengan Allah SWT. Semoga setiap usaha ibadah anda diterima dan membawa rahmat serta keberkatan.