Menemui Ketenangan Jiwa Melalui Zikir
Marini Mat Zain
2026-05-06
Dalam dunia hari ini, persaingan hidup menjadi semakin sengit. Ramai yang tanpa sedar terperangkap dalam tekanan untuk berjaya, sehingga kadangkala saling menindas, membandingkan diri, dan mengejar dunia tanpa henti. Dalam keadaan ini, kesihatan mental mudah terganggu, hati menjadi resah, dan jiwa terasa kosong walaupun hidup serba cukup.
Islam hadir sebagai panduan yang menenangkan. Salah satu jalan utama untuk menenangkan hati adalah melalui zikir, mengingati Allah dalam setiap keadaan. Zikir bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi penghubung antara hati seorang hamba dengan Tuhannya.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Ra'd:
أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
“Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”
Antara zikir yang boleh diamalkan untuk menenangkan hati ialah:
- Subhanallah (Maha Suci Allah) — disebut ketika melihat sesuatu yang indah atau cantik..
- Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah) — disebut apabila dikurniakan rezeki atau nikmat.
- Allahu Akbar (Allah Maha Besar) — disebut apabila melihat sesuatu yang dahsyat.
- La ilaha illallah (Tiada Tuhan selain Allah) — disebut apabila terasa iman diuji.
- Astaghfirullah (Aku memohon keampunan kepada Allah) — disebut apabila merasa menyesal.
Zikir-zikir ini jika diamalkan secara konsisten, bukan sahaja menenangkan fikiran, tetapi juga melembutkan hati yang keras akibat tekanan dunia.
Ketenangan jiwa tidak selalu datang daripada dunia yang sempurna, tetapi daripada hati yang kembali mengingati Penciptanya. Dalam setiap tekanan, ada ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dalam setiap kesedihan, ada peluang untuk kembali kepada zikir.
Kerana hakikatnya, dunia tidak akan pernah berhenti menekan manusia. Tetapi hati yang hidup dengan zikir akan sentiasa tenang walau dalam keadaan yang paling sibuk sekalipun.
Dan di situlah rahsia sebenar ketenangan bukan pada apa yang kita miliki, tetapi pada siapa yang kita ingati.