Kemurungan Di Kalangan Wanita

Hanan Latip

1/22/2024

kemurungan_wanita.jpg

Pentingnya kesedaran mengenai isu tekanan ini, adakah anda semua ketahui bahawa pengetahuan mengenai kesihatan mental masih di tahap yang rendah?

Hal ini dibuktikan apabila masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan, di mana, statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat lima (5) kali ganda bagi tahun 2022 berbanding tahun 2020. 

Untuk pengetahuan semua, lelaki dan wanita mempunyai cara yang berbeza dalam menangani dan mengawal stres. Wanita lebih mudah tertekan disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran. Hal ini kerana, kehadiran wanita amat penting dalam semua perkara dalam di dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat.  

Faktor luaran lebih dikenali sebagai faktor persekitaran seperti masalah perhubungan, masalah keluarga, masalah rumah tangga, konflik di tempat kerja, bebanan kerja yang banyak, masalah kewangan dan lain-lain. Hal ini disampaikan oleh Puan Khairiah Abdul Razak, Pegawai Psikologi Klinikal Kanan UIAM.

Faktor dalaman pula seperti cara pemikiran dan tingkah laku, jangkaan tinggi terhadap diri sendiri, rasa rendah diri dan sebagainya. Selain itu, wanita akan mengalami faktor fisiologi apabila mencapai satu usia seperti perubahan hormon terutama pada waktu ovulasi, haid dan menopaus. Waktu ketika mengandung dan melahirkan anak juga menjadikan wanita mudah tertekan.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Relate Mental Health Malaysia (RELATE) mendapati 29 peratus pekerja yang dikaji pada 2018 melaporkan keadaan kesihatan mental yang lemah.


Tahukah anda, stres dan kemurungan berbeza sama sekali. 

Stres adalah tekanan yang dihadapi oleh individu kerana berlakunya peristiwa pada mereka. Maka, seseorang itu perlu menghadapinya dengan baik. Keadaan ini jika tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menyebabkan mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan. 

Kemurungan pula gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang berasa sedih yang berpanjangan, keletihan, cepat marah dan berlarutan selama 2 minggu atau lebih. Ini merupakan salah satu penyakit mental. 

Punca berlakunya kemurungan boleh disebabkan pelbagai faktor seperti penderaan, penyakit kronik, pengaruh ubat-ubatan, penyalahgunaan dadah, konflik kehidupan, kehilangan orang yang tersayang, peperangan, genetik, biologi dan perkara-perkara penting yang berlaku dalam kehidupan.

Perkara ini dapat dilihat melalui simptom yang di alami kerana kedua-dua keadaan ini mempunyai simptom yang berbeza. Selain itu, simptom kemurungan lebih serius dan berlangsung lebih lama dan konsisten berbanding stres.


Simptom-simptom kemurungan:

  • Rasa sedih dan “kosong” yang berpanjangan
  • Hilang minat terhadap hobi dan perkara-perkara lain
  • Mempunyai perasaan pesimistik
  • Mudah cemas 
  • Hilang selera makan dan mengalami penurunan berat badan
  • Mudah rasa marah
  • Mempunyai gangguan tidur dan sebagainya.


Maka, apakah punca wanita cenderung untuk mengalami kemurungan? 

Menurut Puan Khairiah, tanggungjawab keluarga dan pekerjaan menjadi salah satu punca seorang wanita mengalami stres yang berlebihan. Dari aspek perkahwinan, kemurungan boleh terjadi disebabkan konflik berpanjangan di dalam rumah tangga, tanggungjawab di dalam keluarga, penderaan emosi, mental dan fizikal. Tak dilupakan juga, wanita akan mengalami masalah perubahan hormon ketika fasa-fasa yang tertentu seperti mengandung dan melahirkan anak. Hal ini kerana, untuk melayari bahtera perkahwinan, sudah semestinya memerlukan sokongan dan semangat dari pasangan mahupun keluarga. 


Langkah Ideal untuk Wanita Mengurus Masalah Stres atau Kemurungan

Langkah Menguruskan Stres

Mengamalkan pengurusan masa dan tugasan harian dengan efisien seperti uruskan komitmen kerja mengikut keutamaan.  

Mengamalkan keseimbangan dalam bekerja dan kehidupan peribadi.

Mempraktikkan strategi daya tindak (coping strategy) yang positif seperti mengutamakan diri sendiri dan bercakap dengan orang yang dipercayai. 

Sekiranya gejala stress terlalu teruk, seseorang itu boleh mendapatkan bantuan dari kaunselor, ahli psikologi dan psikiatri. 

Langkah Menguruskan Kemurungan 

Mendapatkan bantuan profesional dari pakar psikologis, psikiatri dan kaunselor. 

Mengamalkan strategi daya tindak (coping strategy) yang baik seperti meluangkan masa untuk membuat aktiviti-aktiviti disukai, mengamalkan teknik penjagaan diri yang positif, bersenam dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. 

Harus diingatkan, seorang ibu sepatutnya tidak bersalah untuk menggunakan cuti mereka untuk berehat sebentar bagi meluangkan masa bersendirian atau memperbaiki hubungan suami isteri. Hal ini kerana, tugas seorang ibu tidak akan pernah habis. Bantulah diri anda agar dapat memberikan yang terbaik untuk diri dan keluarga.

Bagi anda yang ada ahli keluarga atau rakan sedang bergelut dengan situasi ini, anda boleh memberikan sokongan moral dan emosi buat mereka. Bawa mereka untuk berjumpa dengan mental health professional bagi mengenal pasti permasalahan mereka.


Semak pula artikel mengenai Ayesha Syahira Kongsi Cara Berkomunikasi Dengan Allah