Hikmah di Sebalik Solat Taubat

Ayu Nadirah

3/18/2024

Menyedari hakikat sebagai pendosa yang sentiasa memerlukan rahmat Allah SWT dalam kehidupan, kita diajar untuk sentiasa basahkan bibir dengan zikir dan istighfar setiap kali selepas solat. Dengan hanya mengucapkan istighfar sahaja pun mudah bagi Allah SWT untuk menghapuskan segala dosa-dosa kita. Namun bagi menampakkan lagi kesungguhan dan keikhlasan dalam bertaubat, kita perlu mengerjakan solat sunat taubat.

Rasulullah SAW bersabda akan diberikan jalan keluar daripada kesempitan dan diberikan kelapangan buat mereka yang sentiasa beristighfar. Sabda Baginda SAW:

Hadis_istighfar.png

Banyak lagi kelebihan bagi seseorang yang melazimi solat taubat dan istighfar. Semua ini telah Allah SWT terangkan dengan jelas dalam al-Quran. Antaranya adalah seperti di bawah.

Memperoleh kasih sayang Allah SWT

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa membersihkan diri,” Surah Al-Baqarah: 222.

Menjadi orang berjaya

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya,” Surah An-Nur: 31.

Dimasukkan ke dalam syurga

“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menerima azab (api neraka). Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikit pun,” Surah Maryam: 59-60.

Mendapat rezeki dan kekuatan

“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanKu dengan terus melakukan dosa,” Surah Hud: 52.

Mendapat pahala yang banyak

“Kecuali orang-orang yang bertaubat (daripada perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama orang-orang yang beriman (di dalam syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar,” Surah An-Nisa: 146.

Menerima rahmat Allah SWT

“Dan orang-orang yang melakukan kejahatan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya TuhanMu sesudah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani,” Surah Al-A’raf: 153.

Mendapat doa malaikat

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan ilmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu dan peliharalah mereka daripada azab neraka,” Surah Ghafir: 7.

BACA: Panduan Lengkap Solat Taubat

Betapa hebatnya nilai taubat di sisi Allah SWT, hinggakan banyak kali Allah menyeru kita untuk segera kembali kepadaNya dan bertaubat. Banyak pintu kebaikan akan dibuka seiring dengan ikhlasnya sebuah taubat. Sedarlah wahai manusia, setiap amal perbuatan kita akan diperhitungkan di akhirat kelak. Hidup di muka bumi ini adalah ujian yang akan menilai adakah kita ini hamba terbaik Allah dan layak untuk masuk ke dalam syurgaNya. Ayuh bersungguh-sungguh meningkatkan amal ibadah dan berazam memperbaiki kejahilan diri, sentiasa berlari mengejar pintu keampunan Allah agar kita menjadi hamba yang dicintaiNya. Amin.