99 Nama-Nama Allah Yang Indah
Yantie Basharudin
1/1/1970
Adalah lumrah bagi manusia itu berusaha dalam mengetahui rahsia kehidupan dan misteri alam semesta. Namun tidak pula ramai yang membelanjakan masa dan tenaganya untuk mengetahui hakikat Allah SWT yang merupakan Pencipta segalanya.
Selama ini manusia menggambarkan Penciptanya dengan pelbagai bentuk dan gambaran, sesuai pemikiran dan pemahaman mereka. Akan tetapi, Allah SWT Maha Suci dari pendapat jahil kita tentang diri-Nya. Dengan itu diutuskan para Nabi dan Rasul bagi memperbetulkan kefahaman dan memperkenalkan kepada diri Tuhan sepertimana diri-Nya ingin dikenali.
Nasib masyarakat kini amat disimpati, kerana kesibukan mereka telah menghalang mereka untuk mendalami makna-makna yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis. Maka adakah bahagian ilmu yang ringkas tapi dapat mencukupi kehidupan harian mereka? Sesuatu yang boleh dijadikan sebagai zikir harian dan juga sebagai peringatan di waktu bersendiri atau ketika bersama masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda, “Allah memiliki sembilan puluh sembilan (99) nama yang indah. Barangsiapa yang mampu memeliharanya, maka dia akan masuk syurga." (HR Bukhari)
Hadis ini adalah jawapan buat mereka yang mencari tantang hakikat diri Allah SWT. Rahsia-rahsia yang terkandung di dalamnya bergantung kepada keluasan kefahaman dan renungan seseorang terhadapnya. Selain dari menghafal kesemua sembilan puluh sembilan (99) nama-nama itu, ia juga sangat sesuai dijadikan zikir harian.
Umum masyarakat memahami hadis ini bererti menghafalkan ‘Asmaul Husna’, tetapi tidakkah terlintas pada fikiran mereka; adakah semudah itu untuk memasuki Syurga? Kerana itu, syarahan dan penulisan para ulama begitu banyak menghuraikan makna hadis tersebut. Mereka juga turut menghuraikan setiap satu makna ‘Asmaul Husna’.
Bagaimana untuk mendalami pengertian 'Asmaul Husna'?
- Menghafalnya dan memahami makna zahirnya selain menjadikannya zikir harian.
- Merenungkan dan mencari bagaimana ‘Asmaul Husna’ itu dizahirkan pada setiap ciptaan Allah SWT. Misalnya, nama Al-Rahman (Maha Pemurah). Terzahirnya kemurahan Allah SWT pada setiap ciptaan tanpa pengecualian. Sekalian ciptaan menikmati udara untuk bernafas, matahari menerangi di siang hari dan bulan menyuluh dalam kegelapan malam.
- Mengambil teladan dari sekalian yang disaksikan dari ‘Asmaul Husna’ dan berusaha untuk mencerminkan pada akhlak dan keperibadian. Misalnya, Maha Pemurah itu menjadikan dirinya agar menjadi seorang yang pemurah juga sesuai kemampuannya. Selain dari pemberian wang, ia membelanjakan masa dan tenaga.
Salah satu keutamaan 'Asmaul Husna' yakni sebagai lantunan pujian kepada Allah SWT saat memanjatkan doa agar dikabulkan.