5 Panduan Melatih Anak Kecil Berpuasa

Nurul Atikah Sarji

2/13/2024

Antara perkara yang menjadi pemikiran oleh setiap ibu bapa Muslim adalah bagaimana untuk melatih si kecil untuk berpuasa ketika bulan Ramadan dan ini bukan perkara yang mudah untuk melatih mereka berpuasa seperti orang dewasa. Namun hal yang demikian, kajian mendapati bahawa tiadausia yang ditetapkan bagi kanak-kanak untuk mula melatih diri untuk berpuasa dan sepatutnya ibu bapa perlu melatih anak-anak secara berperingkat. 

Template_images_for_blog_(1).png

Dalam konteks Islam, anak-anak yang belum baligh tidak diwajibkan untuk berpuasa. Namun, terdapat sebahagian ulamak berpendapat bahawa jika seseorang itu berusia 7 tahun, maka ia diperintahkan untuk mereka berpuasa jika mereka mampu, sebagaimana usia yang diperintahkan untuk solat. Berikut merupakan beberapa tips untuk melatih anak anda berpuasa: 

Didik anak anda maksud dan kelebihan berpuasa

Pepatah dahulu mengatakan “melentur buluh dari rebungnya.” Jadi, didiklah anak anda dari kecil lagi apakah yang dimaksudkan dan kelebihan berpuasa kepada mereka. Seperti yang kita ketahui, puasa merupakan perbuatan yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam yang bermaksud menahan lapar dan dahaga, bermula daripada terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Dengan lebih mudah lagi, anda boleh menerangkan kepada si kecil anda iaitu puasa ialah menahan lapar dan dahaga. Jadi, setiap umat Islam di seluruh dunia tidak boleh makan dan tidak boleh minum sehinggalah masuknya waktu solat fardhu maghrib. 

Jika anda sudah pun berjaya menerangkan maksud berpuasa, anda boleh menerangkan kelebihan berpuasa iaitu berpuasa dapat membantu kita untuk sentiasa mengingati golongan yang kurang berkemampuan, menahan diri dari hawa nafsu yang jahat, dapat menyucikan jiwa dari anasir yang tidak baik serta dapat mengawal stress. Selain itu, puasa juga dapat memberikan kebaikan kepada kesihatan.Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti yang menyeronokkan untuk membantu anak anda lebih memahami akan ibadah berpuasa. 

Periksa kemampuan si manja anda

Setelah mendidik anak anda untuk berpuasa, kini anda perlu melihat kemampuan anak anda sendiri adakah mereka mampu berpuasa ataupun tidak. Janganlah pula untuk membandingkan anak anda dengan orang lain kerana kemampuan untuk seseorang anak kecil untuk berpuasa adalah berbeza. 

Jangan paksa anak anda untuk berpuasa, tetapi lakukan secara berperingkat

Latihlah si kecil anda untuk berpuasa secara berperingkat terlebih dahulu. Sebagai contoh, anda boleh mendidik anak anda untuk berpuasa beberapa jam terlebih dahulu. Contohnya dari sahur sehingga jam 10 pagi. Dan seterusnya, diikuti dengan separuh hari dan seterusnya mengikut kemampuan anak. InshaAllah, dengan cara ini mereka tidak rasa tersiksa untuk berpuasa. 

Sediakan makanan berbuka puasa bersama anak

Ketika berpuasa, anda boleh menarik perhatian si kecil anda untuk menyediakan juadah berbuka bersama dengan anak anda. Sebagai contoh, anda boleh mengajak anak-anak anda untuk membuat kerja dapur yang ringan-ringan seperti memotong sayur, mengupas kentang, mencuci piring dan sebagainya. 

Anda juga boleh menyediakan juadah berbuka kegemaran anak anda bersama-sama. Tanyakan kepada mereka, apa yang mereka inginkan. 

Template_images_for_blog_(2).png

Berikan pujian dan kata-kata yang positif

Setiap anak kecil sangat suka akan pujian daripada ibu bapanya. Oleh itu, ucapkan tahniah kepada mereka, walaupun mereka hanya berjaya berpuasa walaupun setengah hari atau walaupun selama 2-3 jam. Sesungguhnya, anak anak akan suka dan pasti menginkan untuk menjadi insan yang lebih baik jika mereka mempunyai ibu bapa yang suka mendorongnya. 

Oleh itu, lakukan secara berhikmah jika mahu mendidik anak anda untuk melakukan amalan berpuasa. Bahkan, jika anak anda tidak mampu berpuasa, janganlah mengejek, memalukan ataupun mengungkit akan kesalahan dirinya di hadapan orang lain kerana ini akan menjadikan mereka tidak mempunyai semangat untuk berpuasa.