5 Cara 'Self Healing' Menurut Perspektif Islam

Nurul Atikah Sarji

5/27/2024

Self_Healing_(1).png

Menjalani gaya hidup yang sihat amatlah penting lebih lagi di zaman kini yang menuntut kekuatan juga ketahanan mental yang tinggi. Terkini, terlalu banyak terjadinya kes jenayah yang dilaporkan. Lebih parah ia telah menjerumus kepada kes pembunuhan dek kerana masyarakat pada hari ini kurang peka akan kesihatan mental mereka. Kurangnya pengetahuan tentang bagaimana cara untuk menghadapi atau mengatasi tekanan, telah mengakibatkan hilangnya pertimbangan diri lalu bertindak mengikut hawa nafsu. Jadi, sudah tentu kesihatan mental sangat penting bagi setiap insan supaya kita dapat kekal positif dalam mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup. 

Istilah yang sering kali kita dengar pada hari ini iaitu ‘self healing’. Apa itu ‘self healing’

‘Self healing’ merupakan satu proses penyembuhan luka batin yang tidak melibatkan sebarang ubatan. Proses ini hanya berfokus pada perasaan dan emosi yang terpendam dalam tubuh seseorang. Proses ini sangat penting demi memulihkan lagi kesihatan mental, terutamanya jika seseorang itu sedang menghadapi stres, kemurungan dan masalah kesihatan mental yang lain. 

Sebenarnya, ‘self healing’ dalam Islam boleh kita dapati dengan sentiasa mengingati Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: 

“Orang-orang yang beriman dan hatinya tenteram dengan hanya mengingati Allah. Ingatlah bahawa hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” - Surah ar-Ra’d, ayat 28. 

Terdapat lima cara ‘self healing’ dalam Islam yang boleh kita ikuti: 

1. Solat

Solat merupakan satu kewajipan utama bagi setiap umat Islam, bahkan ini merupakan cara utama untuk berinteraksi dengan Allah SWT. Solat lima waktu sehari sebenarnya membantu kita untuk sentiasa dekat dengan Allah SWT dan ini memberikan kita peluang untuk kita refleksi diri serta memberi ketenangan. Melalui solat, seorang insan dapat mencurahkan segala keluh kesahnya dalam setiap sujud dan doa. Allah SWT adalah pendengar terbaik yang memahami segala masalah tanpa perlu penjelasan panjang lebar.

2. Berzikir

Zikir merupakan kalimat-kalimat thayyibah seperti "Subhanallah", "Alhamdulillah", dan "Allahu Akbar". Zikir dapat membantu kita untuk mengingati betapa besar kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya. Selain itu, hati juga akan menjadi lebih tenteram dan fikiran lebih tenang. Zikir juga merupakan cara untuk menghubungkan diri dengan Allah dan merasakan kehadiran-Nya dalam setiap aspek kehidupan.

3. Ikhlas dan bersabar

Mengatasi masalah hidup memerlukan kesabaran dan keikhlasan. Ikhlas bermaksud menerima segala ketentuan Allah dengan lapang dada, sedangkan sabar adalah kemampuan menahan diri dalam menghadapi kesulitan. Kedua sifat ini saling melengkapi dan membantu seseorang untuk tidak larut dalam kesedihan atau keputusasaan. Dengan ikhlas dan sabar, insya-Allah segala masalah akan terasa lebih ringan.

4. Membaca al-Quran

Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang penuh hikmah dan petunjuk hidup bagi umat manusia. Membaca al-Quran dapat menjadi salah satu cara untuk ‘self healing’ yang terbaik, keranadi dalamnya terdapat jalan penyelesaian dan jawapan untuk pelbagai masalah kehidupan. Membaca dan memahami makna al-Quran dapat memberikan ketenangan hati, memperkuat iman, dan membantu mengatasi kesulitan dengan lebih bijak.

5. Bertafakur dan Bermuhasabah

Tafakur adalah merenungkan ciptaan Allah SWT dan memahami tanda-tanda kebesaran-Nya, sedangkan muhasabah adalah proses untuk menyesali akan kesalahan dan memperbaiki diri. Kedua perkara ini membantu seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah, memahami tujuan hidup, dan menyucikan hati dari pelbagai penyakit hati seperti iri hati, dengki, dan amarah. Dengan bertafakur dan bermuhasabah, insya-Allah hati menjadi lebih tenang. 

Secara kesimpulan, setiap manusia pasti menghadapi masalah dan ujian dalam hidupnya. Namun, Allah SWT tidak memberikan ujian yang melebihi batas kemampuan hamba-Nya. Sebagai seorang Muslim, penting untuk selalu kembali dan mengingat Allah dalam keadaan susah maupun senang. Allah adalah tempat kita mengadu dan sumber pertolongan yang paling hakiki. Dengan menerapkan cara-cara 'self healing' dalam Islam, insya Allah kita dapat mencapai ketenangan batin dan kebahagiaan sejati.

BACA: Rasulullah SAW Pesan Jangan Marah. Ini 5 Tip Mengawal Kemarahan