Menghayati Makna di Sebalik Takbir Raya
Ayu Nadirah
4/1/2024

Takbir raya adalah suatu cara untuk kita mengagung dan membesarkan Allah SWT. Ia dilaungkan sebagai tanda kesyukuran kepada-Nya setelah berjaya menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadan. Umat Islam disyariat untuk melaungkan takbir apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan dengan suara lantang penut semangat, yang menterjemah kegembiraan dan menunjukkan syiar Islam.
Makna di Sebalik Takbir Raya
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Maksudnya: "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan untuk Allah segala pujian."
Disunatkan juga untuk menambah lafaz berikut sewaktu takbir raya:
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Maksudnya: "Allah Maha Besar dengan sebenar-benar kebesaran-Nya, dan pujian bagi Allah sebanyaknya. Maha Suci Allah di waktu pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya dan memuliakan tentera-Nya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian."

Iktibar daripada Takbir Raya
Takbir raya yang dilaungkan bukan sahaja tanda kegembiraaan meraikan Syawal, malah turut mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat ketika menghadapi Perang Ahzab sehinggakan ketika itu hampir kehabisan bekalan makanan. Kemudian, bantuan Allah pun turun membantu umat Islam dan kemenangan telah berpihak kepada Islam.
Perang Ahzab atau juga dikenali sebagai Perang Khandaq adalah peristiwa di mana Madinah dikepung selama kira-kira empat minggu oleh suku gabungan orang Arab dan Yahudi yang berdendam dengan umat Islam selepas mereka diusir keluar dari Madinah pada tahun keempat Hijrah. Perang ini berlaku pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah (627 Masihi) dan berakhir pada 7 Zulkaedah. Peperangan Ahzab ini juga ada diceritakan dalam surah al-Ahzab.
Perkataan khandaq membawa maksud parit yang merujuk kepada parit yang digali oleh umat Islam sebagai persediaan dalam pertempuran ini. Salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Salman al-Farisi memberi cadangan agar mereka menggali parit sebagai strategi pertahanan. Parit yang digali di sekitar Madinah itu disiapkan dalam tempoh enam hari. Hasil tanaman yang ada di Madinah juga dituai lebih awal untuk menjamin bekalan makanan penduduk Madinah tidak terputus sepanjang tempoh umat Islam dipekung oleh pakatan al-Ahzab. Orang Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW dalam mempertahankan Madinah hanya seramai 3,000 orang. Sementara pakatan Musyrik dan Yahudi hadir seramai 10,000 orang yang lengkap dengan tunggangan unta dan kuda. Dengan kebijaksanaan dan diplomasi Nabi Muhammad, selain kegunaan parit dan cuaca buruk yang telah Allah kirimkan dan menerbangkan segala kelengkapan pasukan Ahzab, akhirnya musuh Islam berjaya dikalahkan.
Peristiwa ini yang disebut dalam lafaz takbir hari raya menjadi tanda dalam mengingati bantuan Allah SWT ke atas umat Islam. Ia juga menunjukkan bahawa kuasa Allah yang Maha Besar dan Maha Berkuasa mampu mengatasi segalanya.