6 Hikmah dan Kelebihan Ramadan
Hanan Latip
2/18/2024
Puasa di bulan Ramadan adalah perintah daripada Allah SWT. Kehebatan puasa Ramadan tidak dapat dinafikan lagi kerana kaya dengan banyak ganjaran pahala yang diberikan Allah SWT. Di dalamnya, turut hadir hikmah puasa dan manfaatnya kepada umat Islam.
Manfaat di dalam berpuasa melibatkan rohani dan jasmani kepada semua individu. Untuk ketahui dengan lebih lanjut, teruskan membaca artikel ini.

HIKMAH BERPUASA:
1. Membina Taqwa kepada Allah SWT.
Puasa Ramadan dapat meningkatkan ketaqwaan terhadap Allah Ta'ala disebabkan seseorang itu rela menahan lapar, haus dan hal-hal yang membatalkannya demi mengharap pahala kepada-Nya.
Hal tersebut juga telah disebutkan pada perintah melaksanakan puasa Ramadan yang termaktub dalam Al-Qur'an surat Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman:

Maka, rasa takut kepada Allah (takwa) akan membuatkan kita mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.
2. Menyedarkan Hati dengan Muraqabah Allah SWT
Muroqabatullah ertinya selalu berasa dirinya diawasi oleh Allah. Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat segala apa yang hamba-Nya lakukan dan tiada apa yang dapat berselindung dari-Nya.
Ia juga merujuk kepada pengawasan dan pengawalan individu terhadap nafsu dirinya sewaktu melakukan sesuatu perbuatan, mengungkapkan kata-kata termasuk lintasan dan detikan dalaman diri terutamanya ketika bersendirian.
Apabila seseorang individu sedar dan memahami makna muroqobah, sudah tentu individu tersebut berusaha untuk menahan nafsu atau tidak makan dan minum di siang hari kerana sedar perlu mengikut perintah-Nya.
Seseorang juga boleh berkata dia sedang berpuasa sedangkan hanya Allah SWT yang tahu kebenarannya.
3. Memenuhi Puasa dengan Ketaatan dan Mendekatkan Diri kepada Allah SWT.
Ketika di bulan Ramadan, kebanyakkan umat Islam akan memulakan hari di awal pagi untuk bersahur agar kuat menjalani puasa pada siang hari. Ibadah seperti tadarus al-Quran dan bersedekah akan dilakukan bagi memperbaiki penghayatan isi al-Quran.
Kemudian di malam hari, umat Islam akan berbuka puasa dan bersolat terawih. Digalakkan juga untuk tidur awal agar dapat melakukan qiyam di sepertiga malam. Perkara-perkara ini akan dilakukan selama sebulan untuk mengejar kebesaran Ramadan sehingga umat Islam membiasakan dengan segala amal kebaikan.
4. Membersihkan Jiwa dan Menghaluskan Perasaan.
Bulan Ramadan dikenali sebagai penyucian jiwa. Misi utama maqasid puasa adalah untuk membebaskan manusia daripada pengabdian kepada nafsunya sendiri. Hal ini kerana, di dalam badan manusia ada sifat-sifat mazmumah seperti tamak, sombong, hasad dengki dan riak.
Maka, di bulan Ramadhan inilah kita semua digalakkan untuk membentuk diri yang baru dengan membersihkan jiwa dengan mengamalkan bacaan Al-Quran, berzikir, mendengar ceramah dan sebagainya.

Kata al-Baydhawi, sekiranya perkara ini tidak berlaku ketika kita berpuasa, maka Allah SWT tidak akan melihat dan menerima puasa kita.
5. Saling Sayang-menyayangi Sesama Umat Islam.
Sifat penyayang tidak dapat diwarisi tapi dapat dipupuk. Umat Islam mestilah memupuk rasa sayang sesama masyarakat kerana melalui itulah, hubungan yang baik dan harmoni akan terbina. Oleh itu, aktiviti seperti bertukar-tukar makanan dengan jiran dan bertanya khabar amat digalakkan.
Pada bulan Ramadan ini jugalah umat Islam akan berebut-rebut untuk menggandakan pahala dengan memberi makanan dan bantuan kepada anak yatim, orang kurang berkemampuan, surau dan masjid dan sebagainya. Perkara ini harus dirai bagi berkongsi rezeki yang ada.

6. Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular.
Berpuasa juga akan mengubah gaya hidup kesihatan individu menjadi lebih baik seperti risiko penyakit kardiovaskular di dalam badan.
Hal ini kerana, berpuasa akan mengurangkan nafsu untuk makan dan minum secara berlebihan. Maka, perut akan menjadi lebih cepat kenyang ketika berbuka. Disebabkan itulah, kadar kolestrol darah, tekanan darah sistolik, berat badan dan indeks jisim badan diri anda dapat berubah.
Ini dapat dibuktikan melalui satu kajian yang melibatkan 82 orang sukarelawan dengan sejarah kardiovaskular dalam tempoh 10 tahun lalu berumur antara 29 hingga 70 tahun.
Semoga ibadah yang kita lakukan pada bulan Ramadan diterima oleh Allah Taala terutamanya setelah memahami hikmah dan kelebihan Ramadan.