Ulangkaji Haji: Rukun & Syarat Wajib Haji
Nurul Atikah Sarji
5/8/2025
Musim haji sudah tiba. Rukun Islam yang kelima ini menjadi suatu kewajipan buat setiap umat Islam, lelaki dan wanita yang berkemampuan. Ibadah ini bukan sekadar perjalanan fizikal ke tanah suci, malah menjadi pengembaraan spiritual demi menggapai reda Allah. Ia sebuah perjalanan yang mengajar umat Islam untuk muhasabah diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Esa.
Buat bakal jemaah haji, ayuh sama-sama ulangkaji ringkas tentang ibadah ini semoga ia menjadi panduan untuk ibadah yang sempurna dan diterima Allah.
Jenis Ibadah Haji
Haji Ifrad
Mengerjakan haji sahaja dahulu dalam bulan haji dan setelah selesai, barulah melakukan umrah. Haji ifrad ini dianggap lebih afdal berbanding jenis haji yang lain kerana ia memberi fokus kepada satu ibadah pada satu masa.Haji Tamattu’
Mengerjakan umrah dahulu dalam bulan haji, kemudian menyempurnakan ibadah haji pada tahun yang sama. Ini adalah cara yang paling biasa diamalkan oleh jemaah dari luar Tanah Arab.Haji Qiran
Terdapat dua cara untuk melaksanakan haji qiran iaitu:
- Berniat haji dan umrah secara seretak, kemudian melaksanakan kedua-duanya dalam satu perjalanan.
- Berniat umrah dahulu, tetapi sebelum tawaf, disertakan niat haji.
Rukun Haji yang Wajib Dipenuhi
Rukun haji merupakan elemen asas dalam ibadah haji. Jika ditinggalkan, ibadah haji menjadi tidak sah.
Ihram di Miqat
Memakai pakaian ihram dan berniat haji di tempat yang ditetapkan (miqat). Bermulanya ihram juga bermakna beberapa perkara yang sebelum ini dibenarkan, kini menjadi haram contohnya, memotong rambut atau memakai wangi-wangian.
Wukuf di Arafah
Kemasukan ke Padang Arafah pada 9 Zulhijah adalah kemuncak ibadah haji. Wukuf dilakukan selepas tergelincir matahari hingga terbit fajar pada 10 Zulhijjah. Antara amalan di Arafah termasuklah berzikir, membaca al-Quran dan perbanyakkan berdoa.
Bermalam di Muzdalifah
Berlaku selepas wukuf di Arafah, di mana jemaah perlu bermabit (bermalam) di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah.
Bermalam di Mina
Bermalam di Mina pada malam-malam hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah. Memadai berada di sana sebahagian besar malam.
Melontar Jamrah
Melontar tujuh anak batu ke tiga tempat yang ditentukan iaitu Jamrah Sughra, Wusta dan Kubra. Dilakukan pada hari Tasyrik selepas gelincir matahari.
Tawaf Ifadah dan Saie
Tawaf Ifadah dilakukan selepas kembali dari Mina, manakala saie dilakukan dengan berjalan dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali. Kedua-duanya wajib dan merupakan rukun ibadah haji.
Tahalul
Melepaskan diri daripada larangan ihram, di mana jemaah perlu mencukur atau menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut selepas selesai ibadah.
Tawaf Wada
Tawaf perpisahan yang dilakukan sebelum meninggalkan Makkah. Ia adalah wajib, dan meninggalkannya tanpa sebab yang sah akan dikenakan dam (denda).
Bagi mereka yang bakal menjadi tetamu Allah, ambillah peluang ini sebaik-baiknya. Pelajari, fahami dan hayatilah setiap rukun dan wajib haji agar ibadah tersebut bukan sekadar sah, tetapi juga diterima dan diberkati olehNya.