Terkini! Semak Arah Kiblat Tempat Masing-Masing Hari Ini
Ayu Nadirah
5/28/2024

Kiblat menurut bahasa adalah arah hadap dan kiblat yang dimaksudkan adalah Kaabah. Menurut ilmu falak pula, kiblat merujuk kepada arah menghadap ke Kaabah di atas glob bulatan bumi mengikut jarak yang terdekat. Para ulamak sepakat menyatakan bahawa menghadap ke kiblat merupakan salah satu daripada syarat sah solat, melainkan dalam keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat ketika dalam peperangan dan solat dalam keadaan bermusafir.
Fenomena Matahari Tegak di Atas Kaabah
Di Malaysia, arah kiblat ditentukan menerusi panduan azimuth (darjah) iaitu ke arah barat laut dengan nilai arah sekitar 291 darjah hingga 293 darjah andai melibatkan kawasan Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak pula adalah sekitar 290 darjah hingga 292 darjah.
Mungkin anda kurang sedar bahawa setiap tahun, umat Islam diberikan peluang istimewa untuk menyemak dan memastikan arah kiblat masing-masing dengan tepat. Ia dilakukan menerusi peristiwa Istiwa’ A’zam. Ketika itulah, kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah. Ia memungkinkan penentuan arah kiblat dengan cara yang mudah dan tepat dilaksanakan melalui bayang-bayang objek tegak.
Istiwa’ A’zam merupakan salah satu fenomena astronomi yang dinantikan oleh umat Islam seantero dunia yang berlaku dua kali pada setiap tahun. Pada tahun 2024, peristiwa Istiwa’ A’zam terjadi pada 27 atau 28 Mei sekitar jam 5.18 petang waktu Malaysia. Satu lagi pula bakal berlaku sekitar 15 atau 16 Julai pada jam 5.28 petang waktu tempatan.

Gunakanlah kesempatan ini untuk menyemak semula arah kiblat terutama di kediaman masing-masing dengan tepat. Begitu mudah untuk dilakukan kerana ketika matahari berada tepat di atas Kaabah, bayang-bayang semua objek tegak akan menunjukkan arah yang bertentangan dengan kiblat. Waktu itu sebenarnya adalah saat yang tepat untuk mengesahkan arah kiblat di rumah kita.
Cara Tepat Menentukan Arah Kiblat
Sebagai panduan untuk anda mengukur arah kiblat dengan betul, di sini kami kongsikan beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan apabila berlakunya Istiwa’ A’zam nanti:
- Persiapan awal adalah dengan menentukan tarikh dan waktu peristiwa Istiwa’ A’zam di kawasan masing-masing menggunakan aplikasi atau jadual waktu solat.
- Pilih lokasi yang lapang dan terbuka, di mana anda dapat mengamati bayang-bayang objek tegak tanpa gangguan. Pastikan di kawasan tersebut, matahari boleh terlihat dengan mudah dan tidak terlindung.
- Sediakan satu tiang atau tongkat yang lurus dan tegak 90 darjah sebagai penanda. Jika di rumah, pilih tiang tegak seperti tiang tingkap atau tiang pintu yang mana bayangnya dapat dilihat untuk dijadikan penanda.
- Pastikan bayang-bayang tiang atau tongkat tersebut jelas terlihat di atas permukaan yang rata tadi.
- Tunggu sehingga jam 5.16 petang pada tarikh 27, 28 Mei atau 5.28 petang jika pada tarikh 15, 16 Julai.
- Pada waktu yang ditentukan, perhatikan bayang-bayang yang dihasilkan oleh tiang atau tongkat tersebut.
- Gunakan bayang-bayang itu dan unjurkan garisan bayang-bayang tersebut ke arah matahari bagi menandakan arah kiblat dengan tepat.
Kesedaran dan pemahaman yang baik tentang fenomena ini dapat membantu umat Islam untuk menghadap kiblat yang benar dan tepat, di samping meningkatkan kesempurnaan ibadah yang dilakukan.
Artikel ini ditulis Dr Othman Zainon, Pensyarah Kanan, Jabatan Geoinformasi, Fakulti Alam Bina & Ukur, Universiti Teknologi Malaysia.
Sumber: Sinar Harian