[Tanya Ustaz] Hukum Percaya Zodiak. Amalan Solat Tidak Diterima?
Ayu Nadirah
4/16/2024
Zodiak cukup terkenal dalam kalangan generasi muda sejak dahulu lagi. Mana tidaknya, buka-buka sahaja majalah atau media sosial, akan ada sahaja tentang zodiak atau horoskop yang keluar dan membuatkan ramai ingin ambil tahu. Daripada sudut sains, zodiak adalah sebahagian daripada ilmu astrologi, di mana ia adalah garisan melengkung khayalan di langit yang terbahagi kepada 12 bahagian dan setiap satunya dinamakan mengikut nama gugusan bintang. Setiap bintang dikaitkan dengan bulan kelahiran dan dipercayai mempunyai ciri tertentu yang dapat mempengaruhi kehidupan seseorang. Namun, dalam Islam adakah kita boleh mengambil tahu dan mempercayai zodiak?
Jangan Percaya dengan Ramalan Zodiak
Menurut Islam, haram hukumnya dan berdosa besar jika anda percaya kepada zodiak. Ia dianggap sebagai suatu perbuatan percaya kepada ramalan atau menilik nasib dan mengundang syirik kepada Allah SWT. Tidak menjadi masalah untuk sekadar membaca dan mengambil tahu apa itu zodiak. Ia menjadi salah apabila anda mula mempercayai setiap tilikan yang hadir bersama zodiak itu.
Daripada Ibn ‘Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنِ اقْتَبَسَ عِلْمًا مِنَ النُّجُومِ، اقْتَبَسَ شُعْبَةً مِنَ السِّحْرِ، زَادَ مَا زَادَ
Maksudnya: "Barangsiapa yang mengambl bagian daripada ilmu bintang, maka ia telah mengambil bagian daripada ilmu sihir," Hadis Riwayat Abu Daud (3905).
Dipetik daripada Mufti Wilayah Persekutuan, menurut Ibn Ruslan, apa yang dilarang adalah berhubung ilmu berkenaan alam semesta yang tidak berlaku atau bakal berlaku di masa hadapan. Mereka mendakwa memperoleh pengetahuan tentangnya daripada rahsia bintang-bintang pada peredarannya, perhimpunannya dan perpisahannya. Hal ini berkait rapat dengan ilmu yang menjadi hak milik Allah SWT. Ada pun ilmu bintang-bintang yang dengannya dikenali gelinciran matahari dan arah kiblat, berapa hari yang telah berlalu, berapa pula baki yang tinggal, adalah tidak termasuk dalam larangan di atas. Apa yang dilarang adalah perbincangan tentang kedatangan hujan, turunnya salji, bertiupnya angin (ini tidak berkaitan dengan ramalan cuaca) dan berubahnya harga barang. (Lihat Nail al-Autar, 7/152)
Amalan Solat Tidak Diterima
Apakah pula akibat daripada perbuatan ini? Solat seseorang yang mempercayai zodiak boleh tertolak kerana telah mensyirikkan Allah dan dia wajib bertaubat dan mengucapkan semula syahadah. Keadaan ini telah disebutkan dalam hadis:
Imam Muslim dalam kitab Shahih Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mendatangi kepada tukang tilik, kemudian bertanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari," Hadis Riwayat Muslim.
عَنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: "Sebahagian isteri-isteri Nabi Muhammad SAW meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: sesiapa yang datang kepada bomoh, lalu bertanya kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari," Sahih Muslim, Kitab as-Salam, hadis no 4144.
Semoga dengan sedikit perkongsian ini, dapat membuka mata dan hati anda tentang isu zodiak. Ingatlah bahawa setiap takdir dan ketentuan adalah milik Allah SWT sahaja. Jangan sesekali percaya dengan sesuatu yang belum tentu. Anda juga harus peka dengan orang sekeliling. Mana tahu jika ada ahli keluarga, contohnya anak-anak yang masih membaca dan mempercayai ramalan zodiak. Ingatlah bahawa setiap ketentuan hidup berada dalam kuasa Allah yang Maha Besar dan anda tidak sepatutnya menyandarkan takdir kehidupan anda pada sesuatu selain daripada kekuasaan Allah SWT.
BACA:
6 Restoran Halal di Seoul Mesti Cuba!
Tip Travel ke Korea Mengikut Musim
[Cover Story] Faizal Hussein: Naratif 'Hero' di Sebalik Tabir Bergelar Bapa