[Tanya Ustaz] Bolehkah Bayar Zakat Fitrah Saat Akhir? Apakah Hukumnya?
Ayu Nadirah
4/1/2024

Kita telah berada pada 10 hari terakhir Ramadan. Ketika semakin menghampiri Syawal, zakat adalah kewajipan yang tidak boleh diambil ringan. Adakah anda sudah menunaikan zakat fitrah? Jika belum, ayuh segerakan membayarnya kerana zakat itu terikat dengan tempoh dan waktu tertentu yang mesti dipatuhi.
Tempoh untuk menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada lima kategori iaitu:
Waktu Harus
Menurut mazhab Syafie, setelah masuknya satu Ramadan, adalah harus untuk umat Islam mengeluarkan zakat fitrah sehingga berakhirnya bulan puasa. Harus untuk mempercepatkan bayaran zakat fitrah setelah masuknya bulan Ramadan walaupun pada malam pertama di bulan ini.
Waktu Wajib
Wajib untuk umat Islam menunaikan zakat fitrah apabila terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadan atau dikira sebagai malam hari raya.
Waktu Afdal
Setelah masuk waktu pagi satu Syawal sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri, adalah afdal untuk membayar zakat fitrah. Rasulullah SAW sendiri mengeluarkan zakat sebelum Baginda mengerjakan solat sunat Aidilfitri seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn 'Umar RA:
.png)
Waktu Makruh
Makruh hukumnya untuk mengeluarkan zakat setelah selesai sembahyang raya sehingga terbenamnya matahari pada satu Syawal. Hal ini kerana waktu yang disunatkan adalah sebelum solat sunat Aidilfitri. Menurut Ibn Hajar al-Haitami, sunat menunaikan zakat fitrah sebelum mendirikan sembahyang raya, maka sunat juga tidak melewatkan bayaran zakat selepas solat tersebut yang akan menyebabkan jatuhnya hukum makruh.
Waktu Haram
Mengeluarkan zakat fitrah selepas terbenamnya matahari pada satu Syawal atau selepas berakhirnya hari pertama satu Syawal pula adalah haram. Haram hukumnya melewatkan zakat selepas Hari Raya Aidilfitri tanpa sebarang keuzuran.
Adakah Boleh Menunaikan Zakat Fitrah Pada Saat Akhir?
Sebaiknya, selesaikan zakat fitrah selewat-lewatnya pada pagi raya iaitu setelah terbitnya matahari, sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. Jadi, sebagai seorang Muslim, anda haruslah peka dengan waktu ini supaya dapat melaksanakan kewajipan pada waktunya.
Ayuh bayar zakat fitrah anda bersama IKHLAS di sini: BAYAR ZAKAT FITRAH