Surah Maryam: Penawar Rohani Buat Ibu Hamil
Nurul Atikah Sarji
2025-09-21
Surah Maryam merupakan antara surah yang kerap dibaca oleh wanita hamil. Ia bukan sekadar kisah sejarah semata-mata, tetapi sarat dengan pengajaran, ketenangan serta bukti kebesaran dan kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya. Terdiri daripada 98 ayat, surah ini dinamakan sempena wanita agung Maryam AS, yang juga ibu kepada Nabi Isa AS.

Selain kisah Maryam, surah ini turut memuatkan peristiwa luar biasa seperti doa Nabi Zakaria AS yang memohon zuriat meskipun sudah lanjut usia, menunjukkan bahawa tiada yang mustahil di sisi Allah SWT.
Berikut merupakan tujuh manfaat rohani yang dapat dihayati daripada Surah Maryam.
Memohon zuriat yang soleh dan berbakti
Ayat dalam Surah Maryam menggambarkan sifat anak yang taat, bertakwa dan penuh kasih terhadap ibu bapa. Ini menjadi inspirasi dan doa buat para ibu agar anak yang dikandung membesar menjadi insan yang mulia akhlaknya.
“Dan Kami anugerahkan kepadanya kasih sayang dari Kami dan kesucian. Dia adalah seorang yang bertakwa," Surah Maryam: 13.
“Dan sangat berbakti kepada kedua orang tuanya, dan dia bukan orang yang sombong lagi derhaka," Surah Maryam: 14.
Menanam kesabaran dalam diri
Kisah Maryam yang melalui proses kehamilan dan melahirkan dalam keadaan terpencil menggambarkan kesabaran luar biasa. Ia menjadi contoh kepada para ibu bahawa setiap kesukaran mengandungi hikmah, dan sabar itu dijanjikan ganjaran yang besar.
“Lalu dia mengandungnya dan dia mengasingkan diri ke tempat yang jauh," Surah Maryam: 22.

Meyakini kuasa Allah yang tiada batas
Nabi Zakaria AS dan isterinya yang mandul akhirnya dikurniakan anak sebagai bukti bahawa Allah mampu menjadikan sesuatu, walaupun daripada keadaan yang mustahil menurut batas pemikiran manusia. Inilah simbol harapan buat pasangan yang menantikan zuriat.
“Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu, sesungguhnya Aku telah menciptakanmu sebelum itu, padahal engkau belum ada apa-apanya," Surah Maryam: 9.
Mendidik jiwa bergantung sepenuhnya kepada perlindungan Allah
Maryam menunjukkan contoh kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian yang besar. Ayat ini menunjukkan bahawa dalam apa jua keadaan, Allah adalah pelindung terbaik.
“Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhan Yang Maha Pemurah daripadamu, jika engkau orang yang bertakwa," Surah Maryam: 18.
Jangan pernah berputus asa dalam berdoa
Walaupun sudah tua dan tidak mempunyai anak, Nabi Zakaria tidak pernah berhenti berdoa. Doa tersebut akhirnya dikabulkan dengan kelahiran Nabi Yahya AS. Jadi, untuk setiap ibu mahupun bakal ibu, ayat ini menjadi pemangkin untuk terus berharap dan berdoa.
“Wahai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu dengan seorang anak lelaki bernama Yahya," Surah Maryam: 7.
Menanam sikap huznuzon kepada Allah
Dalam keadaan tertekan dan hampir berputus asa ketika melahirkan, Maryam menerima bantuan daripada Allah dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Ia mengajar agar tidak bersangka buruk walaupun diuji dengan berat.
“Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu," Surah Maryam: 24.
Mendatangkan ketenangan sewaktu bersalin
Ayat terakhir yang menggambarkan saat kelahiran Nabi Isa AS menunjukkan bagaimana Allah memudahkan Maryam yang sedang kesakitan. Ia menjadi penguat semangat buat ibu yang sedang mengandung yang bakal melalui saat melahirkan.
“Goyangkanlah pangkal pohon kurma ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggunakan buah kurma yang masak kepadamu," Surah Maryam: 25.
Dengan membaca dan menghayati maknanya, insyaallah para ibu dapat memperkuat emosi serta keimanan dalam menempuh fasa kehamilan dan kelahiran. Selamat beramal!