Siapa yang Perlu Bayar Zakat Pendapatan?
Nurul Atikah Sarji
6/2/2025
Zakat pendapatan adalah satu kewajipan bagi individu yang telah memenuhi syarat-syarat tertentu, iaitu cukup nisab dan haul. Berikut kami terangkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk menunaikan zakat pendapatan.
Beragama Islam
Zakat pendapatan hanya diwajibkan ke atas individu yang beragama Islam. Bagi mereka yang bukan beragama Islam, zakat pendapatan tidak menjadi kewajipan buatnya.
Merdeka
Individu yang ingin membayar zakat pendapatan perlulah merdeka (iaitu bukan seorang hamba), serta bebas untuk mencari rezeki yang halal.
Mencapai nisab dan kadar zakat pendapatan
Nisab merupakan jumlah minimum pendapatan yang perlu dimiliki oleh seseorang sebelum diwajibkan zakat. Nisab zakat pendapatan dinilai berdasarkan nilai 85 gram emas atau 595 gram perak. Nisab ini sentiasa berubah dan bergantung kepada harga pasaran semasa. Di Malaysia, setiap negeri mempunyai kadar nisab yang berbeza, jadi disarankan untuk merujuk kepada pusat zakat negeri masing-masing bagi mendapatkan kadar terkini. Kadar zakat pendapatan yang dikenakan ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan tahunan individu.
Memiliki harta secara penuh
Individu tersebut perlu memiliki harta yang hendak dizakatkan secara penuh. Harta tersebut juga mestilah bukan dimiliki individu lain atau hasil daripada pinjaman. Selain itu, harta tersebut perlu datang daripada sumber yang halal.
Harta tidak mudah susut nilai
Jenis harta yang dimiliki mestilah yang tidak mudah susut nilai serta dapat dikembangkan.
Bilakah zakat pendapatan perlu dibayar? Zakat pendapatan hanya perlu dibayar jika cukup nisab dalam tempoh setahun. Kebiasaannya, zakat pendapatan dibayar pada setiap hujung tahun atau secara tahunan. Namun, terdapat juga individu yang memilih untuk membuat potongan atau caruman zakat secara bulanan. Hal ini juga dibolehkan.
Semoga artikel ini bermanfaat kepada anda semua dalam membayar zakat pendapatan yang diterima setiap bulan. Jom bayar zakat melalui ikhlas.com sekarang!