Sa’at al-Istijabah: Waktu Doa Paling Mudah Dimakbulkan

Nurul Atikah Sarji

2025-08-12

Sa’at al-Istijabah Waktu Doa Paling Mudah Dimakbulkan.png

Setiap hamba pasti ada hajat dan doa yang ingin disampaikan kepada Allah. Berdoa boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun ada waktu-waktu tertentu yang Allah pilih sebagai saat paling mustajab. Waktu istimewa ini dikenali sebagai “Sa’at al-Istijabah”, iaitu saat di mana doa lebih mudah dimakbulkan.

Antara waktu yang disebut dalam hadis ialah antara azan dan iqamah. Waktu ini sangat singkat, tetapi Rasulullah SAW bersabda bahawa doa yang dibaca ketika itu tidak akan ditolak. Waktu yang sangat istimewa juga ialah sepertiga malam terakhir, biasanya sekitar jam tiga atau empat pagi, ketika suasana sunyi dan anda bangun untuk tahajud atau berdoa. Pada waktu ini, Allah sendiri “mengajak” hambaNya untuk memohon kepadaNya dengan bersungguh-sungguh.

Hari Jumaat turut mengandungi Sa’at al-Istijabah. Terdapat dua pendapat utama tentang waktunya; pendapat pertama mengatakan ketika khatib duduk di antara dua khutbah, manakala pendapat kedua yang lebih masyhur menyatakan ia berlaku pada waktu terakhir sebelum Maghrib. 

Rasulullah SAW bersabda: "Pada hari Jumaat terdapat satu waktu yang tidaklah seorang Muslim berdoa ketika itu melainkan Allah akan perkenankan baginya," Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

_Template images for blog 2.0 - 2025-08-12T123930.446.jpg

Selain itu, ketika sujud dalam solat adalah saat paling dekat anda dengan Allah, jadi perbanyakkan doa ketika ini. Doa juga mustajab ketika hujan turun kerana ia tanda rahmat Allah sedang turun. Bagi orang yang berpuasa, doa ketika hendak berbuka puasa juga termasuk dalam waktu yang tidak ditolak.

Untuk menjadikan doa anda lebih berkesan, ada beberapa adab yang dianjurkan antaranya, mulakan dengan memuji Allah dan berselawat, berdoa dengan hati yang khusyuk, menghadap ke kiblat, yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa, serta mengulangi doa beberapa kali.

Ringkasnya, Sa’at al-Istijabah adalah peluang istimewa untuk anda memohon apa sahaja kepada Allah. Jika anda telah mengetahui waktunya dan berdoa bersungguh-sungguh, insyaAllah doa akan mudah dimakbulkan Allah. 

Semoga artikel ini bermanfaat dan selamat beramal!

Baca juga: Adab dan Rahsia Doa Mudah Makbul