Rebut Kelebihan Hari Arafah
Wan Luqman
2026-05-20
Bagi mereka yang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci, Hari Arafah merupakan kemuncak ibadah haji. Pada hari inilah para jemaah berhimpun di Padang Arafah, berdoa, menangis, dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
Hadirnya hanya setahun sekali. Laungan talbiah mula kedengaran di media massa dan media sosial, menandakan bulan Zulhijah semakin menghampiri. Ia bukan bulan biasa, tetapi bulan penuh keberkatan, bulan berlangsungnya ibadah agung yang tidak terdapat pada bulan lain.
Namun, kelebihan Hari Arafah bukan hanya untuk mereka yang berada di Makkah. Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, hari istimewa ini tetap membawa peluang besar untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui doa, zikir dan amalan sunat yang dianjurkan.
Antara Kelebihan Hari Arafah
1. Hari Pengampunan Dosa
Hari Arafah dikenali sebagai hari di mana Allah membuka seluas-luasnya pintu keampunan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hamba daripada api neraka selain Hari Arafah.”
(HR Muslim, no. 1162)
Ini menunjukkan betapa besarnya peluang untuk kita kembali kepada Allah pada hari ini.
2. Puasa Arafah Menghapuskan Dosa Dua Tahun
Bagi yang tidak menunaikan haji, sangat digalakkan untuk berpuasa pada 9 Zulhijjah.
Rasulullah SAW bersabda:
“Puasa pada hari Arafah menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”
(HR Muslim, no. 1348)
Namun, para ulama menjelaskan bahawa pengampunan ini merujuk kepada dosa-dosa kecil, manakala dosa besar tetap memerlukan taubat yang sebenar.
3. Hari Paling Banyak Pembebasan dari Neraka
Hari Arafah adalah hari di mana paling ramai manusia dibebaskan daripada api neraka.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya daripada api neraka selain Hari Arafah.”
(HR Muslim, no. 1348)
Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah pada hari tersebut, melebihi hari-hari yang lain.
4. Waktu Paling Mustajab untuk Berdoa
Hari Arafah juga merupakan antara waktu terbaik untuk berdoa.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah.”
(HR Tirmizi, no. 3585)
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk berdoa bersungguh-sungguh untuk diri sendiri, keluarga dan juga umat Islam seluruhnya.
Hari Arafah adalah peluang yang datang hanya sekali setahun, tetapi ganjarannya sangat luar biasa.
Sama ada dengan berpuasa, berzikir, atau berdoa, setiap amalan pada hari ini mempunyai nilai yang besar di sisi Allah. Jangan biarkan hari ini berlalu seperti hari biasa.
Mungkin inilah peluang kita untuk diampunkan dosa, diperbaiki kehidupan, dan didekatkan hati kepada Allah.