Puasa Sunat Isnin dan Khamis
Hanan Latip
4/24/2024

Adakah anda tahu keistimewaan hari Isnin dan Khamis? Puasa sunat Isnin dan Khamis umum dilakukan oleh orang Islam bagi mengejar manfaatnya dan juga istimewa di kalangan umat Islam. Teruskan membaca bagi mengetahui dengan lanjut mengenai puasa ini!
Dalil Pelaksanaan Puasa Sunat Isnin dan Khamis.
Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang berkaitan dengan pemilihan hari Isnin dan Khamis antaranya:
1. Hari yang Banyak Peristiwa Bermakna Berlaku Kepada Nabi SAW.
Daripada Abu Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa pada hari Isnin. Baginda pun bersabda,
“Hari isnin merupakan hari kelahiranku, hari aku dilantik menjadi Rasul dan juga Allah menurunkan Al-Quran kepadaku.” (Hadis Riwayat Muslim)
2. Nabi SAW Sering Berpuasa Isnin dan Khamis
Daripada Aisyah RA, berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
“Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
3. Hari Yang Dibentangkan Segala Amalan
تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
“Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis Al-Tirmizi)
Daripada Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ذَانِكَ يَوْمَانِ تُعْرَضُ فِيهِمَا الْأَعْمَالُ عَلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
“Dua hari tersebut akan dibentangkan amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku lebih suka jika amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Al-Nasa’ie)
4. Terbukanya Pintu Syurga Pada Hari Isnin dan Khamis.
"Pintu-pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis, maka akan diampunkan semua hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan apa-apa, kecuali seseorang yang diantaranya berlaku permusuhan. Lalu dikatakan "Tiadalah pengampunan terhadap kedua-duanya orang ini hingga mereka berdamai." (Hadis Riwayat Muslim)
Niat Puasa Isnin Dan Khamis
Niat puasa sunat bagi hari Isnin:
نَوَيْتُ صَوْمَ يَوْمَ اْلاِثْنَيْنِ سُنَّةً ِللهِ تَعَالَى
“Sahaja aku berniat puasa sunat hari isnin kerana Allah Taala.”
Niat puasa sunat bagi hari Khamis:
نَوَيْتُ صَوْمَ يَوْمَ الْخَمِيْسِ سُنَّةً ِللهِ تَعَالَى
“Sahaja aku berniat puasa sunat hari khamis kerana Allah Taala.”
Cara Berpuasa Isnin dan Khamis
Puasa sunat Isnin dilakukan pada hari Isnin sahaja dan puasa sunat Khamis dilakukan pada hari Khamis. Puasa sunat ini sama sahaja dengan ibadah puasa yang lain. Yang membezakan hanya dari segi lafaz niat.
Nota:
- Tidak ada dalil mahupun syarat yang menyatakan bahawa seseorang yang ingin berpuasa pada hari Isnin, mesti juga berpuasa pada hari Khamis. Puasa sunat yang dilakukan sah jika dilakukan hanya pada Isnin sahaja mahupun hari Khamis sahaja.
- Individu tersebut akan memperoleh pahala sunat yang dilakukan. Meskipun begitu, tidak dapat dinafikan individu yang dapat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut adalah lebih baik dan afdal.
Kesimpulannya, seseorang yang melaksanakan ibadah sunat berupaya untuk menampung pada ibadah wajib yang diperintahkan kepadanya. Justeru itu, janganlah kita sesekali memandang remeh soal amalan sunnah ini kerana banyak kebaikan yang boleh kita perolehi.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan puasa sunat Isnin Khamis dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan dan amalan bersama.