Perspektif Islam: Hukum Derma Organ
Nurul Atikah Sarji
2026-01-08
Malaysia digemparkan dengan pemergian seorang pemuda yang meninggalkan kesan mendalam dalam hati ramai. Arwah Amirrul Mukminin Mohd Zain bukan sahaja seorang anak yang penyayang, tetapi juga seorang pengikrar derma organ, yang memilih untuk meninggalkan legasi kebaikan walaupun selepas pemergiannya.
Pemergian Amirrul diberi penghormatan penuh di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Ayahnya setia menemani Amirrul saat katilnya ditolak di sepanjang koridor, sementara petugas kesihatan berdiri memberi penghormatan terakhir.
Detik syahdu ini telah tular di media sosial. Gelombang doa dan rasa sayu menyentuh bukan sahaja mereka yang hadir secara fizikal, malah jutaan warga maya turut berkongsi perasaan yang sama.
Allahyarham Amirrul Mukminin, 27, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran Plaza Tol Kijal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya pada Jumaat lalu. Menurut SinarPlus, keluarganya mendedahkan pemuda ini mendermakan mata, ginjal, jantung, tisu kulit, buah pinggang, tulang paha dan tulang betis.

Hukum Pemindahan Organ
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman web rasmi, terdapat dua pandangan akan isu ini.
Pertama, diharuskan. Para ulama telah mengeluarkan fatwa bahawa pemindahan organ daripada manusia yang telah meninggal dunia kepada individu yang masih hidup dan memerlukannya adalah diharuskan, tertakluk kepada empat syarat utama:
- Individu yang organ tubuhnya diambil mestilah telah memberikan keizinan sebelum kematiannya dalam keadaan berakal waras, baligh dan tanpa sebarang paksaan, atau keizinan tersebut diperoleh daripada walinya sebelum kematian.
- Kedua, pemindahan organ tersebut hendaklah diyakini dan terbukti berpotensi berjaya secara umum berdasarkan penilaian perubatan.
- Ketiga, pemindahan itu mestilah dilakukan semata-mata bagi tujuan rawatan dan perubatan, bukan untuk tujuan lain.
- Keempat, pemindahan organ tersebut hendaklah bebas daripada sebarang unsur kontrak jual beli atau kepentingan komersial.
BACA: Panduan Islam Dalam Memilih Kain Kafan: Elakkan Berlebih-Lebihan
Kedua, pandangan yang tidak mengharuskan. Allah SWT berfirman:
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT melarang manusia daripada melakukan perbuatan yang boleh membawa diri ke arah kebinasaan. Menurut pandangan ini, perbuatan tabarru’ (menderma) sebahagian anggota tubuh badan berpotensi membawa mudarat dan kebinasaan kepada penderma, sedangkan perkara tersebut tidak dituntut oleh syarak.
Perkataan “tahlukah” dalam ayat tersebut merupakan lafaz umum yang merangkumi segala perbuatan yang membawa kepada kemudaratan dan kebinasaan. Oleh itu, memotong atau menghilangkan sebahagian anggota tubuh badan dianggap sebagai perbuatan yang menghilangkan manfaat asal dan membawa mudarat kepada diri sendiri.
Pandangan ini turut disokong oleh kaedah usul fiqh yang menetapkan bahawa pengajaran diambil berdasarkan keumuman lafaz, bukan kepada sebab yang khusus. Hal ini sebagaimana dihuraikan dalam Naqlu wa Zira’ah al-A‘dha’ al-Adamiah min Manzur Islami oleh Dr. al-Sukkari (hlm. 107).
Berdasarkan apa yang ditulis oleh Mufti Wilayah Persekutuan, pemindahan anggota dan organ kepada manusia, sama ada daripada manusia atau haiwan dibahagikan kepada beberapa keadaan.
Sekiranya organ tersebut diambil daripada manusia, maka ia terbahagi kepada dua keadaan, iaitu sama ada daripada manusia atau haiwan, iaitu sama ada daripada individu yang masih hidup, atau yang telah meninggal dunia. Bagi individu yang masih hidup, pemindahan organ terbahagi pula kepada dua bentuk.
Pertama, pemindahan organ daripada dirinya sendiri, dan hukumnya adalah harus. Kedua, pemindahan organ daripada orang lain. Bagi anggota yang bersifat tunggal dan pemindahannya boleh membawa kepada kematian penderma, maka hukumnya adalah haram.
Manakala bagi anggota lain, hukumnya adalah harus sekiranya pemindahan dilakukan daripada seorang Muslim kepada Muslim atau daripada bukan Muslim kepada Muslim. Walau bagaimanapun, pemindahan organ testis adalah dilarang kerana ia melibatkan isu nasab dan keturunan.
Sekiranya pemindahan organ dilakukan daripada haiwan, maka ia juga terbahagi kepada dua keadaan. Jika haiwan tersebut suci, maka hukum pemindahan organ daripadanya adalah harus. Namun, jika haiwan tersebut najis, maka hukum pemindahannya adalah haram, kecuali dalam keadaan darurat yang dibenarkan oleh syarak.
Semoga artikel ini bermanfaat kepada semua.