Peristiwa Israk Mikraj
Hanan
2/7/2024
Peristiwa Israk Mikraj berlaku setelah kewafatan bapa saudara Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Talib dan isteri Baginda, Saiyidatina Khadijah. Baginda juga telah diboikot bersama seluruh Bani Hashim dan Bani Al-Mutalib sehinggakan segala urusan jual beli orang Islam tidak diterima dan ia berlaku selama tiga tahun. Tahun ini juga dikenali dengan Tahun Dukacita.
Peristiwa Israk Mikraj ini salah satu peristiwa yang istimewa yang berlaku yang menunjukkan kebesaran-Nya dan merawat semula jiwa Baginda. Di dalam peristiwa ini, Nabi Muhammad SAW telah dibawa dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Palestin ke langit bagi bertemu Allah SWT dalam tempoh sebahagian malam sahaja.
Israk ialah perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.
Mikraj pula peristiwa Baginda naik ke Sidratul Muntaha menemui Allah.
PERJALANAN MENUJU ISRAK
Nabi Muhammad SAW dibawa oleh Malaikat Jibril AS dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan menunggang Buraq. Sebelum Baginda memulakan perjalanannya, dada Baginda telah dibelah untuk kali ke dua. Kemudian, hati Baginda telah dibersihkan dengan air ZamZam oleh Malaikat Jibril.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq dan melakukan solat dua rakaat di sana.
Kemudian, Rasulullah SAW ditawarkan minuman antara susu dan arak. Lalu Baginda memilih susu sebagai minumannya. Jibril berkata "Engkau telah memilih fitrah."
PERJALANAN MENUJU MIKRAJ
Seterusnya, Baginda diangkat ke mikraj dari bumi ke langit ke-7 sehingga ke Sidratul Muntaha. Kemudian, barulah berjumpa dengan Allah SWT di Arasy. Sebelum bertemu Allah Taala, Baginda telah berhenti di Baitul Makmur iaitu kiblat para malaikat.
Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril AS telah naik ke atas tangga pertama lalu diangkat ke pintu langit dunia. Baginda menaiki daripada langit pertama hingga ketujuh dan di setiap langit Baginda telah bertemu dengan para-para nabi dan melalui pelbagai peristiwa. Ketika di langit ketujuh, Rasulullah SAW hadir tanpa ditemani Malaikat Jibril dan dapat menyaksikan Allah SWT dengan matanya sendiri, lalu Baginda sujud.
Daripada pertemuan itu, Baginda menerima wahyu dan perintah daripada Allah SWT iaitu penerimaan ibadah solat. Pada mulanya, baginda diperintahkan untuk solat sebanyak 50 waktu. Kemudian, bilangan solat dapat dikurangkan menjadi 40 waktu. Akhirnya, dikurangkan sebanyak 5 waktu. 5 waktu itu merangkumi solat yang kita lakukan sehingga sekarang iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Allah juga mengatakan, walaupon sudah dikurangkan waktu solat tapi bagi setiap waktu itu merangkumi 10 kali ganda solat. Maka, solat 5 waktu sehari yang dilakukan menyamai 50 waktu solat.
Sepanjang perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha untuk menghadap Allah SWT, Baginda telah melalui pelbagai situasi dan perkara.
1. Balasan Bagi Mereka Yang Suka Mengumpat
Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: “Siapa mereka ini, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (HR Ahmad & Abu Daud)
2. Bahana Bagi Pendakwah Yang Melupakan Diri
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala saya diisrakkan, saya melihat beberapa orang yang lidahnya dipotong dengan gunting dari api. Saya bertanya, "Wahai Jibril, siapakah mereka itu?" Dia menjawab: "Mereka adalah para khatib umatmu, mereka memerintahkan kepada orang-orang untuk berbuat kebaikan, namun mereka melupakan diri mereka sendiri padahal mereka membaca kitab. Tidakkah mereka menggunakan akalnya?” (HR Ahmad).
3. Haruman Keluarga Masyitah
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW tercium satu bau yang amat harum. Apabila baginda SAW bertanya pada Jibril AS, Jibril menjawab: “Itulah bauan Masyitah (tukang sikat anak perempuan Firaun) dan anak-anaknya. Satu hari, ketika dia (yakin Masyitah) sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, tiba-tiba sikat terjatuh dari tangannya. Ketika mengambil sikat itu dia berkata, ‘Bismillah (Dengan nama ALLAH).’ Lalu anak perempuan Firaun bertanya: ‘Adakah kamu menyebut nama bapaku?’ Masyitah menjawab, ‘Tidak, tetapi aku menyebutkan nama Tuhanku dan Tuhan bapamu, iaitu ALLAH’. Lantas anak perempuan Firaun memberitahu kepada ayahnya (Firaun), lalu Masyitah dibunuh bersama anak-anaknya.” (HR Ahmad)
4. Telapak Kaki Bilal Terdengar Di Syurga
Daripada Abu Hurairah RA, telah berkata Nabi Muhammad SAW kepada Bilal ketika solat Fajar: “Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam syurga.” Bilal menjawab: “Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” (HR Bukhari)
5. Melihat Rupa Asal Dajjal
Diriwayatkan daripada Nawwas bin Sam’an al Kilabi dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukan Dajjal yang aku khuatirkan akan memudaratkan kalian. Kerana jika Dajjal muncul, sedangkan aku masih berada di antara kalian, maka akulah yang akan menghadapinya, bukan kalian. Jika dia muncul, sedangkan saya tidak lagi berada di antara kalian, maka setiap orang Muslim wajib membela dirinya dan Allah lah yang menjaga setiap orang Muslim sepeninggalanku. Sesungguhnya Dajjal adalah seorang yang berusia muda, berambut kerinting, dengan bola mata yang menonjol. Dan sesungguhnya pasukan berkudanya memenuhi kawasan antara negeri Syam dan Iraq, lalu menyebar ke segala penjuru. Hai hamba-hamba ALLAH, berpendirian teguhlah kalian.” (HR Muslim)
6. Diperlihatkan Nabi-Nabi Dan Umat Masing-Masing
Ibn Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW melintasi nabi-nabi AS dan melihat umat masing-masing. Ada nabi yang umatnya satu kaum, ada nabi yang umatnya beberapa orang sahaja dan ada nabi yang tidak berumat walau seorang pun. Kemudian Baginda melihat lautan manusia yang besar. Apabila Baginda bertanya: “Siapa mereka? Dijawab kepada Baginda SAW: “Itulah Musa bersama umatnya.” Kemudian dikata kepada Nabi Muhammad SAW: “Angkatlah pandanganmu dan lihatlah di ufuk sana dan ufuk sana.” Apabila Rasulullah SAW melihatnya, dikatakan kepada Baginda: “Itulah umatmu. Di antara mereka akan ada 70,000 orang yang bakal memasuki syurga tanpa hisab.” (HR Tirmidzi)
7. Diperlihatkan Balasan Kepada Mereka Yang Meninggalkan Solat
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Kemudian Baginda SAW datang kepada suatu kaum yang menghancurkan kepala mereka dengan batu. Setiap kali kepada mereka dihancurkan ia kembali semua seperi sedia kala dan mereka sedikitpon tidak mahu berhenti daripada (melakukan) perkara tersebut. Maka Baginda bertanya: 'Wahai Jibril, siapakah mereka?' Jibril menjawab: 'Mereka ialah golongan yang berat kepalanya (cuai dan lalai) daripada mendirikan solat fardu." (HR al-Baihaqi)
Peristiwa Israk Mikraj di dalam kehidupan Rasulullah SAW dan sejarah adalah penting untuk umat Islam kerana dapat dijadikan iktibar kepada seluruh umat Islam bahawa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan. Ini juga dapat menunjukkan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT yang berada di luar jangkaan manusia.