Panduan Lengkap Solat Taubat

Ayu Nadirah

3/15/2024

Sebagai manusia, setiap hari kita tidak akan pernah terlepas daripada melakukan dosa. Namun sebaik-baik pendosa adalah mereka yang mengakui kekhilafan diri dan terus memohon keampunan daripada Allah. Sekiranya kita memahami konsep pahala dan dosa, kita akan mengetahui bahawa rahmat Allah SWT begitu luas kepada semua hambaNya, mengatasi kemurkaanNya. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang berniat untuk melakukan suatu kebaikan namun dia tidak melakukannya, ditulis juga untuknya satu kebaikan. Sesiapa yang berniat melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, dituliskan untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan. Sebaliknya sesiapa yang berniat melakukan kejahatan namun dia tidak melakukannya, tidak akan ditulis sebarang kejahatan untuknya, jika dia melakukannya barulah ditulis (satu kejahatan untuknya),” Riwayat Muslim.

Hal ini jelas membuktikan sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Antara rahmat Allah kepada hambaNya adalah dengan memberi peluang dan ruang kepada kita untuk kembali kepadaNya setelah melakukan dosa. Pintu taubat sentiasa terbuka selagi masih bernyawa. Perkataan taubat itu sendiri membawa maksud kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali, menyesali perbuatan salah yang dilakukan, berhenti dan berazam untuk meninggalkannya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu,” Surah Ghafir: 60.

BACA: Hikmah di Sebalik Solat Taubat

Mengapa kita diminta untuk selalu melakukan taubat? Sudah tentu pada dasarnya, kita tidak mahu mengundang kemurkaan Allah. Selain itu, hakikat dosa adalah ia akan mengganggu ketenangan jiwa. Jiwa manusia akan sentiasa resah dan gelisah menanggung bebanan dosa. Hanya dengan bertaubat, dapat memberi ketenangan buat hati seorang pendosa. Hadis daripada Al-Nawwas bin Sam’aan al-Ansari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dosa adalah apa yang menimbulkan keresahan di jiwamu dan kamu benci ia dilihat manusia,” Riwayat Muslim.

Cara Solat Sunat Taubat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq RA, beliau berkata; aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudian bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini; dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka, kemudian mereka mengingati Allah – Surah Ali Imran: 135,” Riwayat Abu Dawud (1521).

Berdasarkan hadis ini, baginda Rasulullah SAW memberi cara untuk seorang hamba mensucikan diri setelah melakukan dosa dengan mengambil wuduk, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan perbanyakkan istighfar kepada Allah SWT.

Di sini, kami kongsikan cara solat taubat yang cukup mudah mengikut riwayat sahih daripada Nabi Muhammad SAW. Pertama, seperti solat yang lain, perlu mengambil wuduk yang sempurna. Seterusnya, menunaikan solat sunat taubat sebanyak dua rakaat. Solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, sekalipun dalam waktu tahrim iaitu waktu yang diharamkan solat sunat kerana solat ini dianggap bersebab dan patut disegerakan untuk bertaubat kepada Allah. Namun, ada waktu yang digalakkan untuk melakukan solat sunat taubat iaitu selepas tengah malam sewaktu qiamullai pada dua pertiga malam. Hal ini kerana suasananya yang sunyi tanpa sebarang gangguan, jadi solat akan lebih mudah khusyuk.

Rakaat Pertama

  1. Mulakan dengan takbiratul ihram. Semasa mengangkat takbir, baca niat solat sunat taubat dalam hati: “Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala.”
  2. Kemudian diikuti dengan membaca doa iftitah. Hukum membaca doa iftitah adalah sunat hai’ah. Solat sunat taubat tetap sah jika doa ini tidak dibaca. Jika dibaca, akan mendapat pahala.
  3. Seterusnya membaca Surah al-Fatihah. Ini adalah rukun solat dan wajib dibaca.
  4. Setelah itu, membaca Surah al-Kafirun. Atau boleh juga membaca mana-mana surah yang dihafal.

Rakaat Kedua

  1. Selepas bangun daripada sujud kedua bagi rakaat pertama, mulakan dengan membaca Surah al-Fatihah.
  2. Seterusnya membaca Surah al-Ikhlas. Seperti pada rakaat pertama, bebas untuk membaca mana-mana surah.
  3. Teruskan dengan langkah solat seperti biasa iaitu rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud dan sujudaaya kedua. Pada sujud terakhir ini (sebelum bangun untuk tahiyat akhir), digalakkan beristighfar atau membaca doa ini sebanyak 40 kali: Laa ilaaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin. “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
  4. Bangun daripada sujud, teruskan dengan tahiyat akhir dan memberi salam.
  5. Selepas salam, boleh terus perbanyakkan istighfar dan berdoa memohon keampunan daripada Allah dengan bersunguh-sungguh serta yakin dengan sifat Allah yang Maha Pengampun.

Setelah selesai dengan solat dua rakaat tadi, terdapat beberapa doa khusus yang boleh dibaca. Doa ini juga boleh dibaca jika mahu memohon keampunan Allah, tetapi tidak boleh melaksanakan solat atas sebab haid.

Doa Taubat

Dalam Hadis Riwayat Imam al-Bukhari (6839), Abu Bakar RA pernah meminta Rasulullah SAW untuk mengajar doa yang boleh dibaca dalam solat, "Wahai Rasulullah, ajarkan kepadaku sebuah doa yang boleh kupanjatkan dalam solatku." Kemudian Nabi menjawab, ucapkanlah:

Doa_taubat.png

Sayyidul Istighfar

Selepas berdoa, lakukan sujud dan membaca Sayyidul Istighfar iaitu penghulu istighfar:

Sayyidul_Istighfar.png

Semoga taubat yang dilakukan dengan hati yang ikhlas dan benar-benar mahukan keampunan akan diterima Allah.