Panduan Islam Dalam Memilih Kain Kafan: Elakkan Berlebih-Lebihan

Nurul Atikah Sarji

2026-01-05

Setiap manusia yang bernyawa pasti akan berhadapan dengan satu hakikat yang tidak dapat dielakkan, kematian. Ia mungkin terasa jauh ketika hidup sedang sibuk dengan urusan dunia, namun hakikatnya ia semakin mendekat setiap hari. Tanpa mengira usia, pangkat atau kekayaan, setiap kita akan sampai ke titik akhir perjalanan ini.

Saat itu tiba, segala yang dibanggakan ketika hidup akan ditinggalkan. Namun, islam mendidik kita agar tidak berlebihan dalam berbelanja, lebih-lebih lagi dalam membeli kain kafan berjenama mewah dan berharga mahal. Hal ini tidak menambah darjat seseorang di sisi Allah, kerana kita semua adalah sama di sisi-Nya.

Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW, 

“Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya” (Riwayat Muslim).

Menurut perkongsian pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun, melalui hantaran Facebooknya, beliau menjelaskan “jenama” kain kafan tidak mampu menaikkan taraf kehidupan selepas mati, malah dibimbangi menjadi beban hisab kelak. Oleh itu, perbuatan tersebut dihukumkan makruh kerana ia tidak disukai dalam Islam.

Template blog atikah  (51).png

Melalui perkongsiannya, Ustazah berkongsi kupasan ilmiah di bawah YB Dato’ Seri Dr. Zulkifli Albakri.

“Terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa seseorang jenazah itu dibolehkan untuk dikafankan dengan pakaian yang dibolehkan untuknya memakainya ketika hidupnya. Oleh itu, haram untuk mengkafankan jenazah lelaki dengan kain sutera.

“Manakala, bagi jenazah perempuan, pendapat yang masyhur lagi putus adalah diharuskan untuk mengkafankan jenazah perempuan tersebut dengannya. Hal ini kerana dia dibolehkan untuk memakainya ketika masih hidup dahulu, akan tetapi dihukumkan sebagai makruh kerana di dalamnya terdapat pembaziran dan menyerupai perbuatan mensia-siakan harta. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/197).

Apatah lagi, kain kafan akan cepat terurai dan dimakan oleh tanah. Justeru, tidak ada sebarang makna atau faedah untuk berlebih-lebihan dalam hal tersebut. Memilih kain kafan daripada jenis kain atau pakaian yang mewah termasuk dalam kategori pembaziran dan kesombongan yang dilarang. Lebih-lebih lagi di tempat ini, orang kaya dan orang miskin, yang mulia dan yang hina, semuanya adalah setara tanpa sebarang perbezaan. Inilah antara peringatan awal tentang keadilan akhirat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/178).

BACA: Tahun Baru, Iman Baru: Refleksi Bulan Rejab Menuju Ramadan

Bukan itu sahaja, berlebih-lebihan dalam hal kain kafan dihukumkan sebagai makruh kerana perbuatan tersebut mengandungi unsur pembaziran, mensia-siakan harta serta melampaui batas yang dilarang dalam agama. Para ulama turut membezakan kedudukan kain sutera yang dipakai oleh wanita sebagai perhiasan semasa hidup dengan penggunaannya sebagai kain kafan selepas kematian. 

Antara ulama yang menghukumkannya sebagai makruh ialah al-Hasan, Ibn al-Mubarak dan Ishaq. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan: “Aku tidak menemui pandangan daripada selain mereka yang menyelisihi pendapat ini.” (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/520).

Secara kesimpulannya, seseorang tidak sepatutnya menggunakan kain kafan daripada jenis kain yang mahal dan mewah. Sebaliknya, memilih kain kafan berwarna putih yang baik dari segi kualiti tanpa unsur berlebih-lebihanan adalah lebih utama. 

Hal ini kerana, walaupun penggunaan kain kafan yang mahal dibolehkan, hukumnya tetap makruh sekiranya mengandungi unsur pembaziran dan melampaui batas dalam perkara yang tidak wajar. Apatah lagi jika perbuatan tersebut menyebabkan kesusahan atau berada di luar kemampuan dalam urusan mengkafankan jenazah.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa kain kafan hendaklah daripada jenis yang baik, tetapi tanpa berlebih-lebihan dari segi harga atau sehingga membebankan diri, serta tidak menyimpang daripada kebiasaan seseorang. Dengan erti kata lain, kain kafan hendaklah dipilih mengikut kemampuan dan tidak berada di luar batas yang munasabah.

Semoga ilmu ini bermanfaat kepada semua.