Niat dan Hukum Puasa Hari Arafah

Hanan Latip

6/11/2024

Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke-9 Zulhijah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat lain.

Niat_dan_Hukum_Puasa_Hari_Arafah.png

Hukum Berpuasa pada Hari Arafah

Hari Arafah merupakan hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijah. Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari tersebut bagi mengejar ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah SWT. Allah menjanjikan pengampunan dosa hambaNya bagi setahun sebelum dan selepasnya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya: "Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya," Hadis Riwayat Muslim (1162).


Oleh itu, seseorang yang berkemampuan untuk menunaikan puasa hari Arafah ini disunatkan untuk melaksanakannya. Puasa Arafah hanya disunatkan bagi individu yang tidak menunaikan ibadah haji, bermusafir dan sakit. Sementara itu, orang yang sedang menunaikan haji pula disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dikhuatiri akan kehilangan tenaga untuk beribadah pada hari tersebut.

Kelebihan Puasa Hari Arafah

  • Allah SWT memberikan ruang untuk umat Islam membersihkan dosa-dosanya yang lampau pada hari Arafah. 

  • Memberi orang Islam yang tidak berkesempatan melakukan ibadah haji mendapat dan merebut fadilat yang dijanjikan pada hari Arafah. 

  • Amal kebaikan yang dilakukan pada 10 hari terawal bulan Arafah akan diberikan ganjaran yang besar berbanding bulan-bulan yang lain. 

Berpuasa sunat di hari Arafah dijanjikan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:  “Berpuasa pada hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya," Hadis Riwayat Muslim.

Daripada Abu Qatadah al-Anshari RA; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang," Hadis Riwayat Imam Muslim.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”

Rasulullah SAW bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hambaNya dari api neraka melainkan pada hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Taala menghampiri (hamba-hambaNya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”

Niat Puasa Hari Arafah

*نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلِّهِ تَعَالَى

Maksudnya: "Aku berniat puasa hari Arafah, sunat kerana Allah Taala."

Puasa sunat Arafah jatuh pada Ahad, 16 Jun 2024