Niat & Fadilat Puasa Hari Putih

Hanan Latip

8/13/2025

Niat & Fadilat Puasa Hari Putih.png

Hari putih bermaksud hari pada pertengahan bulan Islam, iaitu 13, 14 dan 15 hari bulan. Menurut Imam Nawawi, tidak ada pengkhususan hari yang ditetapkan dalam melaksanakan puasa tiga hari setiap bulan. Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya 'Fiqah Puasa' ada menyebut bahawa perbezaan dalam menetapkan hari-hari tertentu untuk berpuasa menunjukkan adanya toleransi dalam perkara ini.

Setiap Muslim dibolehkan berpuasa pada awal, pertengahan ataupun akhir bulan, mengikut kesesuaian dan kesempatan yang ada. Namun, Imam Nawawi bersetuju bahawa hari terbaik untuk berpuasa adalah pada hari yang ke-13, 14 dan 15, berdasarkan beberapa hadis yang menjelaskan tentang perkara ini.

Mengapa Dinamakan Ayyamul Bidh?

Ia dipanggil Ayyamul Bidh (آيام البض) atau hari putih kerana pada pada malam-malam tersebut adalah waktu bulan purnama dengan sinaran bulan yang putih. Ini kerana ia jatuh pada hari ke 13, 14 dan 15 setiap bulan, tidak kira sama ada jumlah hari dalam bulan tersebut adalah 29 hari ataupun 30 hari.

Pada tarikh ini, umat Islam disunatkan berpuasa sebagai tambahan kepada amal ibadah yang lain. Imam Bukhari menulis sebuah bab di dalam kitab sahihnya dengan judul 'Puasa Hari-hari Bidh (Hari Putih/Purnama), hari ke 13, 14 dan 15).'

Puasa ini sunat dilaksanakan pada setiap bulan. Dasarnya adalah hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW. Abu Hurairah menceritakan, “Kekasihku, iaitu Rasulullah SAW memberikan tiga perkara sebagai wasiat kepadaku: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melakukan dua rakaat solat duha dan melaksanakan solat witir sebelum tidur," Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalil Pensyariatan Puasa Hari Putih

Latar belakang pensyariatannya adalah daripada hadis Rasulullah SAW, seperti berikut:

Abu Dzar al-Ghifari menceritakan, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Abu Dzar! Apabila kamu berpuasa tiga hari dalam sebulan, berpuasalah pada hari yang ke-13, 14 dan 15," Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan an-Nasaie.

Qatadah bin Milan menceritakan, “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk berpuasa pada hari-hari putih, iaitu hari yang ke- 13, 14 dan 15. Pahala berpuasa di hari-hari tersebut sama seperti berpuasa selamanya," Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud.

Nota untuk Wanita

Andainya anda tidak dapat puasa pada hari-hari pertengahan, tidak mengapa. Anda boleh memilih hari lain untuk berpuasa asalkan ia tiga hari dalam sebulan.

Lafaz Niat Puasa Hari Putih

نَوَيْتُ صَوْمَ أَيَّامَ الْبِيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تِعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa sunat hari putih kerana Allah Taala.

Jika anda terlupa berniat di malam hari atau sebelum Subuh, ia tidak menjadi masalah. Asalkan anda sempat berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat tidak makan dan minum atau tidak didahului dengan perkara yang boleh membatalkan puasa.

Adakah Wajib Berpuasa Tiga Hari Berturut?

Adakah puasa hari putih atau Ayyamul Bidh ini perlu dilakukan secara tiga hari berturut-turut? Jawapannya adalah tidak.

Walaupun puasa tersebut tiga hari, ia bukanlah satu kesatuan yang saling membatalkan jika tidak dilaksanakan salah satu daripadanya. Anda boleh berpuasa tiga hari, boleh juga berpuasa dua hari, ataupun hanya berpuasa satu hari. Apatah lagi memandangkan puasa ini hanyalah puasa sunat sahaja, bukan puasa yang wajib. 

Puasa sunah tiga hari ini tidak mensyaratkan mutatabi’ah (berturut-turut), sebagaimana puasa kafarah yang diwajibkan ke atas seseorang yang melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadan. 

Bagaimana Pula dengan Pahalanya?

Sudah tentu pahala orang yang berpuasa tiga hari berbeza dengan orang yang berpuasa hanya satu atau dua hari. Tetapi daripada tidak mendapat pahala langsung, maka lebih baik anda memperolehi sebahagian daripadanya. 

Niat & Fadilat Puasa Hari Putih (2).png

Fadilat & Kelebihan Puasa Ayyamul Bidh

Pahala ibarat berpuasa sepanjang tahun

Bayangkan anda berpuasa sepanjang tahun tanpa henti selama 365 hari. Nescaya tiada siapa yang terdaya dan mampu melakukannya. Beruntungnya anda dapat ganjaran seperti berpuasa sepanjang tahun hanya dengan berpuasa pada hari putih.

Merujuk pada hadis:

صَوْمُ ثَلَاثَةٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَمَضَانَ إِلَى رَمَضَانَ صَوْمُ الدَّهْرِ
"Puasa tiga hari daripada setiap bulan, dan bulan Ramadan ke bulan Ramadan adalah puasa sepanjang tahun," Hadis Riwayat Muslim.

Meningkatkan daya imun badan 

Dengan amalan berpuasa, ia dapat meningkatkan ketahanan tubuh badan di samping mengelakkan daripada pelbagai penyakit. Sudah banyak kajian yang dijalankan dari dalam dan luar negara oleh orang Islam mahupun bukan Islam mendapati bahawa ketahanan tubuh manusia yang berpuasa lebih baik daripada yang tidak berpuasa.

Amalan yang menjadi wasiat Rasulullah SAW

Salah satu wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Hurairah RA adalah dengan berpuasa tiga hari dalam setiap bulan. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis:

سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّكَ لَتَصُومُ الدَّهْرَ، وَتَقُومُ اللَّيْلِ؟ » ، فَقُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «إِنَّكَ إِذَا فَعَلْتَ ذَلِكَ هَجَمَتْ لَهُ الْعَيْنُ، وَنَفِهَتْ لَهُ النَّفْسُ ، لَا صَامَ مَنْ صَامَ الدَّهْرَ ، صَوْمُ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ» ، قُلْتُ: فَإِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ «ذَلِكَ، قَالَ: «فَصُمْ صَوْمَ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلامُ، كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا، وَلَا يَفِرُّ إِذَا لَاقَى

"Aku mendengar Abdullah bin Amru bin al-'As RA katanya, Nabi SAW bersabda: Bahawasanya engkau berpuasa sepanjang tahun dan bangun di waktu malam? Jawabku, "Ya.", Nabi SAW menjawab: Bahawasanya jika engkau lakukan yang demikian, cengkung matamu dan lemah dirimu. Tiada puasa bagi orang yang puasa sepanjang tahun. Puasa tiga hari (dalam sebulan) adalah puasa sepanjang tahun. Aku menjawab: Aku mampu lebih daripada itu, Nabi SAW menjawab: Puasalah puasa Nabi Daud AS. Baginda Nabi Daud AS berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Nabi Daud tidak lari ketika bertemu," Hadis Riwayat Sahih Bukhari.

Merasai hikmah kepayahan hidup fakir miskin

Dengan berpuasa, ia mengajar anda untuk mensyukuri segala nikmat yang ada apabila dapat merasai sendiri kepayahan insan kurang berkemampuan. 

Membersihkan jiwa

Berpuasa dapat mendidik diri dan membersihkan jiwa dengan menjauhi sifat-sifat mazmumah serta melazimi sifat-sifat mahmudah. Amalan berpuasa juga dapat melatih diri daripada segi spiritual, rohani dan jasmani.

Secara kesimpulan, puasa sunat adalah salah satu ibadah sunat yang sangat digalakkan. Allah sangat menyukai orang yang berpuasa kerana Allah, sehinggakan Allah telah menjanjikan gerbang khusus di syurga bagi yang suka berpuasa iaitu ar-Rayyan. 

Semoga panduan ini dapat membantu anda dalam menambah amalan dan ketaatan.

Baca juga: Puasa Sunat Isnin dan Khamis