Memahami Iddah: Tempoh Tiga Kali Suci dan Rujuk
Marini Mat Zain
2025-12-22
Benarlah kata orang tua, manisnya alam rumah tangga selalunya hanya terasa di permulaan. Pada awalnya nampak indah. Andai rukun dan damai tidak pandai diatur, akibatnya bukan seketika, tetapi perbalahan jadi berpanjangan.
Apabila dua insan yang berbeza memilih untuk tinggal berkongsi di bawah satu bumbung yang sama, ketika itulah segala kerak dan hakikat sebenar kehidupan mula terserlah.
Semestinya, perpisahan yang terjadi membawa luahan rasa yang tersimpan. Bahkan, saat pengesahan rujuk dilakukan, ia turut menjadi tontonan ramai. Platform media sosial sering menjadi pentas, di mana setiap peristiwa penceraian dipaparkan dan menjadi tumpuan netizen. Terutama sekiranya melibatkan pempengaruh atau tokoh tersohor.
Menyaksikan perdebatan netizen, ternyata masih ramai yang keliru dan was-was mengenai hukum penceraian, tempoh iddah, dan hak masing-masing.
Dalam kekeliruan itu, terserlah betapa hal rumah tangga bukan sekadar soal cinta, tetapi juga tanggungjawab, adab, dan kehormatan yang perlu dijaga.
Iddah ialah tempoh menunggu selama tiga kali suci yang wajib dilalui oleh seorang wanita selepas diceraikan. Apabila seorang wanita memasuki kitaran haid keempat, maka tamatlah tempoh iddah.
Dalam tempoh Iddah, rujuk boleh dilakukan bagi perceraian talak satu atau dua, dengan persetujuan kedua-dua pihak dan niat untuk memperbaiki hubungan, tanpa perlu akad nikah baharu.
"Rujuk boleh berlaku bukan hanya melalui lafaz, tetapi juga melalui perbuatan, seperti suami memeluk isteri dengan niat untuk berdamai. Walau bagaimanapun, rujuk merupakan hak suami, dan sekiranya timbul kekeliruan atau pertikaian, adalah lebih wajar perkara tersebut dirujuk kepada Mahkamah Syariah," ujar Ustaz Zeinal Abidin, ikhlas.com.
Surah Al-Baqarah, Ayat 228
وَٱلۡمُطَلَّقَٰتُ يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَٰثَةَ قُرُوٓءٖۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكۡتُمۡنَ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِيٓ أَرۡحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤۡمِنَّ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنۡ أَرَادُوٓاْ إِصۡلَٰحٗاۚ وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِي عَلَيۡهِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيۡهِنَّ دَرَجَةٞۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami isteri bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Menurut Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM) dan sumber Berita Harian, sejumlah 53,245 pasangan Islam di seluruh negara bercerai dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan angka perceraian paling tinggi dengan 10,774 kes. Johor berada di tempat kedua dengan 6,078 kes, diikuti Kedah (4,582 kes), Perak (3,908 kes) dan Kelantan (3,820 kes).
Sabah pula merekodkan 3,810 kes, hampir sama dengan Pahang sebanyak 3,767 kes dan Terengganu 3,647 kes. Wilayah Persekutuan mencatatkan 3,397 kes, manakala Negeri Sembilan sebanyak 2,679 kes. Sarawak merekodkan 2,233 kes, Pulau Pinang 2,026 kes, Melaka 1,793 kes dan Perlis paling rendah dengan 731 kes.
Semoga wujudnya langkah dan kesedaran untuk memperbaiki dan menurunkan jumlah penceraian yang semakin meningkat, demi membina rumah tangga yang lebih harmoni dan bahagia.