Larangan Menunaikan Haji Tanpa Visa Haji yang Sah

Nurul Atikah Sarji

5/8/2025

Menunaikan ibadah haji merupakan salah satu daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan. Namun, isu menyalahgunakan visa umrah atau pelancong untuk menunaikan haji masih berlaku serta perlu diberikan perhatian yang serius. 

_Template images for blog 2.0 (48).png

Haji Hanya Wajib Bagi yang Berkemampuan
 

Allah SWT berfirman, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya," Surah Ali ‘Imran, ayat 97. 
 

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama bersepakat bahawa ibadah haji hanya diwajibkan kepada mereka yang memenuhi syarat-syarat tertentu, termasuklah beragama Islam, berakal, baligh, merdeka serta memiliki kemampuan. Ini termasuk kemampuan daripada sudut kewangan, fizikal dan keselamatan perjalanan. 

_Template images for blog 2.0 (50).png

Peraturan Visa Haji: Wajib Dipatuhi

Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa hanya mereka yang memiliki visa haji yang sah dibenarkan menunaikan ibadah haji. Visa umrah dan visa pelancong adalah terhad kepada tujuan tertentu sahaja; bukan untuk ibadah haji, bekerja atau belajar.

Oleh itu, sesiapa yang menunaikan haji dengan tinggal lebih lama (overstay) menggunakan visa umrah atau pelancong telah melakukan pelanggaran terhadap peraturan negara tuan rumah. Ini termasuk dalam kategori menipu dan melanggar undang-undang, sekali gus berdosa.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), perbuatan ini juga boleh mencemarkan nama baik negara dan menggugat hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi. Hanya pihak yang diiktiraf seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) diberi kuasa untuk menguruskan jemaah haji Malaysia.

_Template images for blog 2.0 (49).png

Keselamatan & Kemampuan (Istita’ah)

Istita’ah bukan sahaja merangkumi kemampuan kewangan dan fizikal, tetapi juga melibatkan keselamatan perjalanan. Sekiranya seseorang itu berisiko ditahan, dideportasi atau diancam keselamatannya kerana menyalahgunakan visa, maka dia dianggap tidak mampu dan tidak wajib ke atasnya untuk menunaikan haji pada masa itu.

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa seseorang tidak wajib menunaikan haji jika perjalanan tersebut tidak selamat atau berisiko tinggi terhadap nyawa dan hartanya.

Adakah Sah Haji Dengan Visa Yang Salah?

Walaupun menunaikan haji dengan menggunakan visa yang tidak sah daripada sudut peraturan adalah berdosa, ibadah hajinya tetap sah jika segala rukun dan syarat dipenuhi. Namun, perbuatan menyalahi peraturan tetap tidak dihalalkan dan tidak boleh dijadikan kebiasaan.

Oleh itu, sebagai umat Islam, anda wajib menjaga nama baik agama dan negara serta mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan bersama. Haji adalah ibadah suci, jadi laksanakanlah ia dengan cara yang sah dan diberkati.