Kisah Hijrah Nabi Muhammad SAW
Hanan Latip
3/21/2024
Perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam proses hijrah berlaku banyak momen pahit dan getir kerana kaum musyrikin yang mahu membunuh Nabi Muhammad SAW. Perjalanan hijrah baginda menggambarkan perjuangannya dalam mendakwah dan menyelamatkan umat dari kemusyrikan yang dilakukan.
Hijrah dalam hidup Rasulullah SAW berlaku beberapa kali iaitu:
- Hijrah para sahabat menuju ke negeri Habsyah (Ethiopia).
- Hijrah dari Kota Mekah ke Madinah.
- Hijrah Kabilah-kabilah.
- Hijrah Penduduk Mekah ke Madinah, dan kembali ke Mekah.
![Kisah_Perjalanan_Hijrah_Nabi_Muhammad_SAW.png](https://images.ikhlas.com/v3/assets/blt2a130c768c36b9df/blt07f2127ae6f4fdcf/66f3d36ee3972305cf391449/Kisah_Perjalanan_Hijrah_Nabi_Muhammad_SAW.png)
Kami kongsikan perjalanan hijrah penting iaitu Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah dan kembalinya semula ke Mekah.
1. Hijrah Mekah ke Madinah
Berlakunya penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat ke Madinah untuk menyebarkan agama Islam. Madinah dipilih kerana mendapat perintah daripada Allah SWT untuk berhijrah dan menubuhkan daulah islamiyyah dan masyarakat Islam. Sebelum berhijrah, orang-orang Islam telah menerima tentangan hebat daripada orang-orang kafir Mekah. Pengikut-pengikut Nabi Muhammad telah menerima pelbagai seksaan terutamanya golongan bawahan, miskin, hamba dan lemah. Berbanding golongan atasan dan berkedudukan, mereka akan menyindir dan mengancam daripada segi perniagaan, harta, nama dan kedudukan.
Pada satu malam, bermulalah perjalanan Nabi Muhammad SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq. Abu Jahal, Abu Lahab, Al-Hakam bin Abul Ash, Uqbah bin Abul Ash, An-Nadhr bin Al-Harits, Umayah bin Khalaf, Zam’ah bin Al-Aswad, Thu’aimah bin Adi, Ubay bin Khalaf, Nabih bin Al-Hajjaj, Munabbih bin Al-Hajjaj telah dikumpulkan dan mereka merancang untuk membunuh baginda di waktu malam di rumahnya namun tidak berjaya. Hal ini kerana, hanya ada Ali bin Abi Talib sahaja ketika itu kerana menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW.
Kemudian, Rasulullah SAW meneruskan perjalanan menuju kediaman Abu Bakar dan menuju ke Gua Tsur. Rasulullah SAW dan Abu Bakar tinggal di dalam Gua Tsur selama 3 malam dan putera Abu Bakar, Abdullah bertindak memberikan informasi berita tentang orang-orang Quraisy. Amir bin Fuhairah pula memberikan minuman dari perahan susu kambing yang digembalakan.
Selepas 1 Rabiul Awal, mereka meneruskan perjalanan menuju ke Madinah dengan menggunakan jalan yang berbeza kerana yakin ada risiko yang menunggu. Pada 8 bulan Rabiul Awal Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar telah tiba di Quba’ (kota sebelum Madinah) dan membina Masjid Quba’. Akhirnya, pada 12 hari Rabiul Awal, Nabi Muhammad SAW telah selamat tiba di Madinah dan disambut baik dan oleh penduduk disitu.
Sifat dan akhlak penduduk Madinah yang mulia memudahkan baiat Perjanjian Aqabah. Perjanjian Aqabah merupakan sebuah peristiwa di mana kelompok penduduk Madinah menerima agama Islam di hadapan Rasulullah SAW secara langsung. Perjanjian Aqabah berlaku sebanyak dua kali, Perjanjian Aqabah 1 pada tahun 12 H dan selanjutnya perjanjian kedua dilangsungkan pada tahun 13 Hijrah.
Perjanjian Aqabah 1 dan Perjanjian Aqabah 2 menghasilkan kesepakatan di mana orang-orang Ansar menyatakan kesetiaan kepada Nabi Muhammad SAW, memeluk agama Islam, serta bersedia untuk terlibat dalam upaya dakwah. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya, Allah 'Azza wa Jalla telah memberikan saudara-saudara untuk kalian di negeri yang aman." Kemudian, para sahabat dan pengikutnya beramai-ramai menuju ke Madinah. Sementara, Nabi Muhammad SAW tetap tinggal di Mekah hingga menunggu izin Allah SWT untuk hijrah.
2. Hijrah Madinah ke Mekah
Peristiwa Hijrah dari Madinah ke Mekah telah menyebabkan pembukaan kota Mekah pada tahun ke-8 Hijrah. Ini adalah kesan daripada pencabulan Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai antara Rasulullah SAW dengan kaum Quraisy pada tahun ke-6 Hijrah.
Di dalam perjanjian Hudaibiyah ini, orang musyrikin Mekah telah melanggar perjanjian. Antara kandungan perjanjian itu ialah setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Nabi Muhammad SAW ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak juga tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang.
Hal ini terjadi disebabkan dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani Bakar dan Khuza’ah. Bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Bani Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad SAW. Pada suatu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir.
Kemudian, berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW dan baginda mengerahkan umat Islam menuju ke Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Baginda juga menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy dan mereka mengetahui mengenai kemaraan umat Islam apabila telah menghampiri kota Mekah.
Selepas Rasulullah SAW berjaya membuka dan mengiktiraf kota Mekah, baginda meneruskan usaha untuk membersihkan dan memuliakan Kaabah daripada segala perbuatan kekufuran dan syirik kepada Allah SWT.
- Berhala-berhala yang ada di sekeliling Kaabah telah dihancurkan. Jumlah berhala yang ada di sekitar Kaabah itu dianggarkan lebih kurang 360 buah.
- Selepas itu, Rasulullah SAW bersolat di dalam Kaabah dan kemudiannya memberi ucapan kepada kaum Quraisy.
- Kunci Kaabah juga dikembalikan semula kepada penjaganya, iaitu Bani Syaibah.
Akhirnya umat Islam dapat memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Dengan pembukaan kota Mekah, umat Islam merasai manfaat dan kelebihan seperti berikut:
- Pengiktirafan kepada Rasulullah SAW dan negara Islam di Madinah.
- Umat Islam dapat menyempurnakan Rukun Islam yang ke-5 iaitu menunaikan haji.
- Membebaskan Mekah dari Musyrikin Qurasiy.
- Orang kafir mula memeluk Islam secara terang-terangan tanpa risau akan dihukum.
- Masyarakat dapat hidup dengan aman dan damai.
- Agama Islam dapat tersebar ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab.
Peristiwa Hijrah yang berlaku telah melakukan pembentukan negara Islam pertama. Di Madinah, Nabi Muhammad SAW berusaha membangunkan dasar-dasar awal negara Islam yang berlandaskan prinsip-prinsip keadilan, toleransi, dan kebersamaan antara suku-suku yang berbeza. Kedatangan mereka ke Madinah penuh dengan harapan dan risiko.
Sirah Nabi Muhammad SAW memberi inspirasi dalam kehidupan kita seharian. Nilai-nilai seperti keadilan, kasih sayang, dan pengorbanan boleh diambil sebagai panduan. Mengamalkan akhlak baginda dalam interaksi sehari-hari membantu memperkuatkan hubungan dalam masyarakat. Mengkaji sirah Nabi dan para sahabat bukan sahaja meningkatkan pengetahuan tentang sejarah Islam, tetapi juga membantu umat Islam memahami identiti mereka. Ia mengingatkan kita tentang betapa pentingnya untuk bersatu dalam menghadapi cabaran semasa, serta meneruskan perjuangan menyebarkan kebaikan dan keadilan.
BACA:
Adab Menziarahi Makam Rasulullah