Kepentingan dan Cara Sediakan Tabung Korban

Ayu Nadirah

3/25/2024

Kepentingan_dan_Cara_Sediakan_Tabung_Korban.png

Ibadah korban mengingatkan kita kepada peristiwa Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Bermula daripada peristiwa inilah yang umat Islam disyariatkan untuk melakukan korban bagi memenuhi perintah Allah SWT. Korban adalah ibadah penyembelihan binatang ternakan dengan niat untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Ia merupakan sunat muakkad yang dilakukan pada Hari Raya Haji (10 Zulhijah) atau sepanjang tiga hari Tasyri' (11-13 Zulhijah).

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa hadis yang menceritakan tentang kelebihan berkorban. Antaranya adalah daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Hadis_korban.png

Berpandukan kepada hadis ini, jelas menunjukkan bahawa ibadah yang paling afdal dan dicintai Allah untuk dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha adalah dengan menumpahkan darah binatang korban. Ibadah inilah yang akan datang pada hari akhirat kelak sama sebagaimana ia di dunia, tanpa sebarang kekurangan pada tubuhnya dan setiap anggota itu terdapat ganjaran pahala padanya. Ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban ketika melintasi titian sirat.

Pada penghujung hadis ini juga diperintahkan agar umat Islam membersihkan jiwa atau diri dengan ibadah korban kerana padanya disediakan ganjaran pahala yang cukup besar di sisi Allah. Selain itu, dengan melakukan ibadah korban juga dapat menzahirkan rasa syukur kita atas setiap nikmat yang Allah limpahkan.

Macam mana nak sediakan tabung korban?

Bagi membolehkan anda memenuhi tuntutan korban tanpa membebankan diri, anda boleh mula menyimpan duit dari awal. Jika selama ini anda boleh sediakan tabung untuk membeli gajet ataupun melancong, kenapa tidak melakukan perkara yang sama untuk berkorban? Jumlah wang yang besar mungkin agak sulit untuk dibayar sekali gus, namun dengan adanya tabungan khusus, nilai yang besar dapat dikumpul sedikit demi sedikit.

Mulakan menabung pada awal tahun Hijrah dengan niat mahu melaksanakan ibadah korban pada penghujung tahun. Daripada situ, anda boleh menentukan berapa yang perlu disimpan setiap bulan bagi memenuhi bajet korban. Sebenarnya, anda mampu untuk menunaikan ibadah korban. Hanya sahaja anda tidak betul-betul memasang niat dan bersungguh-sungguh untuk mengejar pahala besar yang Allah janjikan buat mereka yang berkorban.

Contoh QURBAN BERSAMA IKHLAS:

Sekiranya anda memilih untuk mengambil satu bahagian lembu korban yang bernilai RM800, anda boleh mula menyimpan kira-kira RM73 sebulan, bermula dari bulan Muharam sehingga Zulkaedah. Apabila tibanya bulan Zulkaedah, tabungan juga sudah mencukupi untuk anda terus daftar korban untuk satu bahagian lembu.

Mudah bukan? Ayuh tekadkan niat dan usaha untuk melaksanakan ibadah korban tahun ini. Semoga usaha anda dapat memberi kegembiraan buat yang memerlukan, selain memberi manfaat kepada anda di dunia dan juga akhirat.