Kenali 8 Kategori Asnaf yang Layak Menerima Zakat

Ayu Nadirah

8/26/2025

Kenali 8 Kategori Asnaf yang Layak Menerima Zakat (2).pngAgihan zakat adalah berdasarkan ketetapan yang telah ditentukan oleh syarak. Terdapat lapan kategori asnaf yang layak menerima zakat yang telah dikeluarkan sebagai garis panduan daripada lembaga zakat, seperti yang dijelaskan dalam Surah at-Taubah ayat 60.

Surah at-Taubah ayat 60.png

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana," Surah at-Taubah: 60.

Kenali 8 Kategori Asnaf yang Layak Menerima Zakat.png

Ayuh dekati siapakah lapan golongan asnaf yang layak menerima wang zakat:

1) Asnaf Fakir

Asnaf Fakir ialah orang Islam yang tiada harta atau pendapatan, atau ada harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah dirinya dan tanggungannya.

2) Asnaf Miskin

Asnaf miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lebih 50 peratus keperluan dirinya dan tanggungannya, tetapi masih belum mencukupi had kifayah.

3) Asnaf Amil

Amil merujuk kepada individu yang dilantik untuk mengurus dan mengagihkan zakat, termasuk pemungutan dan pentadbiran, serta berhak menerima bahagian daripada hasil zakat sebagai upah kerja mereka. Mereka menjalankan tugas yang berkaitan dengan institusi zakat, seperti yang diwakilkan oleh Majlis Agama Islam. 

4) Asnaf Mualaf

Mualaf ialah mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya). Ia dibahagi kepada dua situasi.

Beragama Islam:

  • Baru memeluk agama Islam.
  • Ketua kaum Islam yang baik hubungan dengan ketua bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya.
  • Ketua kaum Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang di bawah pimpinannya.
  • Orang Islam yang tinggal di perbatasan yang berhampiran dengan negara musuh.

Bukan beragama Islam:

  • Boleh dipujuk supaya masuk Islam.
  • Boleh dipujuk supaya tidak merbahaya kepada orang Islam.

5) Asnaf Riqab

Riqab ialah seseorang yang terbelenggu di bawah suatu kuasa atau keadaan yang menjadi hambatan kepada dirinya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik.

6) Asnaf Fisabilillah

Fisabilillah ialah perjuangan, usaha dan aktiviti yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan agama Allah.

7) Asnaf Gharimin

Gharimin ialah orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri dan tanggungannya, atau kepentingan masyarakat dan tiada keupayaan untuk membayarnya. Mereka ini memenuhi ciri:

  • Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.
  • Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.
  • Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

8) Asnaf Ibnu Sabil

Ibnu Sabil ialah orang Islam yang kehabisan belanja semasa memulakan perjalanan atau dalam perjalanan yang mendatangkan manfaat serta sesuai dengan hukum syarak, dengan syarat:

  • Putus bekalan dalam perjalanannya.
  • Tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan.
  • Memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan.
  • Ditinggalkan dalam perjalanan.

Ayuh bersama kami dalam pencarian asnaf seluruh Malaysia bagi kempen Umrah 1000 Asnaf

Duit Belanja Umrah 1000 Asnaf.pngDuit Belanja Umrah 1000 Asnaf (2).png